Dec 18, 2008

Banyak peruntukan SPRM janggal, ceroboh hak peribadi

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Hrkh) - Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar bimbang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akhirnya menjadi alat untuk menceroboh hak peribadi rakyat negara ini yang dijamin oleh Perkara 5 Perlembagaan Malaysia.

"Beberapa seksyen dalam Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2008 sangat membimbangkan. Sebab itulah saya membangkitkan perkara itu dalam Dewan Rakyat baru-baru ini," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu yang menyifatkan banyak peruntukan dalam SPRM yang janggal dan mencerobioh hak peribadi rakyat negara ini.

Dalam ucapannya di Dewan Rakyat baru-baru ini, antara lain beliau melahirkan kebimbangannya mengenai seksyen 43 akta itu.

Seksyen itu menyatakan, walau apa pun peruntukan mana-mana undang-undang bertulis lain, pendakwa raya atau pegawai SPRM berhak memintas apa-apa mesej serta berhak memintas, mendengar dan merekodkan apa-apa perbualan melalui apa-apa telekomunikasi dan mendengar apa yang direkodkan dari perbualan yang dipintas itu.

Mereka juga berhak memintas, menahan dan membuka apa-apa barang pos dalam masa penghantarannya.

Mengulas seksyen itu, Mahfuz berkata: "Bagi saya bahawa sepatutnya SPRM ini harus mengambil, mendapat order daripada mahkamah terlebih dahulu walaupun tanpa pengetahuan orang yang disyaki.

"Sebab mereka harus menunjukkan apa evidence yang menunjukkan kepada mahkamah bahawa mereka perlu untuk membuat pemintasan perhubungan ini, iaitu hendak detect telefon kepada orang yang disyaki sehingga mahkamah berpuas hati, hakim berpuas hati memang ada keperluan bahawa mahkamah boleh beri hak itu kepada pihak SRPM".

Jika tidak, katanya, ia "tidak begitu baik untuk seseorang kerana mereka hanya disyaki belum lagi dituduh dan belum didapati bersalah dan sebagainya".

"Sebab itu bagi saya bahawa kita takut nanti privasi seseorang itu akan terganggu kerana akan berlaku detect melalui pintasan telefon dan sebagainya," katanya.

Begitu juga dengan seksyen 47, kata Mahfuz lagi dalam ucapannya itu, berkaitan dengan soal iaitu obligasi di sisi undang-undang untuk memberikan maklumat.

"Saya kira bahawa suatu penjelasan yang harus diberikan kepada kami di sini bahawa seolah-olahnya seksyen 47 yang harus juga dibaca bersekali dengan beberapa seksyen yang lain bahawa seolah-olahnya macam orang yang disyaki itu tidak ada hak untuk mengatakan tidak boleh memberikan keterangan sedangkan dalam kes-kes jenayah yang lain pengalaman saya bahawa kita boleh mengatakan kepada pihak penyiasat bahawa saya akan menjawab di mahkamah.

"Akan tetapi dalam akta ini dia memberikan satu kuasa yang begitu penuh, pasti mesti berikan keterangan kepada pihak yang menyiasat. Jadi bagi saya bahawa ini hak seseorang itu mungkin boleh berlaku penyalahgunaan kuasa bagi saya dan berlaku pemaksaan ke atas mereka untuk memberikan keterangan-keterangan yang kemungkinan orang itu tidak terlibat tetapi oleh sebab ketakutan berada dalam siasatan pihak SPRM ini, kemungkinan ini akan menjebakkan orang-orang tersebut," katanya.

Seksyen 47 SPRM antara lain menyatakan, tiap-tiap orang yang dikehendaki oleh seseorang pegawai SPRM atau seseorang pegawai polis supaya memberikan apa-apa maklumat tentang apa-apa perkara yang menjadi kewajipan itu untuk menyiasatnya di bawah Akta SPRM, hendaklah terikat di sisi undang-undang untuk menyatakannya.

Mahfuz menegaskan, adalah penting untuk memberikan hak kepada orang yang disyaki itu supaya dia tidak terdedah kepada penyalahgunaan kuasa yang akhirnya dia memberikan keterangan yang tidak sepatutnya diberikan keterangan kepada pihak yang menyiasat.

Beliau juga menyifatkan berlaku pengambilalihankuasa mahkamah dalam seksyen 53(4), 53(6), 53(7) itu sedangkan mahkamahlah yang sepatutnya menentukan beberapa tindakan dan keputusan-keputusan.

Seksyen 53(4) antara lain menyatakan, walaupun notis bertulis tidak diberikan kepada seseorang yang dituduh melakukan apa-apa kesalahan di bawah Akta SPRM, sesuatu pernyataan yang dibuatnya "tidaklah tidak boleh diterima sebagai keterangan semata-mata kerana tiada notis sedemikian".

Seksyen 53(6) antara lain menyatakan, apabila seseorang tertuduh gagal menyatakan apa-apa fakta di mana tertuduh dijangka akan menyatakannya, kegagalan itu dikira sebagai sokongan kepada apa-apa keterangan yang diberikan terhadap tertuduh, dalam menentukan sama ada pihak pendakwa sudah membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh dan dalam menentukan sama ada tertuduh bersalah atas kesalahan yang dipertuduhkan.

Seksyen 53(7) pula antara lain menyatakan, tiada apa-apa jua dalam Seksyen 53(6) "menjejaskan kebolehterimaan sebagai keterangan berikutan perbuatan berdiam diri atau apa-apa reaksi lain tertuduh semasa apa-apa jua dikatakan dalam kehadirannya berhubungan dengan kelakuan yang berkenaan dengannya dia dipertuduh".

Mahfuz juga menyifatkan seksyen 62 SPRM sebagai tidak adil dan boleh menyebabkan berlaku penyalahgunaan kuasa.

Seksyen tersebut antara lain menyatakan, apabila penyerahan dokumen oleh pihak pendakwaan telah dilakukan, tertuduh hendaklah, sebelum beliau dibicarakan, menyerahkan kepada pihak pendakwaan "suatu pernyataan pembelaan yang menyatakan secara am jenis pembelaan dan perkara-perkara mengenai pendakwaan yang dibantah oleh yang tertuduh, dengan menyatakan sebab-sebabnya dan suatu salinan mana-mana dokumen yang akan dikemukakan sebagai sebahagian daripada keterangan pembelaan".

Mahfuz menyifatkan adalah tidak wajar, sebelum seseorang tertuduh dibicarakan, beliau dipaksa mengemukakan kepada pendakwa tentang apa bentuk pembelaan dirinya.

"Sepatutnya pembelaan ini ialah pembelaan yang seharusnya berada, berlaku di hadapan hakim.

"Akan tetapi apabila pembelaan itu dibuat terlebih dahulu dan diberikan secara bertulis, secara dokumen kepada pihak pendakwa dan saya kira bahawa ini sesuatu yang tidak adil yang mungkin akan menyebabkan berlaku penyalahgunaan kuasa," katanya_

No comments:

Post a Comment