Dec 18, 2008

Gurindam Nik Aziz buat pengundi Kuala Terengganu

KOTA BHARU, 18 Dis (Hrkh) - Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengemukakan gurindam untuk bakal pengundi dalam Parlimen Kuala Terengganu sebagai panduan sebelum mengundi.

Gurindam itu antara lain berbunyi:

Nak beri rasuah salah,
tak beri rasuah kalah,
akhirnya jadi serba salah,
kerana itu jom pakat undi PAS.

Beliau menyatakan perkara itu secara spontan kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco pagi tadi ketika diminta mengulas berhubung persediaan PAS untuk menghadapi pilihan raya kecil itu tahun hadapan.

Sebelum ini beliau pernah mengemukakan gurindam politiknya untuk dimanfaatkan oleh rakyat Kelantan sebelum pilihan raya umum 1990 yang mahsyur sehingga kini.

Gurindam berkenaan antara lain berbunyi:

Beri duit ambil,
beri kain pakai,
beri gula kacau,
bila mengundi pangkah bulan.

Dalam masa yang sama beliau turut menyampaikan salam kepada seluruh warga pengundi Parlimen Kuala Terengganu supaya mengundi calon PAS dalam pilihan raya kecil itu pada 17 Januari tahun hadapan.

Menurutnya, tiada sebab calon PAS perlu ditolak dalam mana-mana pilihan raya memandangkan parti itu juga mampu melaksanakan apa yang dibuat oleh Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Apa yang BN buat, PAS juga boleh buat, seperti pembangunan, nak jaga Melayu, kita juga boleh berbuat demikian, jadi tiada sebab Umno dan BN diberi peluang sekali lagi untuk memilih mereka.

"Sedangkan pada waktu yang sama Allah telah memberi ruang pada manusia menilai setiap apa yang ada di hadapan mereka, contohnya terhadap pentadbiran kerajaan PAS Kelantan,"ujarnya lagi.

Tuan Guru memberitahu, apa yang berbeza Umno memperjuangkan kebangsaan, sebaliknya PAS dasar Islam yang wajar disokong oleh semua pihak.

Tambahnya lagi, kerana keyakinan terhadap perjuangan PAS mereka menubuhkan Kelab Penyokong PAS dan bukannya kelab Umno walaupun sudah lama bersama parti itu.

Beliau juga berkeyakinan calon PAS dijangka akan memenangi dalam pilihan raya kecil itu nanti berikutan pelbagai perkembangan semasa yang berlaku di dalam parti Umno dan kerajaan seperti perpecahan dan rasuah.

Sambungnya, masaalah itu merupakan petaka yang buruk dalam mana-mana Negara sekalipun termasuk Malaysia di mana ianya turut disebut dalam perlembagaan negara.

"Saya tidak kisah siapa yang bakal menjadi calon dalam pilihan raya kecil itu nanti, mana-mana calon yang telah diputuskan dalam mesyuarat berhubung perkara itu wajar disokong.

"Cadangan calon terdahulu Mat Sabu (Mohammad Sabu) hanyalah pandangan peribadi saya saja, kalau nak letak orang lainpun jika itu keputusan mesyuarat parti tiada halangan," ujarnya lagi.

Ketika diminta mengulas berhubug calon bebas juga bakal bertanding dalam pilihan raya itu, PAS menerima dengan terbuka.

"Dia dah bebas, tak boleh nak cakap apa lah, dia bebaslah nak bertanding ke nak apapun," ujarnya lagi.

Tuan Guru turut menolak telah berlaku dua golongan dalam PAS di Terengganu sehingga menjadikan pilihan raya kecil itu nanti sebagai medan untuk menguji kekuasaan masing-masing.

"Itu hanya andaian musuh, oleh kerana musuh dalam keadaan kelam kabut sekarang, jadi pandai-pandailah dia mengadakan sesuatu pada parti lawan, itu memang dah jadi kaedah manusia.

"Biarlah lawan nak kata PAS sampai ada dua tiga kumpulan pun namun yang penting kita akan berdepan dengan senang hati," ujarnya.

Nik Aziz kecewa pemimpin PAS teruskan tabiat merokok

PENGKALAN CHEPA, 18 Dis (Hrkh) - Menteri Besar Kelantan mengingatkan wakil rakyat dan penghulu di negeri ini supaya menghentikan tabiat merokok kerana mereka merupakan pemimpin yang seharusnya menjadi contoh.

Biar pun sudah berulang kali mengingatkan perkara itu, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini meluahkan rasa kecewa kerana masih ada pemimpin PAS yang tidak meninggalkan amalan buruk itu.

Menurutnya, sebagai pemimpin yang paling hampir dengan rakyat, mereka tidak seharusnya meneruskan amalan yang boleh merosakkan diri sendiri.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Pengurusan Penghulu negeri Kelantan bagi peringkat Parlimen Kota Bharu dan Pengkalan Chepa di Perdana Resort, hari ini.

Seramai 70 penghulu menghadiri program sehari tersebut yang dianjurkan bersama Urusetia Penasihat Penghulu Kelantan.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Penghulu Kelantan, Abdul Fatah Harun sebagai mewakili Timbalan Menteri Besar, Dato' Ahmad Yakob.

Menteri Besar berkata, sebagai seorang pemimpin masyarakat mereka seharusnya mempamerkan imej yang baik kepada orang ramai.

Pengayuh Jerit wira rakyat dan negara - Mahfuz

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Hrkh) - Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar menyifatkan kumpulan pengayuh berbasikal di kalangan aktivis Jeritan Rakyat Tertindas (Jerit) adalah wira rakyat dan negara.

Keberanian dan kesungguhan yang ditunjukkan aktivis dan pengayuh jerit selama 16 hari berkayuh dengan pelbagai dugaan menimpa mereka hingga hari ini tiba di Parlimen membuktikan mereka wira rakyat, kata Mahfuz.

Beliau berkata demikian semasa memberi ucapan di hadapan kira-kira 120 aktivis Jerit sesudah penyerahan memorandum Jerit kepada ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan Perdana Menteri di bangunan Parlimen.

Antara ahli Parlimen yang hadir ialah, Salahuddin Ayub (PAS Kubang Kerian); Mahfuz Omar (PAS Pokok Sena); Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timor), Sivarasa Rasiah (KeADILan-Subang), Tian Chua (KeADILan-Batu), Gobind Singh Deo (DAP-Puchong), Charles Santiago (DAP-Klang); Dr Hatta Ramli (PAS Kuala Krai) dan Senator T Murugiah yang mewakili Perdana Menteri.

ImageSebelum itu polis membenarkan 30 peserta program berbasikal "Rakyat Pengayuh Perubahan" menyerahkan memorandum mereka di bangunan Parlimen-tiga daripadanya sampai jam 11.45 pagi ini.

Penyokong program anjuran Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) tersebut berkumpul, bersorak dan menyanyi di sepanjang jalan menyatakan sokongan mereka.

Polis, yang asalnya melarang kumpulan itu berbasikal ke Parlimen, mengiring sebuah lori yang mengangkut basikal-basikal aktivis Jerit dari Taman Tasik Perdana yang terletak berhampiran ke satu simpang ke bangunan tersebut.

Mereka kemudiannya dibenarkan berbasikal ke bangunan tersebut seorang demi seorang.

Menjelang 12.20 tengah hari, sejumlah 120 pengayuh dan penyokong mereka diizinkan memasuki bangunan Parlimen.

ImageSeorang dilihat ditahan polis dekat Parlimen tetapi pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), yang dekat dengan Jerit, percaya beliau bukan seorang aktivis.

Aktivis jerit telah memulakan program kayuhan menuntut hak rakyat sejak 16 hari lalu dengan beberapa negeri telah menjadi destinasi mereka.

Antara tuntutan yang dikemukakan Jerit ialah, pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA); gaji minima; air bersih; rumah yang selesa dan pilihan raya kerajaaan tempatan (PBT).

Mengulas tuntutan itu Mahfuz meminta kerajaan setidak-tidaknya membuat perubahan satu dari enam tuntutan yang dibuat Jerit. -

Dewan Ulama temui setiap pengundi di Kuala Terengganu

KOTA BHARU, 18 Dis (Hrkh) - Lebih 50 anggota Dewan Ulama PAS Kelantan akan berkampung di Kuala Terengganu bagi membantu jentera kempen PAS untuk menghadapi pilihan raya kecil kawasan itu 17 Januari depan.

Setiausahanya, Ustaz Abdullah Abdul Razak berkata, Dewan Ulama PAS Kelantan akan berkampung di Kampung Kolam di bandar Kuala Terengganu dan akan berpecah kepada tiga kumpulan dalam usaha mendekati penduduk.

"Baru-baru ini Ketua Dewan Ulama PAS Terengganu, Dato' Hussin Awang mempelawa kami membantu kempen pilihan raya kecil tersebut.

"Kami sebenarnya sejak awal lagi merancang membantu PAS Terengganu bagi menghadapi pilihan raya terbabit," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu diadakan ekoran kematian penyandangnya Dato' Razali Ismail. Pada pilihan raya tersebut beliau mengatasi calon PAS, Mohamad Sabu dan seorang calon bebas dengan majoriti hanya 628 undi.

Abdullah juga berkata, anggota Dewan Ulama PAS Kelantan akan memberi penekanan kepada dua aspek utama sepanjang kempen tersebut iaitu lawatan bagi menemui rakyat tempatan di samping melaksanakan kaji selidik.

Katanya juga Dewan Ulama PAS Terengganu berharap dapat berkongsi pengalaman yang dimiliki Dewan Ulama PAS Kelantan kerana kecemerlangan dalam pilihan raya umum lalu Mac lalu.

Kata beliau, agak menarik juga apabila Dewan Ulama PAS Terengganu memberitahu sebahagian besar surau dan masjid di Kuala Terengganu dikuasai penyokong PAS dan Pakatan Rakyat.

"Malah ada jawatankuasa masjid mahu Dewan Ulamak PAS menyediakan teks khutbah Jumaat untuk disampaikan kepada penduduk," ujarnya.

Abdullah berharap melalui kerjasama tersebut syiar Islam yang dibawa oleh PAS sejak 1999 akan bercahaya semula di Kuala Terengganu

Kekuasaan polis ganti keluhuran Perlembagaan

Jika hobi boleh didefinisikan sebagai satu amal perbuatan yang berterusan yang dilakukan dengan penuh keceriaan, maka kerja menangkap dan menahan orang yang terlibat dengan perhimpunan boleh dikatakan sebagai hobi pihak polis di negara ini.

Tetapi hobi itu sendiri ada yang baik dan ada yang tidak baik. Menangkap orang yang hanya berhimpun secara aman sudah pasti adalah satu hobi yang tidak baik.

Bercakap tentang perhimpunan aman di negara ini ianya dikawal oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Ia adalah hak yang asas yang dijamin oleh undang-undang tertinggi di negara ini. Secara teorinya apabila sesuatu hak itu dijamin dan dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan kita boleh katakan hak tersebut adalah satu hak yang amat penting.

Tidak sepertimana di England di mana Parlimen adalah kuasa yang tertinggi di negara tersebut, di negara ini Perlembagaan Persekutuan diisytiharkan sebagai undang-undang tertinggi di negara ini (lihat Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan).

Tetapi itu hanya di dalam teori. Kata-kata manis sering diabadikan di dalam teori. Tetapi apa yang penting adalah perlaksanaannya secara praktikal. Dari segi praktisnya jaminan dan perlindungan hak berhimpun secara aman di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak memberi nilai apa-apa.

Benar, ianya tidak memberi nilai apa-apa. Secara praktisnya, apa yang berlaku adalah kuasa polis amat besar di dalam isu perhimpunan. Ketinggian kuasa polis (police supremacy) hakikatnya menggantikan ketinggian Perlembagaan Persekutuan (constitutional supremacy).

Bagaimana ini berlaku? Sebahagian kesalahan itu bolehlah kita kaitkan dengan penggubal Perlembagaan Persekutuan itu sendiri. Meskipun Perlembagaan menjamin hak rakyat untuk berhimpun secara aman namun penggubal Perlembagaan masih merasakan perlunya memberikan kuasa kepada Parlimen (elemen lain selain dari Perlembagaan) untuk menghadkan hak berhimpun secara aman di dalam Perlembagaan itu.

Walau apa pun niat penggubal Perlembagaan itu, apa yang pasti mereka tidak sedar apabila Parlimen dikuasai oleh parti yang sama untuk tempoh yang panjang, hak berhimpun tersebut dengan mudah dinodai oleh Parlimen itu sendiri.

Memandangkan Parlimen sering dikuasai oleh BN sejak pilihan raya umum yang pertama, ahli-ahli Parlimen BN menggunakan kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan untuk menghadkan hak berhimpun tersebut. Maka digubalnya satu akta untuk tujuan tersebut iaitu Akta Polis 1967.

Seksyen 27 dimasukkan di dalam Akta Polis tersebut. Seksyen tersebut bukan sekadar menghadkan hak berhimpun tetapi sebaliknya 'membunuh' hak berhimpun itu.

Hak rakyat untuk berhimpun di mana-mana bahagian di dalam negara kini bergantung kepada belas ikhsan seorang Ketua Polis Daerah (KPD). Bayangkanlah hak berhimpun yang dijamin oleh undang-undang tertinggi di negara ini kini ditentukan oleh sekeping permit yang dikeluarkan oleh seorang KPD yang amat berkuasa dan sering menyalahguna kuasa. Fakta bahawa KPD adalah proksi BN adalah suatu yang sukar nak dipertikaikan.

Sebagai satu contoh lihat sahaja satu diskriminasi pihak polis. Perhimpunan menyokong ISA yang dianjurkan oleh badan-badan pro-Umno di Jalan Tun Razak pada 23 November tidak langsung diganggu oleh polis, jauh sekali pesertanya ditangkap. Sebaliknya perhimpunan menentang ISA anjuran Pakatan Rakyat dan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) yang dibuat di sebelah malam pada hari yang sama di padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya menyaksikan ratusan kehadiran polis bertopi merah dan berakhir dengan tangkapan sembilan orang termasuk Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahudin Ayub dan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu atas alasan tiada permit.

Kita pun tidak pasti pada malam itu adakah rakyat berhimpun tiada permit atau hakikatnya polis yang berhimpun tiada permit!

Terdapat dua bentuk perhimpunan di dalam Akta Polis 1967. Pertamanya perhimpunan di tempat awam yang memerlukan permit polis di bawah seksyen 27 Akta Polis. Keduanya perhimpunan di premis persendirian yang tidak memerlukan permit dan ianya di kawal oleh seksyen 27A Akta Polis.

Dalam banyak keadaan, pihak KPD sering tersalah anggap bahawa Akta Polis memberikan kuasa yang amat luas kepada mereka untuk memberikan atau tidak memberikan permit. Hatta Akta Polis membenarkan perhimpunan yang diberikan permit dibatalkan permitnya tanpa sebarang alasan perlu diberikan.

Sering kali pemberian permit dinafikan di atas alasan yang diulang-ulang iaitu menjejaskan keselamatan negara sedangkan apa yang berlaku ianya menjejaskan keselamatan Umno dan BN! Pernah berlaku di Negeri Sembilan polis membatalkan permit kerana perhimpunan diadakan berhampiran kawasan perkuburan. Pernah juga berlaku perhimpunan yang nak di buat di Muar dan di Klang, KPD meminta tuan rumah mengemukakan geran tanah. Minta permit dah macam buat pinjaman di bank!

Sebagai peguam dan aktivis politik saya mempunyai pengalaman yang agak banyak dengan Akta Polis. Alhamdulillah, setakat ini hampir semua kes mahkamah berhubung permit dimenangi oleh PAS. Sebagai aktivis politik pula saya sendiri sudah dua kali dimasukkan ke dalam lokap di bawah Akta Polis.

Pengalaman mengendalikan kes perhimpunan haram di bawah Akta Polis memberi keyakinan kepada saya bahawa pihak polis khususnya KPD tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam berkaitan Akta ini.

pengalaman menyoal Ketua Polis Daerah

Saya pernah menyoal balas seorang KPD di Mahkamah dan bertanyakan dia perbezaan seksyen 27 dan seksyen 27A Akta Polis dan dia tidak boleh menjawab. Saya katakan kepada KPD tersebut bagaimana beliau boleh memproses permohonan permit jika beliau sendiri tidak tahu seksyen 27 dan 27A Akta Polis.

Dalam satu perbicaraan di mahkamah, saya menyoal seorang KPD tentang bentuk perhimpunan yang memerlukan permit. Dia menjawab perhimpunan yang dihadiri oleh tiga orang atau lebih. Saya pun bertanya jika saya, isteri saya dan anak saya berhimpun di rumah adakah saya perlu dapat permit?

Dia menjawab: "Oh! Perhimpunan yang perlu permit mesti dihadiri oleh empat orang."

Saya bertanya lagi: "Baiklah, jika empat orang, saya tambah satu lagi anak saya. Adakah masih perlu permit?"

KPD itu tidak dapat menjawab dan beliau ditertawakan oleh polis-polis yang ada di Mahkamah dan juga oleh tuan Majistret sendiri.

Polis mungkin berkuasa menangkap dan menahan rakyat yang tidak berdosa yang berhimpun secara aman. Tetapi apabila berada di Mahkamah saya berani mengatakan polis adalah saksi yang paling tidak berkuasa dan paling teruk apabila memberikan keterangan mereka di Mahkamah di dalam kes-kes perhimpunan haram.

Yang terbaru apabila Dr Hatta dan seorang lagi aktivis KeADILan didakwa terlibat di dalam perhimpunan haram (perhimpunan protes kenaikan harga minyak) di bawah seksyen 143 Kanun Keseksaan.

Kami sebagai peguambela dengan mudah berhujah dan berjaya meyakinkan Mahkamah bahawa pertuduhan itu tidak sah dan dakwaan ke atas Dr Hatta patut dibatalkan. Hujah kami, perhimpunan haram di bawah seksyen 143 mestilah mempunyai 5 orang ke atas dan memandangkan hanya dua orang sahaja di dakwa maka pertuduhan itu tidak sah. Mahkamah bersetuju dengan kami dan memerintahkan Dr Hatta di bebaskan tanpa dibicarakan.

Untuk pasukan polis, janganlah membuang masa mengganggu perhimpunan aman rakyat. Bukankah lebih baik tenaga dan masa anda ditumpukan kepada menangkap para penjenayah yang sebenar. Di situlah letaknya kemuliaan uniform anda!-

Catatan perkongsian hasrat Duta EU dan MB Kelantan

Presiden Kesatuan Eropah, Marc Barety melahirkan rasa kagum dengan corak pentadbiran yang diamalkan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato'Nik Abdul Aziz di negeri itu.

Beliau berkata demikian, ketika mengetuai seramai 14 peserta lawatan sambil belajar yang terdiri daripada Duta serta wakil Kesatuan Eropah (EU) dalam satu kunjungan ke negeri Serambi Makkah, baru-baru ini.

Delegasi tersebut terdiri dari negara Perancis, Republik Chech, Poland, Hungary, Slovakia, Austria, Sweden, United Kingdom, Belgium, Romania,Italy, Denmark dan Findland.

Berikut adalah sedutan dialog antara Marc Barety dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kompleks Kerajaan Kota Darul Naim seperti dicatatkan Setiausaha Politik Menteri Besar, Annual Bakri Haron.

Marc Barety: Memulakan persoalan, Tuan Guru diminta supaya menjelaskan apa-apa pencapaian yang mungkin dapat dikongsikan sepanjang 18 tahun mentadbir kerajaan negeri.

Tuan Guru Nik Aziz: Terima kasih kembali kepada tuan-tuan yang sudi mengunjungi sebuah negeri yang memilih untuk berbeza dari parti yang memerintah Malaysia di peringkat Pusat. Sebenarnya, saya bukan sengaja memilih untuk berbeza semata-mata kerana ingin atau gemar untuk berbeza. Kami membuat pilihan ini untuk "mendidik atau lebih tepat mengajar" kepada seluruh rakyat bahawa Islam itu begini. Demokrasi itu begini.

Seawal-awalnya kita perlu faham bahawa bumi ini kepunyaan Allah. Dialah Tuhan kita dan Dialah Yang Maha Pencipta. Dia yang membuat semua ini. Jika manusia kata manusia tercipta lebih dahulu, lalu manusia mencipta alam, maka di mana pula manusia awal itu tinggal. Jika dia berada di atas tanah, siapa yang mencipta tanah? Jika dia kata dia berada di udara, maka siapa pula yang mencipta udara? Siapa yang mencipta oksigen untuk manusia itu bernafas?

Mustahil alam dan bumi ini terjadi dengan sendiri. Ini kerja Allah. Dari-Nya jua segala planet dan alam ini berasal. Oleh kerana itu, maka Allah sahajalah yang berhak menurunkan perintah dan larangan dalam sebuah sistem hukum, undang-undang dan peraturan.

Ia dimuatkan ke dalam al-Quran. Untuk melengkapkan ia menjadi sebuah manual � bertindak sebagai pengatur yang bersifat �how to use� � maka Allah turunkan Nabi Muhammad s.a.w.. Nabi inilah yang menterjemahkan segala peraturan yang disebut sunah - untuk diikuti dan dicontohi akhlaknya atau bagaimana untuk hidup sebagai seorang hamba yang menumpang muka bumi yang dimiliki oleh Allah ini.

Ertinya, saya atau kami seluruh rakyat Kelantan memilih Islam demi untuk membetulkan landasan hidup. Saya mentadbir negeri ini dari sejak 1990 atas nama Islam untuk mengembalikan perjalanan hidup manusia dari landasan yang salah yakni mengabdikan diri sesama makhluk melalui pelbagai isme ciptaan kepada mengabdikan diri kepada Allah Yang Maha Pencipta semata-mata. Disamping itu, kami datang untuk membetulkan dan memulihkan demokrasi yang telah dengan teruknya dikhianati.

Dengan agenda sebesar itu, kami mula bergerak perlahan-lahan. Mula-mula saya perintahkan semua simpanan wang kerajaan dipindahkan ke dalam Bank Islam. Ini dilakukan untuk mengelakkan kerajaan berlanggan dengan sistem ekonomi yang menindas yang dilandasi riba. Riba ini sebenarnya penghisap darah. Sejurus selepas itu, saya didatangi oleh satu rombongan pengurus-pengurus bank yang merayu saya tidak berbuat demikian. Saya menjawab bahawa tidak ada apa yang salah mengenai saya tetapi yang salahnya ialah tuan-tuan dan dasar kapitalis yang menindas hasil amalan bank tuan-tuan. Mereka senyap.

Dari sinilah bermulanya era pengislaman bank-bank di Malaysia. Semakin banyak bank-bank yang mula membuka dua kaunter. Kini, sudah semakin banyak bank-bank yang beroperasi menggunakan instrumen kewangan Islam sepenuhnya. Lebih kurang dua bulan yang lepas misalnya, saya dijemput untuk merasmikan pembukaan Hong Leong Islamic Bank. Menjawab persoalan tuan; maka ini semua berupa pencapaian.

Satu lagi perkara ialah kita tidak berminat untuk membesar-besarkan faktor bangsa. Apa yang saya perbesarkan ialah perihal bersamanya kita semua ini kerana kita datang dari keturunan yang satu yakni Adam dan Hawa. Kita berada dalam sebuah keluarga yang besar, yang bertolak dari benih dan keturunan Adam yang sama. Dengan ini, saya menyemai perasaan kasih sayang, perasaan kebersamaan dan adik beradik. Tidak timbullah dasar dan amalan menindas dan berkembangnya perasaan curiga, dengki mendengki yang menekan dan mendiskriminasi. Di sini, kita telah berjaya meruntuhkan tembok tebal yang memisahkan kita sesama kita sekian lama. Sebaliknya, kita semai perasaan hormat menghormati, saling bantu-membantu, hidup tolong menolong dan berbantu simpati.

Inilah latarbelakang kepada timbulnya program-program seperti kifaalah, skim bantuan armalah, ladang rakyat dan pelbagai lagi program 'mesra rakyat' demi membantu kumpulan sasar yang terdiri dari golongan bawahan dan fakir miskin. Ambillah contoh kifaalah sebagai misal. Bagi setiap kematian yang melibatkan rakyat kami yang berusia 60 tahun ke atas, bantuan sejumlah RM2,500 secara automatik diberikan. Istimewanya program ini ialah ia disumbangkan tanpa mengira perbezaan agama, bangsa, bahasa dan keturunan. Inilah contoh dan bukti dasar-dasar non-diskriminasi yang kami maksudkan.

Dalam masa yang sama, saya selalu membuat kenyataan bahawa untuk menjadi Menteri Besar Kelantan, �orang itu� bagi saya tidak perlu seorang Melayu. Dia boleh jadi seorang berketurunan Cina atau India asalkan dia seorang yang warak, bertakwa dan alim. Semua faktor ini menjadi punca kepada cenderungnya pengundi bukan Islam memberi undi kepada calon Islam dari parti PAS dalam pilihan raya yang lalu.

Boleh Tuan Guru memberi satu liputan mengenai projek-projek pembangunan dalam sektor perumahan, perbandaran dan perhotelan dalam konteks industri pelancongan?

Kerajaan negeri tidak akan menghalang mana-mana negara luar yang ingin melabur dalam sektor perhotelan dan industri asalkan ianya tidak melanggar peraturan teras dari negeri ini. Umpamanya dalam bidang perhotelan, mereka mestilah tidak menyediakan kemudahan berjudi, minuman beralkohol dan pelbagai kegiatan maksiat. Untuk kegiatan judi pula, kami haramkan seratus peratus kerana ia aktiviti yang cukup tidak sihat. Orang bodohpun boleh menang manakala orang intelek pula boleh menjadi kalah dan papa kedana. Ia permainan yang tidak menggunakan akal dan membunuh ikhtiar. Bagi minumam arak dan alkohol, ini kita kawal. Kita kawal pemberian lesen premis kerana menghormati budaya hidup non-Islam.

Bagi projek perumahan, kita kenakan syarat minimum untuk pemaju membina rumah tiga bilik sekurang-kurangnya. Ini untuk mengasingkan tempat tidur ahli keluarga berasaskan perbezaan jantina antara ketua keluarga, anak-anak lelaki dan anak-anak perempuan selaras dengan anjuran Nabi Muhammad s.a.w..

Besok akan berlangsung sebuah mesyuarat penting antara ketua-ketua negara EU untuk mencari langkah-langkah sesuai dalam menangani isu kemelesetan ekonomi dunia. Dalam konteks Kelantan, apakah ada terdapat sebarang langkah untuk menghadapi ancaman dari masalah ekonomi ini?

Pada saya, ekonomi tidak bermasalah tetapi manusia yang bermasalah dan sedang dengan sengaja menimbulkan masalah. Jika dikaji punca sebenar, ia boleh bermula dari pertemuan yang teramat sulit yang pernah diatur oleh enam orang banker di Jekyll�s Island. Dipengerusikan oleh Senator Aldrich dan dihadiri oleh tokoh-tokoh bank yang mewakili Rockefeller, Morgan�s, Warburg�s dan Rothchild�s; mereka memutuskan untuk menubuhkan Federal Reserve System. Inilah punca awal kepada wujudnya wang Fiat yang dicetak tanpa diasaskan kepada sandaran emas.

Wang Fiat dicipta dan dicetak dari kegiatan memberi hutang (money is created from debt). Kemunculan sistem ekonomi kapitalis yang membawa elemen riba dan bunga ini adalah satu bentuk penindasan sebenarnya. Dengan pelbagai instrumen kewangan, ia menindas massa. Umpama lintah darat, riba memeras dan menghisap darah. Yang kaya melakukan monopoli untuk terus kaya dan semakin kaya manakala yang miskin pula akan terus dimiskinkan.

Dia akan terus menerus ditindas untuk akhirnya menjadi papa kedana. Sebenarnya, jika tidaklah kerana ketamakan dan kerakusan, segala kesenangan yang disediakan oleh Allah SWT ini memang mencukupi. Ia cukup untuk kegunaan semua. Masalah yang ada adalah penyakit tamak. Kapitalis yang mengaut, membolot dan membuli. Krisis kewangan dunia ini berpunca dari sini.

Sedangkan dalam agama Islam, Allah melarang duit membuat duit. Mana boleh kita duduk diam-diam, tiba-tiba duit datang berterusan. Itu namanya riba. Sebab itulah Kelantan dari awal lagi bila nak bagi pinjaman pada kakitangan untuk pembelian rumah, kenderaan dan komputer, mereka tidak dikenakan riba dan ini amat menyenangkan hati rakyat negeri ini. Ini satu contoh kecil bagaimana kami boleh menjawab soalan tuan tadi.

Dalam Islam, ayat al-Quran yang paling panjang ialah ayat-ayat yang menghuraikan isu ekonomi. Ini membuktikan bahawa agama Islam ini lengkap. Ia satu sistem yang mampu diamalkan. Bahkan ia adalah formula mutlak yang terbaik; penyelesaian dan jawapan kepada segala perkara.

Saya mahu tanya satu soalan politik tempatan. Saya perhatikan PAS, DAP dan KeADILan mempunyai perbezaan dasar parti yang cukup ketara. Tidakkah ini sebuah kesukaran untuk berlakunya persefahaman yang kordial?

Menyentuh tentang masalah hubungan dengan DAP misalnya. Saya lihat, itu mungkin dulu. Kini, saya tidak fikir demikian. Tidak lagi. Dulu misalnya, mereka agak cenderung melihat kami ini ada membawa pengaruh Taliban. Kini saya lihat sudah ada perubahan sikap. Mereka lebih banyak cuba memahami.

Dalam banyak contoh yang ditunjukkan, saya dapat lihat mereka semakin terbuka hasil dari bertambahnya kefahaman. KeADILan pun sama. Paksi perjuangan mereka adalah keadilan. Ini cukup selaras dengan perjuangan Islam yang menjadi teras perjuangan PAS. Tiada erti Islam itu jika tiada keadilan. Jadi sekali lagi, kita menjangkakan kita tiada masalah.

Menilai isu melingkari mantra 'ketuanan Melayu'

AKHIR-AKHIR ini, banyak isu yang melanda negara ini menyentuh asas-asas tertegaknya Persekutuan Malaysia. Setelah 50 tahun negara ini terbentuk, pengukuhan kepada asas dan tiang seri negara ini menerima cabaran-cabaran yang boleh dianggap mempertikaikan malah menghakis secara tidak disedari sendi yang menjadi sebab kepada terbentuknya Malaysia hari ini.

Pokok pertikaian yang menjadi isu parti-parti politik hari ini mengheret seluruh rakyat Malaysia berputar di sekitar �kontrak sosial�, �ketuanan Melayu� dan kebebasan beragama dengan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

Tangan yang menerima kemerdekaan daripada parti politik ketika itu adalah Umno, MCA dan MIC, manakala pihak Raja adalah sebagai pihak kedua yang mempunyai kepentingan dari sudut keberlangsungan institusi Raja yang terjamin dalam rundingan kemerdekaan. Sudah tentulah British bagi pihak penjajah mahukan kelicinan penyerahan kemerdekaan yang akan diberikan.

Kita hari ini mewarisi sejarah tersebut dan nampaknya keazaman Umno untuk mempertahankan asas rundingan kemerdekaan dan kemudiannya terbentuk dalam Perlembagana Persekutuan semakin kehilangan kekuatannya.

Asas Rundingan

Pokok persoalan yang menjadi asas rundingan ialah Hak Orang Melayu, Agama Islam dan Raja-Raja Melayu. Ini dijustifikasikan dengan tawaran kewarganegaraan kepada kaum Cina dan India yang akan menjadi sebahagaian daripada rakyat Persekutuan Tanah Melayu nanti. Penentangan kewargnegaraan kepada kaum lain sebenarnya telah mencetuskan penubuhan Umno yang kemudiannya menjadikan Melayu sebagai titik tolak perjuangannya.

Dalam kegagalan Malayan Union, satu cadangan baru dikemukakan dengan Umno menjadi perunding utama kepada bentuk baru yang nanti akan membuka jalan kepada kemerdekaan. Maka lahirlah konsep Persekutuan dan tawar menawar kewarganegaraan kepada orang Cina dan India melahirkan asas kepada satu persefahaman yang menjadikan �Hak orang Melayu,� Islam sebagai agama Persekutuan dan Raja-Raja Melayu sebagai syarat penerimaan kewarganegaraan dalam Persekutuan Tanah Melayu.

Mempertahankan Asas

Sepanjang sejarah, asas-asas ini sentiasa menerima berbagai-bagai dugaan dan cabaran. Pertama ialah keluarnya Singapura daripada Persekutuan Malaysia tahun 1963 yang secara ideologinya mahukan Malaysia menjadi Malaysian Malaysia sekali gus menolak soal hak keistimewaan orang Melayu. Seterusnya kelantangan kepada konsep ini dipanjangkan oleh DAP dan Gerakan.

MCA mengambil jalan selamat dengan tidak menyebutnya secara awam. Seterusnya ialah isu Pindaan Perlembagaan yang mengurangkan kuasa Raja-Raja sehingga mencetuskan kontroversi Istana dan Parlimen serta Umno. Dalam konteks bahasa Malaysia, pukulan paling teruk yang diterimanya ialah dengan isu Pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris yang mengundang polemik. Adapun Islam, badai yang mengujinya terlalu banyak antaranya ialah isu murtad, kewibawaan mahkamah syariah dan liberalisasi agama dalam kehidupan. Hak orang Melayu pula diuji dengan salah guna kuasa, rasuah dan menjadi tunggangan pihak tertentu untuk kepentingan peribadi.

Badai dan taufan yang melanda asas ini telah membentuk asam garam pembentukan sebuah negara bangsa yang hari ini perlu kepada tajdid semua makna ini bagi asas ini terus kekal releven membentuk negara kita hari ini. Namun apakah jalannya, dalam cabaran-cabaran kini yang mendesak dan mencabar hatta kewujudan negara bangsa itu sendiri?

Cabaran yang pasti

Mana-mana negara pasti akan melalui detik ujian yang menggoncang asas kewujudannya namun keberkesanan mengatasinnya terpulang kepada kesediaan rakyat dan pemimpinnya untuk mempertahankan apa yang diterima sebagai tiang seri dan sendi yang menjadikan kita sebagai rakyat yang berdaulat.

Cabaran yang pasti, datang dalam berbagai bentuk ada yang di luar kawalan dan ada yang dapat dikawal. Perubahan kepada desakan-desakan pula boleh berlaku secara berpisah langsung daripada apa yang ada ataupun perubahan yang hanya tempelan apa yang sudah dipakai. Persoalan rumit yang tidak terjawab hari ini ialah keraguan kepada asas terbentuknya negara itu sendiri, antaranya ialah persoalan bentuk negara, konsensus asas negara dan bentuk patriotism yang ingin dicapai.

Perdebatan tentang apakah negara ini negara sekular atau negara Islam masih menjadi topik yang sering mengundang pandangan yang berbagai walaupun premis ketetapan pendapat masing-masing tegak atas perspektif pelbagai. Konsensus asas negara pula mendapat intepretasi yang berbagai tentang apakah asas terbentuknya konsensus sebagai tawaran kewarganegaraan kepada bukan Melayu waktu itu?

Bukanlah sangat itemnya dipertikaikan tetapi dari sudut kelangsungan, apakah sementara atau kekal begitu selamanya? Bagaimana pula mantra Ketuanan Melayu, apakah ia kewajaran ataukah satu usaha ancaman kepada kaum lain? Adapun bentuk patriotism, apakah asas terbentuknya bangsa Malaysia? Bagaimana pula pendekatan integrasi yang kita amalkan selama ini adakah persefahaman dan toleransi ataukah lebih baik �dicairkan� siapa saja supaya hanya ada satu identiti warganegara?

Atas nilai apakah identiti itu akan tertegak? Apakah nilai Melayu boleh dilihat dalam perspektif faktor penyatuan identiti nasional dan bukan dalam sentimen perkauman yang sempit? Bagaimana pula kedudukan Islam yang dipersoalkan tentang sudut legalnya? Apakah mewujudkan sistem perundangan syariah yang diintegrasikan dalam perundangan sivil dianggap pencabulan kepada artikel 11 yang menjamin kebebasan menganut? Bukankah kemelut undang-undang syariah kerana pemisahan total dan keengganan bukan Islam untuk membuat representasi di Mahkamah Syariah?

Persoalan di atas semuaya menagih penjelasan dan perdebatan yang akhirnya boleh membawa kita kepada satu bentuk persefahaman di kalangan rakyat Malaysia. Hanya dengan ini perpaduan nasional boleh tercapai dan di bawa kepada satu tahap yang lebih meyakinkan semua pihak dan demi masa depan generasi rakyat Malaysia.

Tajdid pengertian integrasi nasional

Bagai ahli akademik persoalan di atas akan kekal menjadi medan perdebatan yang tak sudah-sudah, bagi ahli politik yang berasaskan perkauman isu ini terus disengajakan menjadi perdebatan bagi mewajarkan sikap �ethno-centric� mereka.

Adapun bagi pengamal politik pelbagai kaum dan mereka yang mahu melihat masa depan yang lebih baik untuk semua, satu usaha tajdid sosial diperlukan dan melalui persoalan yang timbul di atas akan menjadi pemangkin kepada usaha untuk mendapat satu ketetapan yang kemudian menjadi kewajaran kepada kita membuat pemahaman semula kepada ketetapan yang dibuat. Segala infrastruktur yang dilihat tidak membantu mewujudkan ketetapan tersebut perlu diganti dan dibina semula bagi memudahkan ketetapan baru berdiri atas acuannya yang sesuai. Bukan mudah membungkah dan menyesuaikan yang baru dengan tapaknya yang asal.

Sebab itu saya bersetuju dengan kenyataan Sultan Perak bahawa kerangka negara yang terbina selama ini tidak ada apa masalah, masalahnya ialah perlaksanaannya!

Perlaksanaan inilah yang harus dikaji dan dirombak dan dibuat ketetapan. Mampukan kita khususnya ahli politik dan penggerak masyarakat sivil membawa pemikiran tajdid sosial ini dan sekaligus integrasi nasional mendapat penjelmaan wajahnya yang baru dan lebih bertenaga untuk berjalan 50 tahun lagi ke hadapan.

Banyak peruntukan SPRM janggal, ceroboh hak peribadi

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Hrkh) - Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar bimbang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akhirnya menjadi alat untuk menceroboh hak peribadi rakyat negara ini yang dijamin oleh Perkara 5 Perlembagaan Malaysia.

"Beberapa seksyen dalam Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2008 sangat membimbangkan. Sebab itulah saya membangkitkan perkara itu dalam Dewan Rakyat baru-baru ini," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu yang menyifatkan banyak peruntukan dalam SPRM yang janggal dan mencerobioh hak peribadi rakyat negara ini.

Dalam ucapannya di Dewan Rakyat baru-baru ini, antara lain beliau melahirkan kebimbangannya mengenai seksyen 43 akta itu.

Seksyen itu menyatakan, walau apa pun peruntukan mana-mana undang-undang bertulis lain, pendakwa raya atau pegawai SPRM berhak memintas apa-apa mesej serta berhak memintas, mendengar dan merekodkan apa-apa perbualan melalui apa-apa telekomunikasi dan mendengar apa yang direkodkan dari perbualan yang dipintas itu.

Mereka juga berhak memintas, menahan dan membuka apa-apa barang pos dalam masa penghantarannya.

Mengulas seksyen itu, Mahfuz berkata: "Bagi saya bahawa sepatutnya SPRM ini harus mengambil, mendapat order daripada mahkamah terlebih dahulu walaupun tanpa pengetahuan orang yang disyaki.

"Sebab mereka harus menunjukkan apa evidence yang menunjukkan kepada mahkamah bahawa mereka perlu untuk membuat pemintasan perhubungan ini, iaitu hendak detect telefon kepada orang yang disyaki sehingga mahkamah berpuas hati, hakim berpuas hati memang ada keperluan bahawa mahkamah boleh beri hak itu kepada pihak SRPM".

Jika tidak, katanya, ia "tidak begitu baik untuk seseorang kerana mereka hanya disyaki belum lagi dituduh dan belum didapati bersalah dan sebagainya".

"Sebab itu bagi saya bahawa kita takut nanti privasi seseorang itu akan terganggu kerana akan berlaku detect melalui pintasan telefon dan sebagainya," katanya.

Begitu juga dengan seksyen 47, kata Mahfuz lagi dalam ucapannya itu, berkaitan dengan soal iaitu obligasi di sisi undang-undang untuk memberikan maklumat.

"Saya kira bahawa suatu penjelasan yang harus diberikan kepada kami di sini bahawa seolah-olahnya seksyen 47 yang harus juga dibaca bersekali dengan beberapa seksyen yang lain bahawa seolah-olahnya macam orang yang disyaki itu tidak ada hak untuk mengatakan tidak boleh memberikan keterangan sedangkan dalam kes-kes jenayah yang lain pengalaman saya bahawa kita boleh mengatakan kepada pihak penyiasat bahawa saya akan menjawab di mahkamah.

"Akan tetapi dalam akta ini dia memberikan satu kuasa yang begitu penuh, pasti mesti berikan keterangan kepada pihak yang menyiasat. Jadi bagi saya bahawa ini hak seseorang itu mungkin boleh berlaku penyalahgunaan kuasa bagi saya dan berlaku pemaksaan ke atas mereka untuk memberikan keterangan-keterangan yang kemungkinan orang itu tidak terlibat tetapi oleh sebab ketakutan berada dalam siasatan pihak SPRM ini, kemungkinan ini akan menjebakkan orang-orang tersebut," katanya.

Seksyen 47 SPRM antara lain menyatakan, tiap-tiap orang yang dikehendaki oleh seseorang pegawai SPRM atau seseorang pegawai polis supaya memberikan apa-apa maklumat tentang apa-apa perkara yang menjadi kewajipan itu untuk menyiasatnya di bawah Akta SPRM, hendaklah terikat di sisi undang-undang untuk menyatakannya.

Mahfuz menegaskan, adalah penting untuk memberikan hak kepada orang yang disyaki itu supaya dia tidak terdedah kepada penyalahgunaan kuasa yang akhirnya dia memberikan keterangan yang tidak sepatutnya diberikan keterangan kepada pihak yang menyiasat.

Beliau juga menyifatkan berlaku pengambilalihankuasa mahkamah dalam seksyen 53(4), 53(6), 53(7) itu sedangkan mahkamahlah yang sepatutnya menentukan beberapa tindakan dan keputusan-keputusan.

Seksyen 53(4) antara lain menyatakan, walaupun notis bertulis tidak diberikan kepada seseorang yang dituduh melakukan apa-apa kesalahan di bawah Akta SPRM, sesuatu pernyataan yang dibuatnya "tidaklah tidak boleh diterima sebagai keterangan semata-mata kerana tiada notis sedemikian".

Seksyen 53(6) antara lain menyatakan, apabila seseorang tertuduh gagal menyatakan apa-apa fakta di mana tertuduh dijangka akan menyatakannya, kegagalan itu dikira sebagai sokongan kepada apa-apa keterangan yang diberikan terhadap tertuduh, dalam menentukan sama ada pihak pendakwa sudah membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh dan dalam menentukan sama ada tertuduh bersalah atas kesalahan yang dipertuduhkan.

Seksyen 53(7) pula antara lain menyatakan, tiada apa-apa jua dalam Seksyen 53(6) "menjejaskan kebolehterimaan sebagai keterangan berikutan perbuatan berdiam diri atau apa-apa reaksi lain tertuduh semasa apa-apa jua dikatakan dalam kehadirannya berhubungan dengan kelakuan yang berkenaan dengannya dia dipertuduh".

Mahfuz juga menyifatkan seksyen 62 SPRM sebagai tidak adil dan boleh menyebabkan berlaku penyalahgunaan kuasa.

Seksyen tersebut antara lain menyatakan, apabila penyerahan dokumen oleh pihak pendakwaan telah dilakukan, tertuduh hendaklah, sebelum beliau dibicarakan, menyerahkan kepada pihak pendakwaan "suatu pernyataan pembelaan yang menyatakan secara am jenis pembelaan dan perkara-perkara mengenai pendakwaan yang dibantah oleh yang tertuduh, dengan menyatakan sebab-sebabnya dan suatu salinan mana-mana dokumen yang akan dikemukakan sebagai sebahagian daripada keterangan pembelaan".

Mahfuz menyifatkan adalah tidak wajar, sebelum seseorang tertuduh dibicarakan, beliau dipaksa mengemukakan kepada pendakwa tentang apa bentuk pembelaan dirinya.

"Sepatutnya pembelaan ini ialah pembelaan yang seharusnya berada, berlaku di hadapan hakim.

"Akan tetapi apabila pembelaan itu dibuat terlebih dahulu dan diberikan secara bertulis, secara dokumen kepada pihak pendakwa dan saya kira bahawa ini sesuatu yang tidak adil yang mungkin akan menyebabkan berlaku penyalahgunaan kuasa," katanya_

Kebijaksanaan Harakah, Harakahdaily diperlukan untuk tingkat imej parti

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Hrkh) - Selaku 'Agen Penerangan' yang aktif, Harakah dan Harakahdaily.net perlu bijaksana dan mempunyai displin gerak kerja yang tinggi dalam usaha untuk meningkat imej PAS dan para pemimpinnya yang senantiasa diasak di pelbagai sudut oleh media, parti-parti pemerintah dan pihak yang tidak bertanggungjawab.

Image

Pengarah Urusan Harakah Dato' Kamaruddin Jaffar berkata objektif utama kedua-dua medium itu mestilah sentiasa dilihat terbuka, bebas dan benar dalam menyampaikan laporan kepada masyarakat.

Selain itu kata Kamaruddin yang juga Setiausaha Agung PAS, Harakah dan Harakahdaiy mestilah berfungsi sebagi agen penerangan parti kepada semua pembaca khususnya rakyat Malaysia untuk mengetahui hakikat sebenar perjuangan PAS selama ini.

"Akhirnya kita mahu hasil daripada itu semua, para pengundi dan rakyat Malaysia mendekati dan mengundi PAS dalam setiap pilihan raya yang kita sertai seperti Pilihan Raya Kecil KUala Terengganu dan Umum yang ke -13 akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sewaktu merasmikan sesi 'brainstorming' dan 'post-mortem' Harakah 2 kali seminggu di salah sebuah hotel di ibu kota, dekat sini pagi tadi. Image

Turut hadir sama dalam diskusi tersebut ialah Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman, Pengurus Pemasaran, Shuhaimi Embong, Pengurus Pengiklanan Mokthar Rozaidi dan kira-kira 50 warga kerja Harakah dari pelbagai jabatan dan beberapa wakil pengedar.

Dalam pada itu Kamaruddin beranggapan, walaupun terdapat kelemahan Harakah yang perlu penambahbaikan namun ianya bukanlah satu keadaan yang menjadkan institusi tersebut 'lumpuh' atau mengalami 'disaster' malah secara keseluruhannya pengedaran Harakah berada dalam keadaan baik.

"Walaupun ada kelemahan,kita akan perbaiki dengan sebaik mugkin. Harap tak ada yang baling kasut kepada saya pula," katanya berseloroh sambil merujuk insiden yang berlaku kepada Presiden Amerika George W. Bush yang 'dibenci' warga Iraq yang telah gagal dalam kempen memerangi peperangan. Image

Beliau berharap agar sesi diskusi itu akan memberi input yang sangat baik malah pengurusan Harakah menerima secara terbuka kritikan dan pandangan terhadap operasi Harakah dua kali seminggu yang telah dimulakan empat bulan yang lalu pada 15 Ogos 2008.

"Harus dingat bahawa Harakah bukan milik peribadi tetapi mesti mewakili parti yang akhirnya melakukan tugas untuk parti.

"Justeru saya berharap semua warga kerja mempunyai displin, stamina dan semangat yang tinggi dalam menjayakan objektif dan misi parti. Dalam masa yang sama saya merakamkan terima kasih kepada semua warga kerja yang telah memastikan Harakah sentiasa berada di tangga kejayaan," katanya yang juga Ahli Parlimen Tumpat.

Sepatutnya turun 48 sen dan harga minyak RM1.42 sahaja - Guan Eng

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Hrkh) - Harga petrol sepatutnya diturunkan 48 sen kepada RM1.42 dan bukan diturunkan 10 sen sahaja, seperti yang dilakukan oleh kerajaan semalam, kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Menurut beliau, keputusan kerajaan menurunkan harga petrol sebanyak 10 sen kepada RM1.80 mulai semalam tidak menunjukkan harga pasaran sebenar, di mana harga pasaran minyak mentah dunia semasa berlegar sekitar RM157 satu tong (US$45).

Keputusan itu juga, katanya, tidak memberi kesan besar kepada peningkatan pendapatan orang ramai.

"Pada 2005, harga minyak mentah dunia berada sekitar RM164 setong (US$47) dan harga petrol di Malaysia adalah RM1.42 seliter.

"Jadi perkiraan yang sama perlu diguna pakai dalam menentukan harga semasa petrol di negara ini," kata Guan Eng.

Bercakap dalam sidang media di pejabatnya semalam, beliau juga meminta kerajaan mengarahkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) supaya menurunkan tarif elektrik berikutan harga bahan api yang semakin menurun sejak kebelakangan ini.

"Harga petrol sudah diturunkan beberapa kali sehingga RM1.80 tetapi tarif elektrik masih kekal seolah-olah harga petrol masih RM2.60 seliter," katanya.

Menurutnya, TNB menggunakan 60 peratus gas dan 40 peratus arang batu untuk menjana elektrik untuk keperluan pengguna.

"Harga gas menurun sedikit tetapi arang batu menurun lebih 50 peratus. Jadi TNB tidak mempunyai apa-apa lagi alasan untuk tidak menurunkan tarif elektrik," kata Guan Eng.

Beliau berkata, jika TNB mampu membayar RM4 bilion setahun kepada pengeluar tenaga bebas (IPP) untuk tenaga yang tidak digunakannya, ia juga harus mampu menurunkan tarif elektrik kerana ia digunakan oleh keseluruhan rakyat negara ini._

Dec 16, 2008

Pembangkang sokong SPRM dengan syarat

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Hrkh) - Ketua Pembangkang di Parlimen, Dato' Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan, pembangkang akan memberikan sokongan penuh terhadap akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2008 (SPRM) dengan syarat perubahan dan penyesuaian penting dilakukan terhadap beberapa peruntukan dalam akta itu.


 

 
  

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, akta baru itu tidak akan menyelesaikan masalah rasuah yang berleluasa dalam negara ini.

Kata beliau, pengenalan undang-undang itu terlalu sukar kerana melalui pengalamannya terlibat dengan penggubalan Akta Pencegahan Rasuah 1997, beberapa peruntukan gagal diperkenalkan kerana mendapat halangan daripada beberapa pemimpin.

"Saya lebih mirip untuk mendokong banyak peruntukan ini kerana secara kebetulan, saya terlibat secara langsung mengawasi dan membentang Akta Pencegahan Rasuah pada tahun 1997 yang begitu sukar dan kontroversi kerana tidak mendapat cukup sokongan dari rakan-rakan pada ketika itu," kata beliau ketika sesi perbahasan Rang Undang-undang SPRM 2008 di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata, salah satu peruntukan yang harus dipinda dalam akta SPRM adalah penglibatan Jabatan Peguam Negara dalam proses pendakwaan di bawah Fasal 58, Bahagian 7 yang menyatakan pendakwaan sesuatu kesalahan tidak boleh dimulakan kecuali oleh atau dengan keizinan Pendakwa Raya.

"Menteri memberi penjelasan di dalam dan luar Dewan dengan meluahkan sebahagian kuasa memutuskan sebahagian pendakwaan kepada Peguam Negara, mengharapkan ada keupayaan untuk menyemak dan menghalang keterlanjuran pihak suruhanjaya.

"Bagaimanapun, kita harus ingat bahawa Jabatan Peguam Negara khususnya Peguam Negara terlalu terselaput dengan terlalu banyak tuduhan rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

"Apatah lagi sekarang ini, Peguam Negara sendiri sedang menunggu pendakwaan terhadapnya. Saya difahamkan dengan maklumat yang cukup kuat bahawa BPR (Badan Pencegah Rasuah) telah pun mengemukakan laporan, menunggu sahaja keputusan untuk mendakwa yang tertangguh lama sebab ia melibatkan Peguam Negara," katanya.

Anwar berkata, kuasa penglibatan Peguam Negara dalam SPRM yang lebih 'kuat' daripada BPR ini menunjukkan integriti suruhanjaya ini masih terperangkap dengan kegagalan kerajaan membersihkan institusi pemerintahan pentadbiran.

Tegas beliau lagi, terdapat kes yang dibawa oleh BPR kepada Jabatan Peguam Negara sebelum ini ditutup begitu sahaja walaupun mempunyai bukti yang mencukupi.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz membacakan rang undang-undang SPRM buat kali kedua.

Beliau berkata, kerajaan telah bersetuju untuk meningkatkan keupayaan BPR sedia ada dengan menambah 5,000 anggota dalam tempoh lima tahun bagi membantu BPR mempercepat proses penyiasatan dan memberi perkhidmatan pencegahan rasuah yang lebih baik kepada masyarakat.

Enstein Malaysia lahir automatik melalui pengajaran Sains, Matematik dalam bahasa Inggeris?

Dalam meniti perkembangan kemajuan sains dan teknologi, tidak dapat dinafikan bahawa bahasa Inggeris adalah antara bahasa yang terpenting di peringkat antarabangsa. Bahasa Inggeris juga seringkali dianggap sebagai bahasa yang signifikan dalam memastikan kita tidak akan ketinggalan jauh di belakang dalam mengecapi apa yang dikatakan sebagai kemajuan.


 
 
  

Namun, tidak pula yang bercakap tentang bahasa Melayu sebagai bahasa yang menjadi tunjang dalam memperoleh kemajuan. Sedangkan bahasa Melayu telah digunakan begitu meluas sebagai salah satu cabang dari bahasa-bahasa Austronesia oleh sekitar 300 juta penutur dalam gugusan pulau-pulau Melayu-Polinesia.

Dalam membina bangsa yang berjaya dan berdaya saing perlu juga diambil kira relevansi dalam sesuatu tindakan. Penialian tersebut perlu dibuat dalam konteks yang meluas dan bersifat jangka panjang serta tidak sempit kepada matlamat yang terbatas dan hanya bersifat jangka pendek.

Masalah sebenar

Menurut Dato' Dr Hasan Ahmad dalam bukunya Ke Arah Kelahiran Melayu Glokal, orang Melayu yang terlibat dalam membuat dasar dan keputusan yang bersangkutan dengan kepentingan bangsa Melayu seharusnya memahami apakah masalah sebenar yang dihadapi oleh orang Melayu.

Seperti contoh dalam menyelesaikan masalah kelemahan pelajar Melayu dalam menguasai bahasa Inggeris. Ada pihak yang mengaitkannya dengan sikap orang Melayu itu sendiri yang membenci bahasa Inggeris.

Maka dengan dasar yang meletakkan bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan dalam matapelajaran Sains dan Matematik, pelajar melayu mahu tidak mahu akan belajar bersungguh-sungguh dalam menguasai bahasa Inggeris untuk lulus dalam peperiksaan.

Tetapi, hakikatnya, sebelum merdeka, sejarah telah membuktikan bahawa dasar seperti ini yang menyebabkan anak-anak Melayu tidak mempunyai pendidikan yang lebih tinggi daripada peringkat sekolah rendah.

Beberapa siri peperiksaan diperkenalkan seperti Lower Certificate Education (LCE), Senior Cambridge (SC), dan sebagainya yang menggunakan aliran Inggeris sepenuhnya menyebabkan sebahagian besar pelajar melayu khususnya di luar bandar gagal.

Maka, ekoran itu, peluang mereka untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi tertutup dan akhirnya mereka terpaksa mencari pekerjaan.

Melihat kepada permasalahan tersebut, Allahyarham Tun Abdul Razak telah mengambil inisiatif untuk mengubah dasar pendidikan negara dengan memperkenalkan aliran Melayu di semua sekolah.

Setelah dasar pendidikan negara diubah dan dasar bahasa Kebangsaan diutamakan dalam sistem pendidikan, ratusan ribu pelajar Melayu memperoleh pendidikan yang lebih tinggi hingga ke peringkat pengajian tinggi.

Maka, ramai dari graduan Melayu yang telah berjaya menjadi pakar dan memegang jawatan-jawatan penting dalam bidang pekerjaan mereka masing-masing.

Tambah bebanan

Dalam pada itu, dalam keghairahan kita untuk melahirkan pakar-pakar dalam bidang sains dan teknologi, sebenarnya kita telah menambahkan lagi bebanan kepada mereka yang belajar di luar bandar.

Inilah hakikat yang harus kita terima. Dengan suasana dan kehidupan masyarakat luar bandar yang kurang diberikan pendedahan dalam penggunaan bahasa Inggeris, tiba-tiba mereka dihidangkan dengan mata pelajaran yang sememangnya sukar untuk difahami seperti fizik dan kimia untuk diajar dalam bahasa Inggeris.

Adakah dengan meletakkan sasaran untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam matapelajaran Sains dan Matematik akan berjaya menjadikan mereka saintis yang berjaya secara automatik seperti Albert Enstein?

Profesor Diraja Ungku Aziz pernah memberi reaksi yang agak bercanggah ketika dasar ini dibentangkan dengan menyatakan "sekiranya kita benar-benar ingin memajukan bangsa dalam bidang pendidikan, maka perlengkapkan dahulu kemudahan prasarananya".

Pandangan beliau ini berkait rapat dengan kesukaran yang akan dihadapi oleh pelajar Melayu yang tinggal di luar bandar untuk mempelajari Sains dan Matematik.

Bahasa terpenting

Dalam meniti perkembangan kemajuan sains dan teknologi, tidak dapat dinafikan bahawa bahasa Inggeris adalah antara bahasa yang terpenting di peringkat antarabangsa. Bahasa Inggeris juga seringkali dianggap sebagai bahasa yang signifikan dalam memastikan kita tidak akan ketinggalan jauh di belakang dalam mengecapi apa yang dikatakan sebagai kemajuan.

Dengan masalah kekurangan dari segi kemudahan untuk mendapatkan pendedahan serta kefasihan dalam penggunaan bahasa Inggeris yang masih lemah, sudah tentu pelbagai kesukaran yang akan mereka hadapi untuk belajar matapelajaran-matapelajaran tersebut dalam bahasa Inggeris.

Kesannya, tidak hairanlah mengapa berlaku terlalu banyak keciciran dalam pendidikan yang sebahagian besarnya melibatkan bangsa kita.

Tokoh Dewan Bahasa dan Pustaka DBP Dato' Awang Sariyan ketika membentangkan kertas kerjanya dalam Kenvensyen Bahasa Kebangsaan di Dewan Bahasa dan Pustaka menyatakan cara terbaik dalam menyelesaikan masalah kelemahan penguasaan bahasa Inggeris adalah dengan memperbaiki dan memperkasa sistem pengajaran bahasa Inggeris tersebut tanpa melibatkan matapelajaran lain.

Apabila ia melibatkan matapelajaran lain, ia menunjukkan seolah-olah bahasa Melayu telah hilang wibawanya sebagai bahasa ilmu dalam masyarakat yang membawa kepada corak ketamadunan Melayu-Islam.

Persoalan yang perlu dijawab, adakah adil untuk kita menafikan autoriti bahasa Melayu sebagai bahasa pendidikan hanya disebabkan pelajar melayu lemah dalam perkara-perkara asas dalam bahasa Inggeris seperti penggunaan tatabahasa?

Emperor Puyi sewaktu perang dunia kedua telah bersubahat dengan Jepun untuk menyerang Manchuria dan setelah kemenangan dicapai, beliau telah dinaikkan pangkat sebagai Emperor. Sebelum beliau dinaikkan pangkat, beberapa perjanjian penting telah ditandatangani dalam menentukan polisi untuk membina negara Manchuko (Manchuria).

Dasar pertama dan yang paling besar dalam polisi negara Manchuko adalah pendidikan dalam negara tersebut perlu menggunakan bahasa Jepun sebagai bahasa pengantar di semua peringkat.

Ini jelas menunjukkan akan kepentingan bahasa dalam bidang pendidikan kerana ia akan menentukan generasi bangsa Manchuko itu sendiri pada masa akan datang.

Jatuh bangun bangsa

Menurut teori Ibnu Khaldun dalam kitabnya Muqaddimah, menyatakan "yang menentukan jatuh bangun sesuatu bangsa adalah kekuatan asabiyahnya". Salah satu perkara yang yang menjadi penentu kepada kekuatan asabiyah tersebut adalah bahasa yang menjadi alat komunikasi sesuatu rumpun bangsa.

Lihat saja beberapa bangsa lain di negara Afrika yang telah hilang identiti bangsanya apabila bahasa penjajah seperti Perancis dan British telah diagungkan dan dijadikan bahasa terpenting dalam semua perkara termasuk pendidikan sehingga menenggelamkan bahasa ibunda mereka.

Apa yang perlu disedari adalah kewibawaan sesuatu bahasa itu tidak terletak pada wibawa bahasa itu sendiri akan tetapi kepada kesetiaan pendokong dan penuturnya.. Profesor Dr James T. Collins menegaskan "wibawa sesuatu bahasa tidak terletak pada struktur dan sintaksisnya, kekuatan dan daya tarik bahasa berasaskan faktor politik dan sosial, termasuk kepesatan dan pencapaian ekonominya serta kesedaran dan kesetiaan penuturnya"

Bahasa sememangnya mencerminkan identiti masyarakat kita. Dalam hipoteis yang dibuat oleh ahli sosiologi linguistik Sapir dan Whorf, bahasa sebenarnya menentukan budaya sesuatu masyarakat.

Seperti contoh bahasa Melayu yang penuh dengan nilai-nilai kesopanan dan kemuliaan telah membentuk budaya Melayu itu sendiri yang dipenuhi dengan nilai-nilai positif.

Sekiranya autoriti bahasa itu tidak dipelihara, maka akan terhakislah keutuhan bahasa Melayu yang dahulunya digunakan sebagai bahasa pergaulan yang bersifat perhubungan (lingua franca) di wilayah kepulauan Melayu sejak abad ketujuh pada zaman kerajaan Srivijaya sehinggalah abad ke-14, dan pada zaman-zaman kerajaan berikutnya seperti Empayar Melayu Melaka.

Dengan terhakisnya keutuhan bahasa Melayu, nilai budaya serta identiti bangsa kita sebagai bangsa Melayu juga akan turut lenyap ditelan zaman.

Muhammad Faisal ialah Naib Presiden Antarabangsa Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) 

AKIM sertai pilihan raya kecil Kuala Terengganu

KOTA BHARU, 16 Dis (Hrkh) - Biar pun hilang wang deposit pada pilihan raya kecil Permatang Pauh pada Ogos lalu, namun Parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) tidak serik dan berminat bertanding pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu tidak lama lagi.


 
 
  

Presidennya, Hanafi Mamat berkata, AKIM yakin mendapat sokongan rakyat berdasar prinsip perjuangan membela nasib orang Melayu.

"Kami akan bertanding dan yakin dengan perjuangan kami. Semangat kami tidak pernah patah walaupun pernah tewas pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh sebelum ini," katanya ketika ditemui di sini.

AKIM ditubuh pada 1995 dikatakan mempunyai lebih 10,000 ahli.

Hanafi mendakwa Akim mendapat sokongan di kalangan tahfiz dan tabligh di Terengganu.

Menurutnya Akim akan mengadakan mesyuarat membincangkan penyertaan dalam pilihan raya di Kuala Terengganu dalam masa terdekat.

"Mesyuarat itu akan membincang soal calon dan jentera pilihan raya bagi menghadapi pilihanraya kecil tersebut.

"Pada dasarnya calon yang akan kita ketengahkan ialah di kalangan penduduk tempatan," katanya.

Sementara itu Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan PAS Kelantan, Drs Zainuddin Awang Hamat menyifatkan penyertaan lain-lain parti seperti Akim dan Bebas sebagai satu perkembangan baru politik tanah air.

Katanya kemunculan mereka pada hakikatnya bukan menentang PAS atau Pakatan Rakyat (PR), sebaliknya melawan Umno.

"Ini membuktikan Umno tidak lagi relevan kepada rakyat kerana banyak golongan mulai bangkit menentang perjuangannya. Dan pemimpin Umno harus faham hakikat ini," kata Zainuddin.

Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu akan diadakan 17 Januari depan berikutan kematian Timbalan Menteri Pelajaran, Dato� Razali Ismail.

Pada pilihan raya tersebut Razali menewaskan calon PAS, Mohamad Sabu dengan majoriti 628 undi dan calon Bebas, Maimun Yusof pula mendapat 685 undi.

Allahyarham dilaporkan meninggal dunia ketika bermain badminton di Genting Highlands. - 

PAS Pahang setuju Perak beli Camry

TEMERLOH 16 Dis (Hrkh) - Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS Pahang menyokong cadangan kerajaan Pakatan Rakyat Perak untuk menggunakan Kenderaan jenis 'Toyota Camry' sebagai kereta rasmi anggota exconya menggantikan kereta Proton Perdana yang digunakan sekarang.


 

 
  

Katanya, langkah kerajaan Pakatan Rakyat itu seharusnya menyedarkan semua pihak terutama pihak berkuasa supaya mengkaji kemungkinan wujud elemen tidak sihat sehingga menyebabkan kos penyelenggaraan kenderaan nasional didakwa tinggi.

Ia juga sepatutnya menjadi motivasi dan cabaran kepada pengeluar kereta nasional untuk meningkatkan kualiti kereta, alat ganti dan pusat servisnya.

Bagaimanapun beliau berkata, pengalaman kerajaan Pahang pada 1999 dahulu membuktikan kos penyelenggaran kenderaan exco kerajaan negeri juga tinggi sedangkan pada masa itu Pahang tidak menggunakan kenderaan jenis Proton Perdana.

"Pada masa itu (1999) Adun pembangkang menegur kerajaan negeri kerana kos penyelenggaran kenderaan exconya yang tinggi, menyebabkan isu berkenaan mendapat perhatian Audit Negara dan sebagainya.

Image"Kita bimbang kos penyelenggaran kenderaan anggota exco yang tinggi bukan disebabkan oleh jenis kenderaannya tetapi disebabkan wujudnya unsur rasuah dan sebagainya, ini kerana jika kos penyelenggaraan Proton itu tinggi kenapa rakyat biasa boleh menggunakanya, perkara itu perlu diperhatikan," kata beliau ketika ditemui di pejabatnya.

Menurutnya, beliau setuju dengan kerajaan Perak untuk menggunakan kenderaan jenis Toyota itu tetapi bagaimana sekiranya selepas itu kos penyelenggaraanya tetap tinggi.

Jika ini berlaku isunya di sini bukanlah jenis kenderaan tetapi ada unsur lain yang memerlukan pihak berkuasa menelitinya di samping meningkatkan pengurusan kewangannya. -

Seleweng kuasa: BPR bersihkan menantu MB Kelantan

KOTA BHARU, 16 Dis (Hrkh) - Percubaan pihak tertentu untuk mempalitkan isu rasuah terhadap pemimpin kerajaan negeri dan anggota keluarganya ternyata tersasar apabila tiada kes yang mampu diketengahkan Badan Pencegah Rasuah (BPR) selepas siasatan dilakukan.


 

 
  

Begitu juga kes yang cuba dibabitkan menantu Menteri Besar, Ir Abdul Ariffahmi Abdul Rahman semalam disahkan BPR telah ditutup kerana tiada asas yang mampu diketengahkan.

Pengarah BPR Kelantan, Mohd Jaafar Hussen dilaporkan berkata dakwaan mengenai penyelewengan kuasa oleh Ariffahmi yang juga Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) telah ditutup setelah didapati dakwaan itu tidak berasas.

"Dari segi perundangan, kes berkenaan tidak ada kesalahan dan semua dakwaan itu tidak betul menyebabkan kes berkenaan ditutup," katanya.

Ariffahmi ketika dihubungi melahirkan rasa syukur kepada Allah swt kerana telah melindunginya daripada musibah dan membersihkan namanya dari tuduhan tidak berasas sebelum ini.

"Terima kasih di atas sokongan dan doa beterusan Menteri Besar dan pemimpin-pemimpin kerajaan negeri serta kawan-kawan yang mengikuti kes ini.

"Saya memang menghadapi kes ini dengan tenang dan yakin ia akan selesai dengan baik.Terima kasih kepada pengarah dan pegawai BPR yang memberi layanan baik semasa siasatan dilakukan.Image

"Saya tetap komited dengan dasar pentadbiran kerajaan negeri iaitu ubudiah, masuliah dan itqan yang mana ia memberi panduan manual kerja kepada saya untuk dunia dan akhirat," katanya.

Beliau juga memanjatkan doa supaya Allah swt memberikan hidayah, kemudahan, keberkatan dan kekuatan untuk menjalankan tugas yang diamanahkan.

Menurut beliau dengan selesainya kes tersebut, membolehkannya bekerja dengan lebih gigih bagi menjayakan misi dan agenda PMBK.

Katanya juga beliau mengalu-alukan sebarang teguran bagi kebaikan PMBK yang diterajuinya sekarang.

Sebelum ini ada beberapa kes yang cuba dibabitkan pemimpin kerajaan negeri dan pegawai dengan membuat laporan kepada BPR serta polis, namun belum ada yang mampu diketengahkan ke peringkat pendakwaan.

Begitu juga dengan siasatan polis terhadap Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat ekoran kenyataan pernah cuba dirasuah tauke balak ketika baru mengambilalih teraju pentadbiran kerajaan negeri, namun ia senyap sepi sehingga sekarang. 

PAS mahu tindakan telus dalam pencegahan rasuah

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Hrkh) - Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa meminta agar kerajaan mengamalkan dasar dan tindakan yang lebih telus dalam pelaksanaan rang Undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


 

 
  

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok berkata demikian dalam perbahasan rang undang-undang SPRM di Dewan Rakyat hari ini.

"Lembaga Penasihat yang dilantik oleh Yang Di Pertuan Agong seramai tujuh orang merupakan jumlah yang sedikit dan tidak mewakili segmen utama dalam masyarakat, sebagai contoh mempelbagaikan segmen dan bidang iaitu segmen agama,"katanya kepada sidang dewan.

tegasnya, ini disebabkan jenayah rasuah itu sendiri bukan sekadar kesalahan dari sudut undang-undang bahkan juga merupakan kesalahan dari segi agama.

Beliau turut mengulas pelantikan lima orang ahli jawatankuasa aduan dalam SPRM oleh menteri yang dianggap tidak bebas.

"Ia tidak sepatutnya dilantik oleh menteri bagi memastikan ia benar-benar bebas," ujarnya.

ImageDalam pada itu, Nasharudin sempat menempelak Umno-BN yang kini sedang giat memberikan habuan wang kepada penduduk terengganu menjelang Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari akan datang.

"Kita lihat kini rakyat Terengganu dibayar royalti sebanyak RM400 juta, rasuah kah ini? kerana rasuah merupakan suapan untuk tujuan tertentu.

"Sinonimnya keadaan ini berlaku sebaik sahaja PRK diumumkan di Kuala Terengganu seolah-olah ianya merupakan rasuah berskala besar kini telah diterima umum sebagai norma sebaik sahaja tibanya pilihan raya kecil," katanya lagi.

Pada masa yang sama, beliau juga menegaskan ia merupakan perilaku kerajaan pusat yang sering menyalah gunakan kuasa dalam PRK seperti mana sebelum ini.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz membacakan rang undang-undang SPRM buat kali kedua.

Beliau berkata, kerajaan telah bersetuju untuk meningkatkan keupayaan BPR sedia ada dengan menambah 5,000 anggota dalam tempoh lima tahun bagi membantu BPR mempercepat proses penyiasatan dan memberi perkhidmatan pencegahan rasuah yang lebih baik kepada masyarakat. - 

Selagi akar umbi rasuah tidak ditangani

SUDAH berabad-abad lamanya gejala rasuah cuba dibanteras oleh umat manusia dengan berbagai-bagai cara dan undang-undang serta peraturan yang dikemukakan. Islam meletakkan soal rasuah adalah suatu jenayah yang amat jijik dan kotor.




 

Bagaimanapun undang-undang Islam untuk membanteras rasuah

tidak terperinci seperti dalam bentuk abjad a, b, c, d. Ancaman yang paling nyata dari Tuhan iaitu penerima dan pemberi rasuah tempatnya adalah di dalam neraka.

Datang dari ketua negara

Membanteras rasuah dan cara membasminya mesti datang dari ketua negara. Contoh teladan yang terpancar dari ketua negara terutama dalam konteks semangat menentang rasuah akan turun ke bawah.

Nabi Muhammad s.a.w. adalah contoh terbaik, sebagai ketua negara yang mempunyai kuasa mutlak, memerintah selama lebih kurang sepuluh tahun, tetapi apabila meninggal dunia hanya meninggalkan tujuh dirham dalam simpanan.

Akhlak baginda Nabi Muhammad s.a.w. dalam mengamalkan cara hidup sederhana, melawan nepotisma, dan juga membanteras rasuah cuba diikuti oleh sahabat muttaqeen.

ImageSelepas Perang Dunia Kedua, kemunculan negara-negara Eropah Barat dalam kejayaan revolosi industri meletakkan negara-negara berkenaan tergolong sebagai negara maju. Jika usaha pembanterasan rasuah diukur dari sudut fizikal kebendaan semata-mata, maka negara-negara Eropah Barat ini dianggap berjaya.

Ketirisan kewangan dalam menguruskan pembangunan negara dapat diminimakan. Wang negara dapat dibelanjakan mengikut nilai projek yang diumumkan oleh kementerian kewangan. Oleh itu kemajuan negara dapat diselaraskan dengen pendapatan negara.

Tidak cukup setakat azam

Di Malaysia usaha membanteras rasuah masih jauh dari tahap kejayaan. Dr Mahathir Mohamad di awal pemerintahannya dilihat amat berazam untuk membasmi rasuah hingga ke akar umbi. Namun apa yang berlaku, di penghujung era pemerintahan Dr Mahathir indeks rasuah berada pada tahap yabg memalukan mengikut kajian badan antarabangsa.

Saya yakin indeks rasuah di bawah kerajaan pimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, atau siapa sahaja yang menerajui Malaysia, tidak akan mengalami perubahan. Walaupun undang-undang dipertingkat untuk mengawal rasuah dan suruhanjaya rasuah dibentuk untuk membanteras jenayah ini, ia tidak akan berjaya selagi perkara asas penyebab kepada rasuah tidak dibasmi.

Amalan oleh kerajaan BN atau mana-mana kerajaan yang berkuasa, selagi asas nepotisma dan pilih kasih tidak dihapuskan, selagi itulah indeks rasuah tidak dapat dikurangkan. Suruhanjaya atau agensi penguatkuasa undang-undang mencegah rasuah hanya menjadi kosmetik semata-mata.

Kenapa ribuan juta ringgit terpaksa disuntik untuk menyelamatkan Bank Bumiputra? Kenapa lebih RM40 juta wang PPRT lesap? Kenapa banyak projek kerajaan tergendala dan peruntukan tambahan terpaksa dikeluarkan untuk menyiapkan projek tergendala itu? Terlalu banyak contoh projek yang boleh dipaparkan di sini.

Selagi kerajaan mengamalkan konsep "you know who, bukan you know how", selagi itulah rasuah tidak dapat dibenteras. Misalnya, untuk mendapatkan projek kecil pun pemohonnya mesti ahli Umno; nak dapat bantuan Tekun pun mesti menjadi ahli Umno. Selepas mendapat projek besar, disyaratkan pula mesti "sedekah" ke dalam tabung Umno.

Nilai profesional seseorang tidak berguna langsung kepada kerajaan BN. Selagi amalan seperti di atas diamalkan oleh kerajaan BN selagi itulah suara riuh-rendah kerajaan Abdullah Ahmad Badawi mahu membasmi amalan rasuah hanya ibarat "burung berkicau di waktu pagi, matahari terang hilanglah suaranya".

Kerajaan baru Pakatan Rakyat akan membuat ulangan kesilapan yang sama apabila berkuasa nanti di peringkat pusat, selagi akar umbi rasuah itu tidak ditangani.

Ketua negara mesti memulakan azam baru membasmi rasuah. Beliau mesti bersih dan dilihat bersih. Saya melihat tidak ada seorang pun pemimpin kerajaan BN yang mampu membuat pembaharuan membanteras rasuah, melainkan muncul seseorang yang belum muncul.