Jan 4, 2009

Wahid penuhi ciri kemenangan PAS

PAS memilih Mohd Abdul Wahid Endut untuk bertanding kerusi parlimen Kuala Terengganu kerana beliau mempunyai faktor-faktor kemenangan di kerusi itu.

Setiausaha PAS negeri Yahaya Ali berkata, antaranya ahli dan penyokong PAS mahukan beliau bertanding di kerusi tersebut.

bm version kuala terengganu parliament state seat breakdown 031208"Beliau sudah lima penggal menang di Wakaf Mempelam dan ini menunjukkan orang ramai mahukan beliau.

"Kita percaya beliau mempunyai pengaruh yang kuat di Kuala Terengganu kerana beliau juga yang dipertua PAS kawasan Kuala Terengganu," katanya ketika diminta mengulas pemilihan mengejut Abdul Wahid sebagai calon PAS dalam pilihanraya kecil itu yang bermula Selasa depan.

Pemilihannya diumumkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Stadium Negeri di Kuala Terengganu malam tadi.

Yahaya yang juga timbalan pengarah pilihanraya PAS bagi pilihanraya kecil tersebut berkata, pemilihan Abdul Wahid tidak akan memecahkan undi para penyokong PAS.

Diminta mengulas alasan Abdul Wahid dicalonkan oleh parti itu sedangkan namanya bukan pilihan utama, Yahaya berkata, pilihan atau tidak itu "hanya senarai yang dibuat orang ramai".

Katanya, orang ramai bebas membuat pilihan mereka tetapi akhirnya pucuk pimpinan yang menentukan setelah mengambil kira pelbagai faktor.

"Pemimpin lebih tahu hendak membuat pilihan, jadi tidak perlu lagi bercakap mengenai pemilihan Abdul Wahid sebagai calon.

"(Dan) insya Allah beliau akan menang," katanya.

Abdul Wahid akan berdepan dengan ketua Umno bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh bagi merebut kerusi tersebut pada hari pengundian 17 Januari ini.

Pilihanraya kecil tersebut diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Razali Ismail, akhir November lalu.

Amanat sempena Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu

Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

"Jadi, peliharalah hati supaya ikhlas kerana Allah SWT. PAS meletakkan Islam dalam matlamat dan asas. PAS tidak menjanjikan kebendaan kepada petugas-petugas PAS"

Firman Allah SWT dalam surah As-Saff ayat 1-4; " "Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? (Itu) sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berperang di jalan Nya dalam barisan yang teratur, mereka seakan-akan seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh."

Dari ayat di atas, Allah menurunkan ayat ini bermula dengan sebab yang berlaku di kalangan para sahabat r.a sebelum diwajibkan perintah berjihad. Lalu mereka bercakap dgn penuh semangat, "bilalah lagi kita hendak berjihad. Sekiranya Allah mewajibkan jihad, kami akan melibatkan diri untuk buat apa sahaja."

Apabila Allah swt menurunkan ayat mewajibkan jihad, rupa-rupanya jihad ini bukan sahaja satu kewajipan, tetapi ianya penuh dengan cubaan dalam diri seseorang. Samada jihad di medan perang atau jihad di medan pilihanraya, berdakwah, ianya penuh dengn ujian dan cubaan. Merek yang berperang di Gaza, tidak putus-putus dihujani oleh roket dan peluru.

Sehingga kini sudah hampir 400 orang mati syahid dan 1000 orang yang cedere.Setelah mereka dikepung beberapa bulan, mereka hadapai ujian dengan penuh semangat. Ada orang yang tahan dengan ujian kelaparan, kesusahan dan kesakitan. Makin sakit, makin lapar, makin ditentang oleh musuh, maka makin meninggi semangatnya.

Ada yang tidak tahan dengan ujian-ujian ini, lalu mereka berundur. Kadang-kadang, pejuang Islam ini diuji dengan cara menyedapkan, mengembirakan dan ujian perasaan yang ada di dalam hati. Kadangkala ada yang tidak tahan menghadapi ujian di dalam hati ini. Oleh itu, janganlah bercakap besar. Ini kerana akan tersungkur di tengah jalan.

Perjuangan Islam, merupakan satu perjuangan yang tidak nampak akan upah atau balasannya. Upah dan balasan ini adalah perkara ghaib. Ia janji dari Allah swt. Firman Allah swt, " Kalaulah sekiranya perjalanan perjuangan Islam itu merupakan benda yang dekat, yang boleh dicapai atau diambil dgn mudah, dan perjalanan yang dekat yang diketahui beberapa hari akan menang, nescaya ramailah yg ikutmu wahai Muhammad." Tetapi perjuangn ini jauh dan banyak kesulitan-kesulitan dan kepayahan-kepayahan.

Yang paling sulit ialah tekanan dalam jiwa dan hati yang sering kali di was-waskan oleh syaitan yang ghaib di kalangan jin dan sebagainya yang mengalir dalam darah kita. Dan juga was-was ini datangnya dari syaitan-syaitan di kalangan manusia itu sendiri.

Bisikan ini merupakan bisikan keraguan bukan hanya berlaku dalam solat tetapi juga ketika berjihad dalam perjuangan. Jadi, peliharalah hati supaya ikhlas kerana Allah swt. PAS meletakkan Islam dalam matlamat dan asas. PAS Tidak menjanjikan kebendaan kepada petugas-petugas PAS.

Presiden mengingatkan kepada orang ramai yang hadir, siapa yang hadir ke cemarah malam ini adalah untuk mendengar nama calon, sama ada menyokong calon atau tidak, ia tidak ada pahala. Tidak ada fadhilat dan kelebihan. Tetapi sekiranya datang ke majlis ceramah itu untuk mendengar arahan dan panduan di dalam perjuangan menegakkan Islam yang bakal diamalkan, maka ia berada di dalam majlis ilmu, dan malaikat bersama-sama. Dan juga mereka ini berada di medan jihad yang ada fadhilat yg besar yang telah dijanjikan oleh Allah.

Oleh kerana perjuangan ini banyak dengan cabaran, bukan hanya berdepan dengan Umno atau Barisan Nasional tetapi berhadapan degan satu kerajaan yang berkuasa di peringkat pusat dan negeri. Dimana kerajaan ini mendapat sokongan dari pelbagai kumpulan yang boleh memberi dan mendapat sumbangan apa sahaja. Jangan sesekali menganggap ini merupakan satu perjuangan yang kecil walaupun ianya pilihanraya kecil, tetapi pada cabarannya sanggat besar.

Oleh itu, ingatlah peringatan yang diberikan oleh Nabi s.a.w kepada golongan Ansar, inilah asas kepada perjuangan Islam yg mesti difahami supaya mendapat fadhilat dan pertolongan dari Allah swt. Mereka yang sanggup memikul tanggungjawab yang disebut di dalam ucapan Rasulullah ini,mereka merupakan orang yang sanggup menyahut seruan Allah dalam Al-Quran " Wahai orang yang beriman, bersabarlah kamu dalam menghadapi penyakit-penyakit yang ada dalam diri kamu sendiri, dan bersabarlah kamu dalam menghadapi musuh-musuh kamu dan beradalah kamu di tempat dimana kamu ditugaskan dan bertakwa kepada Allah supaya kamu dapat kemenangan.

Ia bukan kemenangan percuma tapi bersyarat

Inilah syarat kemenangan yang diletakkan oleh Allah swt. Ianya bukan kemenangan percuma tetapi kemenangan yang bersyarat."Sekiranya kamu menolong agama Allah, nescaya Allah menolong kamu dan menetapkan pendirian kamu." Menolong dan bekerja dengan hati yang ikhlas. Bagi menegakkan agama Allah dengan ikhlas ini, maka Nabi s.a.w mengingatkan para sahabat di kalangan Ansar dengan satu perjanjian setia ketika hendak melakukan hijrah.

Hijrah merupakan satu kemenangan yang dberikan oleh Allah yang menjadi titik noktah ,yang merupakan satu perubahan yang besar dalam sejarah manusia. Siapa yang melibatkan diri dengan hijrah dan menunaikan perkara yang di sebut oleh Nabi s.a.w, "Kamu berjanji untuk mentaati perintah aku di masa rajin, dimasa malas.

Berjanji untuk beri belanja semasa senang atau susah. Kamu berjanji menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Kamu berjanji untuk bangun mengatakan yang benar dan tidak peduli kepada orang mencela dan berjanji untuk menolong aku yakni Islam. Apabila tiba di madinah, hadapi cabaran-cabarannya sebagaimana kamu pertahankan harta kamu, isteri kamu dan anak kamu. Allah menjanjikan syurga untuk kamu."

Ucapan ini bukan hanya catitan sejara semata-mata, tetapi ia merupakan rukun dan tiang kepada pendokong perjuangan Islam supaya mereka mendapat pertolongan dan keredhaan Allah.

Pertama, Mentaati kepada Allah s.w.t. Mentaati perintah semasa senang dan susah. Dalam setiap keadaan sama ada setuju atau tidak setuju, hendaklah mentaati arahan pimpinan. Bukan melihat kepada siapakah calon yang akan diletakkan nanti. "Kami dengar dan kami taat". Inilah yang Allah hendak membezakan perjuangan yang hak dan batil.

Kedua, sanggup menyumbangkan harta sama ada senang atau susah. Sekiranya tidak ada kewangan, sumbanglah dari segi fikiran, doa dan tenaga. Tidak kira apa sahaja sumbangan. PAS bukan perjuangan yang mengharapkan upah. Allah mengizinkan upah. Tetapi PAS tidak meletakkan upah sebagai matlamat. Tetapi upah untuk menguatkan tenaga dengan makanan demi menjalankan gerak kerja Islam. Sekiranya upah diletakkan satu matlamat, maka tidak ada beza dengan pihak lawan.

Apabila kita meletakkan harga diri kepada keikhlasan, Allah akan tambah pertolongan dari NYA untuk memberi kemenangan kepada PAS. Ia merupakan satu hakikat dimana perjuangan menyuruh kepada kebaikan, mencegah kemungkaran ialah mendirikan kerajaan yang mendaulatkan syariat Allah. Calon yang menang menjadi wakil rakyat untuk bersuara di parlimen. Membentuk akhlak dan menegakkan syariat Islam. Jihad yang paling afdhal ialah sanggup bercakap benar di hadapan kerajaan yang zalim. Ini merupakan hadith sohih.

Kerja yang dilakukan dalam pilihanraya dan inginkan kemenangan merupakan satu perkara yang sangat penting. Jangan peduli kepada orang mencela kerana dengan mendapat celaan merupakan satu pahala. "Demi sesungguhnya jika kamu dapat menarik seorang untuk mendapat hidayah Allah bersama Islam, ia merupakan lebih mahal daripada kenderaan yang paling mahal harganya." Pahala akan berpanjangan walaupun seseorang itu sudah meninggal dunia.

Zaman sekarang seperti berpegang agama ibarat berpegang bara api. Semua amalan ada feqah. Berpolitik pun ada feqahnya yakni faham ajaran Islam yang berkait dengan kerja yang kita buat.

Hadapilah kerja dengan ikhlas supaya kita mendapat pertolongan dan keredhaan Allah. Allah itu Maha Besar, tidak ada yang lebih besar dari Allah s.w.t samada Barisan Nasional atau kuasa-kuasa besar dunia yang lain.

Mengundi parti tegak Islam wajib - Nik Aziz

KOTA BHARU, 4 Jan (Hrkh) � Pengundi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu diharap menunaikan hak mereka sebagai pemilih dengan penuh keimaman.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, hak sebagai pengundi merupakan mutlak kepada setiap individu yang tidak boleh dirampas dan dipaksa sesiapa pun.

"Apabila dihubungkan hak dan kebebasan mengundi ini dengan tanggungjawab kita untuk menegakkan Islam, maka tunaikanlah hak ini dengan penuh iman.

"Biar bagaimana rahsia sekali pun undi kita pada 17 Januari ini, ia tetaplah akan terakam sebagai amal makruf," katanya dalam satu kawat kepada pengundi parlimen Kuala Terengganu yang tinggal di luar.

Menurutnya mengundi sebuah parti yang mahu menegakkan Islam adalah wajib.

Ini selaras dengan firman Allah Taala dalam surah An Nashr: 1 dan 2 yang bermaksud, "Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan. Kamu akan melihat manusia memasuki agama Allah dengan berbondong-bondong".

Menurut Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan, zaman sekarang, orang menegakkan Islam dengan mengambil alih kuasa melalui pilihan raya.

"Inilah yang timbul kerja mengundi melalui pilihan raya," katanya.

Pilihan raya kecil parlimen Kuala Terengganu akan diadakan pada 17 Januari ini dan penamaan calon lusa.

Kemenangan penting sebagai 'kayu ukur' kalahkan Umno-BN

KUALA KANGSAR, 4 Jan (Hrkh)-Naib Presiden PAS, Mohammad Sabu mengingatkan bahawa kemenangan Parlimen Kuala Terengganu kali ini adalah tersangat penting sebagai batu ukur untuk mengalahkan Umno-BN seterusnya sehingga dapat Kerajaan Pakatan Rakyat didirikan dalam Kerajaan Persekutuan Malaysia nanti dengan mudah.

Justeru, beliau mengajak para penyokong PAS dan Pakatan Rakyat serta rakyat beramai-ramai hadir untuk menunjukkan kekuatan parti dan sokongan moral dalam Penamaan Calon Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu pada 6 Januari ini.

"Mari kita beramai-ramai ahli PAS dan penyokong Pakatan Rakyat disini tunjukkan perpaduan mantap dalam perarakkan meraikan calon PAS Mohd. Abdul Wahid Endut menuju ke pusat penamaan di Kuala Terengganu itu.

"Mari kita datang beramai-ramai, beri sokongan padu semangat kental sebagai perangsang dan keyakinan kepada pengundi-pengundi untuk menyokong calon PAS," katanya semasa berucap di ceramah umum Pekan Manong dekat sini semalam.

"Adalah diharapkan pemimpin - pemimpin dan tuan-tuan disini kita akan dapat berjumpa lagi 'makan keropok lekor' semasa perarakan meraikan Calon Parlimen Abdul Wahid ke pusat penamaan nanti," katanya dengan berjenaka di depan 2,000 penyokong parti dalam kubu kuat Umno-BN itu. -

Timbalan Ketua Menteri bidas OIC 'peluk tubuh'

PULAU PINANG, 4 Jan (Hrkh) Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohamad Fairus Khairudin membidas Persidangan Negara-negara Islam (OIC)yang tidak tegas langsung membantu tangani serangan Israel terhadap Palestin malahan sekadar melihat dan berpeluk tubuh.

Beliau dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily menyelar OIC sampai saat ini belum bertindak sesuatu untuk membantu sumber kewangan khususnya bagi meringgankan kesenggsaraan Umat Islam di sana yang rata-ratanya daif.

"OIC hanya pandang saja dan tidak lagi menghulurkan bantuan sebagaimana yang diperlukan. Sikap inilah yang membuat Israel bertambah ghairah melakukan kekejaman kerana mereka tahu Umat Islam tidak satu hati, " ujarnya.

Menurut beliau lagi, keengganan Mesir dan Jordan membuka pintu sempadan kepada rakyat Palestin juga menjadi faktor utama kenapa Israel bersikap megah dan berani bertindak sedemikian rupa.

Beliau pasti rakyat Pulau Pinang juga tidak dapat menerima tindakan jahat dan bacul rejim Yahudi yang membunuh Umat Islam di saat-saat menjelangnya Maal Hijrah 1430 semata-mata kerana mahu memburu kepimpinan Hammas.

Bagi mencapai hasrat penentangan itu maka rakyat Pulau Pinang seharusnya memboikot semua barangan Amerika yang terang-terangan memberi keuntungan ekonomi pada Israel.

"Boikot barangan Amerka bererti membunuh ekonomi Israel maka laksanakanlah untuk menyelamatkan umat Islam di Palestin, " tegasnya yang juga Exco Hal Ehwal Agama, Pembangunan, Keusahawanan dan Koperasi, Penerangan dan Perhubungan Masyarakat Negeri Pulau Pinang.

BN mula tabur rasuah politik di Kuala Terengganu

Angkatan Muda Keadilan Malaysia memandang serius tindakan Barisan Nasional (BN) yang mula menyogok rakyat dan pengundi di Kuala Terengganu dengan 'rasuah politik' yang terlampau.

Tindakan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang meluluskan peruntukan berjumlah RM200,000 bagi pembinaan jalan baru di DUN Wakaf Mempelam, dan juga kenyataan Menteri Besar Terengganu yang berjanji untuk meneruskan projek pembangunan bernilai RM5.8 juta di Kuala Terengganu sekiranya Barisan Nasional (BN) terus diberi mandat untuk menerajui kawasan itu ternyata adalah satu bentuk eksploitasi wang rakyat demi menjamin kemenangan BN yang semakin terdesak.

AMK tegas berpendapat bahawa dana kerajaan negeri dan persekutuan yang datang daripada kutipan cukai rakyat tidak wajar diseleweng sewenang-wenangnya oleh BN hanya kerana mereka memegang tampuk kuasa ketika ini.

Apa yang mengejutkan ialah kenyataan Menteri Besar Terengganu bahawa sukar untuk kerajaan meneruskan agenda pembangunan jika sekiranya Parlimen Kuala Terengganu jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.

AMK mempersoalkan tindakan Menteri Besar Terengganu dan BN yang ternyata mengamalkan demokrasi selektif mengikut nafsu serakah mereka, hanya untuk memastikan mereka terus berkuasa.

Apakah rakyat boleh dinafikan dengan pembangunan hanya kerana mereka tidak mengundi BN?

Melihat kepada sogokan demi sogokan yang diberikan oleh BN ini, maka AMK menggesa agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat memainkan peranan yang aktif dan tegas dalam membanteras kegiatan 'rasuah politik' yang berleluasa berlaku di Kuala Terengganu pada ketika ini.

AMK juga akan mengambil tindakan drastik untuk mengemukakan laporan kepada polis dan SPRM agar tindakan ini dapat dikekang daripada berlaku berterusan.

BN perlu sentiasa akur, bahawa rakyat dan pengundi bukan semudah itu untuk digula-gula dan diperbodohkan dengan sogokan pembangunan, sebaliknya rakyat akan terus celik untuk menghenyak BN untuk mengembalikan hak rakyat yang telah dilapah sejak sekian lama.

----

Shamsul Iskandar Mohd Akin ialah Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia_