Jan 3, 2009

Presiden PAS bidas MB isu 'rekacipta' pengundi hantu

KUALA TERENGGANU, 3 Jan (Hrkh)-"Kita berharap agar mahkamah SPR boleh menjamin keadilan dan menghalang daripada kesalahan pilihan raya lalu berulang,"

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang membidas kenyataan Menteri Besar Terengganu, Dato' Ahmad Said yang menuduh pembangkang sengaja mereka-cipta isu pengundi hantu setiap kali tibanya musim pilihan raya.

"PAS telah menemui data pengundi yang mempunyai nama dan nombor kad pengenalan yang berbeza selain alamat yang meragukan daripada senarai daftar semak pemilih yang digazetkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR)," katanya kepada Harakah ketika merasmikan jentera pilihan raya Dun Kijal di Losong Atap Zink baru-baru ini.

Tegasnya, bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman sendiri mengakui bahawa senarai semak daftar pemilih itu masih belum dibersihkan.

"Bekas pengerusi SPR sendiri mengakui ada pengundi yang meninggal dunia yang masih belum dibersihkan daripada senarai semak daftar pemilih itu, ia bukannya ciptaan.

"Bagaimana pula Umno-BN boleh menyatakan pembangkang yang sengaja buat cerita untuk mensensasikan isu pengundi hantu dalam setiap pilihan raya?"

"Jika sekiranya ianya tidak wujud, mana mungkin akhbar membuat liputan dan mengiktiraf kewujudan pengundi hantu," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Ditanya mengenai tindakan pihak PAS dan Pakatan Rakyat, beliau hanya boleh berharap agar mahkamah SPR dapat menjamin perjalanan pilihan raya yang lebih adil dan bersih.

"Kita berharap agar mahkamah SPR boleh menjamin keadilan dan menghalang daripada kesalahan pilihan raya lalu berulang," katanya lagi.

Beliau menyelar kenyataan Ahmad yang menghalang media daripada membuat laporan mengenai pengundi hantu yang dianggap tidak wujud dalam pilihan raya.

Dalam ucapan perasmian tersebut, beliau menegaskan bahawa PAS merupakan satu-satunya harapan rakyat negara ini bagi membela nasib dan hak Melayu dan Islam.

"Orang Melayu yang bukan ahli PAS mengharapkan PAS menjadi pemimpin kepada Melayu dan Islam setelah melihat Umno-BN dilanda politik wang yang teruk.

"Sudah tiba masanya Umno berundur daripada persada politik tanah air," katanya lagi kepada lebih 100 jentera yang hadir.

Terdahulu, dalam satu sidang media, Menteri Besar Terengganu, Dato' Ahmad Said menyangkal sikap pembangkang yang sengaja mewujudkan istilah pengundi hantu sehingga menyebabkan media turut sama terheret bagi mensensasikannya.

Justeru, beliau menyeru kepada media agar turut sama memainkan peranan bagi mengelakkan diri mereka terikut-ikut dengan rentak yang cuba dimainkan oleh pembangkang yang ketandusan isu.

SPRM: Bukan sekadar naik gaji tetapi bebas

KUALA LUMPUR, 3 Jan (Hrkh) - PAS menggesa agar Pengerusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak hanya mementingkan soal kenaikan gaji kakitangannya sahaja sebaliknya, menjadikan suruhanjaya itu sebagai sebuah badan yang bebas tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar membuat gesaan itu kerana Pengerusi SPRM dilihat lebih mementingkan soal kenaikan gaji berbanding keberkesanan suruhanjaya tersebut.

"Kita bersetuju gaji pegawai SPRM dinaikkan tetapi kalau hanya gaji naik tetapi SPRM tidak bebas ianya tidak mendatangkan apa-apa faedah sebaliknya merugikan duit rakyat," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily.

Mahfuz juga menjelaskan sebelum ini banyak laporan rasuah yang melibatkan pemimpin Umno dan pemimpin tertentu kerajaan perlu mendapat persetujuan Perdana Menteri terlebih dahulu sebelum siasatan dijalankan.

Perkara ini jika berterusan berlaku menjadikan keberkesanan SPRM hanya sia-sia dan tidak manfaat penubuhannya dibahaskan di Parlimen, kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Selain dari mendapatkan kebebasan membuat siasatan kes rasuah, beliau turut menegaskan pengerusi SPRM perlu memastikan suruhanjaya tersebut mendapatkan hak pendakwaan ke atas kes-kes yang telah disiasat.

"Setakat ini kuasa pendakwaan kes rasuah masih lagi berada di bawah Peguam Negara dan ini hanya menjadikan siasatan SPRM sia-sia," jelas beliau.

Tegas Mahufuz, terdapat banyak kes yang melibatkan pemimpin Umno dan pemimpin tertentu kerajaan akan ditutup bila kuasa pendakwaan diserahkan kepada Peguam Negara.

Untuk rekod, pada tahun 2007, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mengarahkan siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung dakwaan rasuah dan salah guna kuasa terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Pengarah BPR, Dato' Seri Zulkifli Mat Noor ditutup atas alasan tiada kes.

Pada tahun yang sama dan dengan alasan yang serupa, Abdul Gani mengarahkan siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Dato' Mohd. Johari Baharum ditutup

Umno Selangor guna kuasa Polis halang ceramah

KAJANG, 3 Jan (Hrkh) - Seramai 70 anggota polis dari balai polis Kajang mengepung pentas ceramah dan menghalang Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat dan Infrastruktur Awam, Dato' Dr Hasan Mohd Ali daripada berceramah di padang awam Batu 14, Ulu Langat malam tadi.

Program ceramah anjuran Kerajaan Negeri Selangor itu diadakan sempena lawatan Dr Hasan ke daerah Hulu Langat dalam Program Mesra Rakyat (PMR) yang diadakan selama sehari semalam.

Pihak polis yang datang mengarahkan semua orang yang hadir balik manakala peniaga tidak dibenarkan berniaga dan pentas ceramah dikepung.

Sehubungan itu, Penyelaras Dun Dusun Tua, Sani Hamzan kesal dengan tindakan dan sikap pihak polis Kajang yang menghalang ceramah penerangan itu diadakan.

Ini kerana katanya, ceramah itu merupakan anjuran Kerajaan Negeri Selangor yang mahu menerangkan dasar-dasar kerajaan Pakatan Rakyat dan bukan atas tiket PAS.

Halangan daripada pihak Polis itu membuktikan bahawa Umno-BN Selangor tidak mampu menghalang Pakatan Rakyat yang kini mendapat tempat dan kepercayaan di hati masyarakat negeri Selangor, tegas beliau.

Sebab itu kata beliau, Umno-BN Selangor terpaksa menggunakan pihak Polis supaya menggunakan kuasanya untuk menghalang gelombang kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap Kerajaan baru negeri Selangor.

Laporan pertama dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

KUALA LUMPUR, 2 Jan (Hrkh) - Satu dokumen setebal 60 mukasurat yang mengandungi pelbagai laporan rasuah lama dan baru telah diserahkan sempena dengan pemulan baru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mula beroperasi 1 Januari tahun ini.
Iklan




Laporan berkenaan diserahkan oleh Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) KeADILan Badrul Hisham Shaharin di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pagi ini.

Menurut Badrul dokumen berkenaan diserahkan adalah bagi menguji peranan SPRM yang telah ditubuhkan tanpa sebarang pindaan di parlimen ini mampu melakukan tugas dengan baik.

"Ini adalah laporan pertama kepada SPRM. Sekiranya SPRM gagal bertindak terhadapnya (dokumen yang diserahkan) maka rakyat akan terus kecewa kerana wang yang dibayar melalui cukai terbazir untuk memenuhi retorik politik perang rasuah yang hanya menangkap ikan bilis atau pendakwaan berdasarkan politik," katanya di luar Ibu Pejabat SPRM.

Dalam dokumen berkenaan turut mengandungi laporan rasuah bekas Ketua Menteri Melaka Abdul Tan Sri Rahim Thamby Chik dan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz yang pernah dibuat beberapa tahun dulu.

"Dokumen ini turut mengandungi laporan rasuah yang Rahim dan Rafidah serta laporan yang yang pernah Badan Pencegahan Rasuah (BPR) sahkan tertuduh bersalah, namun tidak ada satu pendakwaan dibuat keatas individu berkenaan," katanya yang dipetik daripada Suara KeADILan online.

Selain kes Rahim dan Rafidah yang kedua-duanya dalam perebutan jawatan didalam Umno, dokumen berkenaan turut mengandungi laporan skandal korupsi mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed, keluarga serta kroninya di dalam Perwaja dan Perlantikan Hakim dalam Skandal VK Lingam.

Skandal korupsi Perdana Menteri Abdullah Badawi, keluarga dan kroni dalam beberapa organisasi, antaranya, Scomi, ECM Libra, korupsi antarabangsa 'Oil For Food' serta agihan kontrak makanan tentera dan Mas turut diserta dalam laporan berkenaan.

Laporan skandal korupsi bakal Perdana Menteri Najib Tun Razak serta kroninya yang terlibat dalam kes pembelian kapal selam, eurocopter dan jet serta pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shariibuu turut diserahkan dalam dokumen berkenaan.

Kata Badrul lagi, BPR hanya membuat siasatan terpilih, malah menurut beliau, kuasa pendakwaan bukan ditangan BPR sebaliknya proses berkenaan hanya boleh dilakukan oleh Peguam Negara.

"Kuasa pendakwaan bukan ditangan BPR, kuasa pendakwaan di yangan Peguam Negara yang boleh dipengaruhi oleh orang atasan dan kepentingan politik," kata Badrul kepada Suara Keadilan.

Dec 31, 2008

DAP sedih Maal Hijrah dicemari pembunuhan kejam Israel

PULAU PINANG, 31 Dis (Hrkh) "Bagi DAP ini bukan soal agama atau kaum tetapi usaha semua pihak untuk mendapatkan penyelesaian yang adil tanpa mendiskriminasikan sesiapa mengikut agama dan kaum. Ini adalah soal kemanusian sejagat yang harus diselesaikan tanpa sentimen tertentu."

Demikian kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang sedih apabila sambutan Maal Hijrah 1430 yang disambut keseluruhan umat Islam sedunia di kotori peristiwa pembunuhan kejam rakyat Palestin di Gaza oleh tentera Israel.

"Walaupun di Malaysia sambutan berkenaan diraikan dengan suasana aman damai dengan masyarakat yang berbilang bangsa.

" Tetapi rakyat di Gaza meraikan dengan tangisan anak kehilangan bapa, isteri kehilangan suami dan sebaliknya.

Bagi yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), serangan ganas itu tidak prikemanusiaan dan mendesak Kerajaan Malaysia mengutuk terhadap Israel agar menghentikan segera pengeboman sebaliknya mencari kedamaian dengan cara perbincangan.

"Dengan rasa rendah diri saya mengucapkan salam Maal Hijrah kepada Umat Islam di mana berada semoga azam untuk sama-sama hidup mesra dengan raykat Malaysia yang berbilang bangsa diteruskan dengan jujur dan ikhlas, " ujarnya dalam kenyataan yang kepada Harakahdaily semalam.

Sehubungan dengan tindakan Israel itu beliau menyarankan Kerajaan Malaysia memanggil Duta Amerika Syarikat untuk menyampaikan bantahan rakyat Malaysia terhadap sokongan membuta tuli Amerika kepada Israel walaupun tahu pembunuhan itu melibatkan kanak-kanak dan orang awam yang tidak berdosa.

Beliau juga meminta Kerajaan Malaysia mendesak Amerika Syarikat campur tangan untuk mendapatkan penyelesaian adil dan saksama untuk semua pihak yang berbalah di bumi Palestin.

"Bagi DAP ini bukan soal agama atau kaum tetapi usaha semua pihak untuk mendapatkan penyelesaian yang adil tanpa mengdiskriminasikan sesiapa mengikut agama dan kaum. Ini adalah soal kemanusian sejagat yang harus diselesaikan tanpa sentimen tertentu, " katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Justeru itu, beliau berharap Maal Hijrah kali ini disambut dengan penuh azam yang tinggi untuk memelihara kedamaian dan dijauhkan sengketa yang akan merugikan negara tercinta.

SPR perlu kuasa autonomi, Rashid 'akur' saranan pembangkang

KUALA LUMPUR, 31 Dis (Hrkh) - Saranan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman subaya suruhanjaya itu mempunyai kuasa autonomi amat dialukan-alukan dan perlu diberi perhatian yang serius.

Ketua Penerangan PAS Pusat Mahfuz Omar berkata, di penghujung jawatan Rashid akhirnya dilihat mengakui bahawa SPR sebelum ini tidak cekap, telus, adil dan bebas dalam menjalankan tanggungjawabnya sehingga menjejaskan prinsip demokrasi yang didukung oleh negara ini.

Katanya, secara tidak langsung cadangan beliau itu seiring dengan saranan yang pernah dikemukakan oleh parti-parti pembangkang untuk melihat proses pilihan raya umum dan kecil dijalankan secara adil dan saksama.

"Akhirnya apa yang kita tuntut dan dakwah selama ini tentang ketidak-cekapan SPR telah diakui sendiri oleh Rashid dan kita alu-alukan pandangan beliau itu.

"Kita mahu semua suruhanjaya tak kira kehakiman, rasuah ataupun SPR yang ada di negara ini dihormati dan diberi kuasa yang luas tanpa ada campur tangan atau sebarang gangguan eksekutif yang boleh merencatkan pilihan raya itu sendiri," katanya yang menghubungi Harakahdaily.net sebentar tadi.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga mengucapkan rakaman terima kasih atas khidmat Rashid selama ini dan menghargai pandangannya yang mahu melihat suruhanjaya ini bebas.

Dalam pada itu Mahfuz menggesa supaya SPR dibawah kepimpinan yang baru dapat memberi 'tekanan' kepada pihak kerajaan supaya SPR dapat berperanan sebaiknya sekaligus membersihkan imej badan itu yang seringkali dikritik fungsinya dan mendapat bantahan besar daripada rakyat.

Beliau merujuk peristiwa bersejarah yang perlu diingati SPR seperti yang berlaku pada 10 November 2007, apabila lebih 100,000 rakyat menyertai himpunan 'Bersih' kerana kecewa dengan peranan SPR selama ini.

Rashid yang bersara wajib hari ini dilaporkan berkata pemberian kuasa autonomi itu perlu bagi memastikan SPR tidak dituduh sebagai 'alat' kepada kerajaan untuk memenangi mana-mana pilihan raya.

"Kita perlu mengkaji semula fungsi SPR supaya tiada lagi tuduhan dilemparkan dan mempertahankan diri kerana sering dituduh 'tiada gigi'..kerana tidak boleh mengambil sebarang tindakan.

�Kuasa SPR sepatutnya diperluaskan supaya boleh memberi amaran kepada media, terutama media elektronik mengenai had laporan mereka. Oleh itu, kempen pilihan raya akan berjalan dengan lebih telus,� katanya pada satu sidang media

MB Perak prihatin kebajikan Orang Asli

SUNGAI SIPUT, 31 Dis (Hrkh) � Kerajaan Pakatan Perak prihatin terhadap semua golongan lapisan rakyat termasuk menjaga kepentingan kehidupan penduduk-penduduk Orang Asli di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Dato� Seri Muhammad Nizar Jamaluddin menegaskan kerana itulah kerajaan negeri telah menubuhkan satu Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kehidupan Sosio Masyarakat Orang Asli Dun Lintang di Pos Poi, Lasah dekat sini pada 28, Disember lalu.

"Kerajaan Pakatan telah melantik Exco Kanan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Tenaga dan Air serta Hal Ehwal Bukan Islam, Dato� Ngen Koo Ham sebagai Pengerusi AJK tersebut untuk memastikan kehidupan sosio mereka dalam ekonomi, perumahan, pertanian dan perbelajaran anak-anak terbela,"katanya di satu majlis anjuran NGO Kerajaan Perak.

Jelas Nizar, Kerajaan Pakatan Rakyat ingin memimpin dan melihat masyarakat Orang Asli di Lintang dan amnya di seluruh Perak dapat menikmati bersama faedah pembangunan yang disalurkan supaya 'tidak tercicir' lagi seperti zaman Umno-BN lalu

"Saya ingin membawa kecapaian kehidupan Orang-orang Asli dengan rakyat lain seperti berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dalam apa jua bidang termasuk memastikan mempunyai rumah selesa dan hak tanah pertanian sendiri," tegasnya di hadapan 500 orang pegawai dari pelbagai agensi kerajaan, Tok-tok Batin dari 12 buah Pos Kampung dan kumpulan Orang Asli lelaki dan wanita.

Kata beliau, Pakatan Rakyat begitu ikhlas untuk membela nasib Orang-orang Asli dalam pelbagai bidang dan mengalakkan juga mereka tinggal sekelompok di pinggir bandar dan tidak memencilkan diri di hutan lagi

"Sekarang gunakan segala kemudahan dan saluran disediakan oleh Pakatan Rakyat jangan disia-siakan malah rebutlah peluang keemasan ini secepat mungkin supaya tidak tercicir dan tertinggal lagi dalam negeri kaya dengan pelbagai sumber hasil bumi dan tanah yang subur," kata Nizar yang kemudiannya menyampaikan cenderamata kepada 12 orang Tok Batin di majlis tersebut

Isu Palestin: Kenyataan Malaysia terlalu lemah - Mohammad Sabu

KUALA LUMPUR, 30 Dis (Hrkh) - Kenyataan kerajaan Malaysia berhubung serangan Israel terhadap penduduk Gaza dianggap lemah seumpama lemahnya Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.


ImageNaib Presiden PAS, Mohammad Sabu berkata demikian hari ini sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri semalam.

"Isu serangan di Gaza adalah isu hak asasi manusia dan kerajaan Malaysia sepatutnya membuat kenyataan yang lebih keras," kecam beliau.

Mohamad Sabu mengesa seluruh rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa mengecam tindakan zalim rejim zionis terhadap rakyat Palestin.

ImagePerjuangan rakyat Palestin kata beliau seharusnya disokong oleh semua warga dunia tanpa mengira agama.

"Sebagai orang Islam kita wajib bersama rakyat Palestin menyokong usaha mereka mendapatkan hak mereka," tegas Mohammad Sabu.

Mohamad Sabu berkata demikian kepada media selepas menyerahkan memorandum kepada wakil duta Amerika di hadapan bangunan kedutaan tersebut tengah hari tadi.

Selain Mohamad Sabu, turut bersama menyerahkan memorandum tersebut adalah Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayob, Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli, Pengerusi Lajnah Antarabangsa Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan AJK PAS Pusat, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali.

Perhimpunan aman di hadapan kedutaan Amerika anjuran Dewan Pemuda PAS ini disertai oleh lebih 500 orang.

BN Terengganu 'umpan' RM6.1 juta tarik pengundi Cina - Mustafa Ali

KUALA TERENGGANU, 30 Dis (Hrkh)- Masyarakat Tionghua diingatkan supaya tidak mudah termakan 'umpan' pilihan raya dengan penyaluran bantuan dana berjumlah RM6.1 juta oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

PAS Terengganu menyifatkan pemberian peruntukan tersebut sebagai satu tindakan yang bermotifkan politik kerana berlaku disaat Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu bakal diadakan pada 17 Januari depan.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustafa Ali berkata PAS tidak mempunyai 'halangan' jika kerajaan benar-benar menyediakan peruntukkan demi kepentingan dan kebaikan rakyat.

Namun begitu, katanya pengagihan peruntukkan yang berlaku pada waktu ini (pilihan raya kecil) sudah tentu mempunyai hubungkait dengan tujuan politik.

"Dia (kerajaan) hendak bantu, kita (PAS) tiada halangan kerana itu adalah tanggungjawab kerajaan negeri untuk masyarakat .

"Tetapi dia (kerajaan) pilih waktu ini sudah tentu ia ada tujuan politik dan kita (PAS) harap masyarakat Tionghua faham bantuan itu bermotif politik," ujar beliau ketika dihubungi.

Menurutnya, PAS tidak menghalang sebarang peruntukkan yang disalurkan oleh kerajaan BN tetapi melihat perkara tersebut sebagai 'umpan' pilihan raya.

Katanya, setiap kali menjelang pilihan raya umum atau pilihan raya kecil pelbagai peruntukkan dan bantuan diagihkan kepada rakyat yang menjadi amalan parti pemerintah.

Pada 27 Disember 2008 lalu, kerajaan BN meluluskan peruntukkan sebanyak RM3.3 juta untuk Dewan Perhimpunan Perhubungan Cina Terengganu di Pulau Kambing dan RM2.8 juta lagi bagi menyiapkan dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Chung Hwa Wei Sin.

Menteri Besar Terengganu, Dato' Ahmad Said dipetik sebagai berkata sekiranya BN menang cemerlang dalam pilihan raya nanti pihaknya memberi 'jaminan' memastikan lebih banyak pembangunan kepada masyarakat Cina di negeri ini.

Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu terpaksa diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen P.36 berikutan kematian mengejut penyandangnya, Dato� Razali Ismail yang juga Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia pada 27 Oktober lalu.

Pada PRU ke-12, 8 Mac 2008 lalu Dato' Razali calon BN menang tipis dengan majoriti 628 undi menewaskan calon PAS, Mohamad Sabu dan calon Bebas, Maimun Yusuf hanya mendapat 685 undi.

500 sertai himpunan bantah kekejaman Israel ke atas Palestin

KUALA LUMPUR, 30 Dis (Hrkh) - Kira-kira 500 aktivis dari pelbagai NGO dan parti politik menyertai himpunan aman membantah kekejaman rejim Israel ke atas Palestin di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat tengah hari tadi.


Himpunan yang dikepalai Naib Presiden PAS, Mohammad Sabu itu bermula pada jam 11.30 pagi dengan peserta berhimpun di hadapan Bangunan Tabung Haji.

Turut hadir ialah, Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub; Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli; AJK PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi; ahli parlimen Titiwangsa, Dr Lo Lo Mohd Ghazali; wakil Jemaah Islah Malaysia (JIM); wakil mahasiswa Islam dan beberapa NGO tempatan.

Himpunan hari ini juga turut disertai beberapa aktivis Palestin yang berada di Malaysia.

ImageMereka membawa bendera Hamas, sepanduk yang mengecam Israel, sambil berselawat dan bertakbir.

Tepat jam 12.00, wakil himpunan, Mohamad Sabu telah menyerahkan memorandum kepada wakil kedutaan Amerika yang hanya menerima memorandum tersebut di luar bangunan kedutaan.

Kira-kira 100 anggota Polis dan keselamatan memantau perjalanan himpunan, namun tiada tangkapan berlaku.

Memorandum yang diserah kepada wakil kedutaan antara lain menuntut Amerika segera campur tangan dalam memaksa Israel menghentikan segera serangan ke atas penduduk Palestin.

Jurucakap himpunan, Dr syed Azman yang membacakan memorandum menyatakan NGO dan parti-parti politik di negara ini mahu Amerika mengarahkan sekutunya (Israel) menghormati ketetapan yang telah dibuat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini mengenai kebebasan wilayah Gaza bagi rakyat Palestin.

ImageTindakan biadap Israel itu dikecam keras dan seluruh masyarakat dunia kini turut membantah keras kekejaman Israel itu.

Serangan pada sabtu lalu sesungguhnya menunjukkan Israel melanggar ketetapan yang telah dibuat PBB, malah Israel dengan sengaja membunuh lebih 200 penduduk awam di Palestin, katanya.

Serangan tidak beradap ini ditentang keras oleh seluruh dunia, namun Amerika selaku negara pembela Israel masih terus menyokong kekejaman yang dilakukan sekutunya itu, katanya.

ImageJusteru rakyat Malaysia meminta agar Amerika dan beberapa pertubuhan dunia segera mendesak Israel menghentikan kekejaman ke atas penduduk terutamanya di Gaza.

Sementara itu, Naib Presiden PAS yang bercakap selepas penyerahan memorandum menyifatkan Israel kini menjadikan Gaza seperti sebuah penjara yang memuatkan 1.6 juta penduduk Palestin.

Gaza di kepung sejak serangan bermula Sabtu lalu tanpa sebarang bantuan boleh dibenarkan masuk ke sana, katanya.

Namun pertubuhan-pertubuhan neghara bangsa dan umat Islam di dunia ini tidak pun bertindak bagi menekan Israel menghentikan tindakan biadap itu, katanya.

KeADILan gesa sokong usul kutuk Israel

KUALA LUMPUR, 30 Dis (Hrkh) - KeADILan menggesa semua parti politik menyokong satu usul di Parlimen bagi mengutuk pembunuhan terbaru di Gaza bagi menunjukkan pendirian teguh negara dalam menentang tindakan ganas sebuah negara dan pendudukan haram.

Timbalan Presidennya Dr Syed Husin Ali berkata keadaan ketika ini seolah-olah sudah menjadi satu rutin bagi negara Zionis untuk menunjukkan kekuasaan tenteranya setiap tiba majlis sambutan hari tertentu.

"Kali ini ia berlaku selepas Krismas, semasa kaum Muslim menyambut hari pertama tahun 1430 mengikut kalendar Islam, dan permulaan Muharram, satu daripada empat bulan penting dalam Islam."

"Kami ingin menggesa rakyat Malaysia supaya mendoakan penduduk yang teraniaya di dunia, dan berharap satu keputusan yang lebih berhati-hati dan penuh matang dapat dibuat oleh pemimpin-pemimpin dunia, agar kewarasan dan kemanusiaan dapat dikembalikan di wilayah itu," menurutnya dalam satu kenyataan hari ini. Image

Beliau berkata serangan udara yang ganas tentera Israel menampakkan sekali lagi sikap negara Zionis itu yang terus menunjukkan komitmen tidak ikhlas di meja rundingan, dan pada masa yang sama terbabit dalam tindakan membunuh dan membawa kemusnahan.

Menurutnya keganasan kekal menjadi dasar negara Israel, dan ia akan berterusan selagi komuniti antarabangsa, terutama negara barat yang menjadi sekutu Israel, tidak menunjukkan sebarang bantahan malah membenarkan dan menyokong tindakan pengecut negara itu terhadap orang awam yang tidak berdosa.

PAS rakam simpati, bantah keras kekejaman Zionis

KUALA LUMPUR, 29 Dis (Hrkh) - PAS merakamkan rasa simpati terhadap musibah yang menimpa penduduk Palestin khususnya kerajaan Hamas dan menyatakan sokongannya yang tidak berbelah-bahagi terhadap perjuangan gerakan tersebut.

Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata tindakan zalim regim haram Zionis Israel membunuh rakyat dan memusnahkan penempatan Palestin di Gaza adalah sangat dikesali dan ternyata bertentangan dengan peradaban manusia yang bermoral dan bertamadun.

"PAS mengutuk dengan sekeras-kerasnya serangan ini yang telah mengakibatkan lebih dari 250 orang rakyat yang tidak berdosa terkorban serta ramai lagi yang cedera dan musnah tempat tinggal mereka.

Kekejaman ini dilaksanakan setelah segala bentuk hubungan kemanusiaan dan keperluan hidup penduduk Gaza dinafikan sejak sekalian lama. PAS merakamkan simpati terhadap kerajaan Hamas dan menyatakan sokongannya yang tidak berbelah-bahagi terhadap perjuangan gerakan tersebut, " katanya dalam satu kenyataan media yang dimajukan oleh Setiausaha Politik beliau Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kepada Harakahdaily sebentar tadi. Image

Dalam masa yang sama Ustaz Hadi mendesak agar kerajaan Malaysia segera mengemukakan bantahan kepada sekutu terkuat regim haram ini iaitu Amerika Syarikat dan inisiatif perlu juga diambil dengan segera agar isu ini dirungkaikan di pentas antarabangsa termasuklah di peringkat Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Pergerakan Negara Berkecuali (NAM).

"OIC juga mestilah keluar dari kepompong tradisi mereka dan mengambil tindakan drastik untuk membantu saudara seagama yang dizalimi ini.PAS mengajak negara-negara umat Islam lain agar bersatu membela nasib dan masa depan rakyat Palestin yang ditindas dan diperlakukan begitu hina sekali oleh regim haram ini," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Dalam waktu yang sama PAS menyeru agar seluruh ahli dan penyokong PAS serta seluruh umat Islam dalam negara agar dapat bersama-sama menyatakan bantahan dan kekesalan terhadap tindakan biadap regim haram ini.

"Kita menyeru umat Islam agar bersama-sama melakukan solat hajat dan membaca Qunut Nazilah agar diberikan pertolongan serta kemenangan oleh Allah S.W.T. dalam menghadapi regim Zionis Israel ini," katanya.