Dec 13, 2008

PAS masuk bertanding untuk menang - Ustaz Nasharudin

KUALA TERENGGANU, 13 Dis (Hrkh) - Pengarah Jawatankuasa Induk Pilihan Raya Kecil P.36 Kuala Terengganu, Ustaz Nasharudin Mat Isa menegaskan penyertaan PAS bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu kali ini untuk menang.

Katanya, pilihan raya kali ini merupakan pilihan raya Pakatan Rakyat, kerjasama antara PAS, Parti KeADILan Rakyat (KeADILan) dan DAP.

Malah menurutnya, jentera parti kini berada dalam keadaan siap sedia dan penyertaan PAS kali ini adalah bagi memenangi kerusi parlimen tersebut.

�Kita masuk untuk menang. Pilihan raya kecil ini adalah pilihan raya Pakatan Rakyat dan kita (PAS) mendapat sokongan sepenuhnya daripada rakan-rakan komponen Pakatan Rakyat.

Image�Kita (PAS) terima sokongan dalam bentuk kerjasama itu dan telah mulakan beberapa proses awal dan mereka (KeADILan dan DAP) telah pun menghantar wakil masing-masing bagi menduduki jawatankuasa pilihan raya kecil ini,� tegasnya pada sidang media di Bilik Mesyuarat Pejabat PAS Kawasan Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Beliau yang juga Timbalan Presiden PAS berpuas hati dengan persiapan jentera parti di peringkat kawasan dan negeri yang dibawa kepada Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat.

Menurutnya, mesyuarat jawatankuasa tersebut akan diadakan di Kuala Terengganu pada 21 Disember 2008 ini.

�Saya rasa berpuas hati dengan persiapan jentera parti di peringkat yang telah dibuat dan keputusan mesyuarat di peringkat negeri ini akan dibawa kepada Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat pada 21 Disember 2008 yang akan diadakan di Kuala Terengganu," katanya.

ImageKatanya, pada mesyuarat tersebut perbincangan lebih menjuruskan mengenai polisi parti termasuk bakal calon yang akan bertanding.

Menurutnya, prosedur biasa diguna-pakai dalam hal berkaitan dengan calon yang akan diketengahkan bermula di peringkat akar umbi lagi.

Hadir sama pada sidang media itu, Timbalan Pengarah Jawatankuasa Induk Pilihan Raya Kecil P.36 Kuala Terengganu, Dato� Mustafa Ali dan Pengarah Jentera Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu, Dato� Wan Abdul Mutalib Embong.

Dr M dilihat perlekeh Najib lagi

KUALA LUMPUR, 13 Dis (Hrkh) - Kalau dahulu tindakan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak membentang pakej ransangan ekonomi bernilai RM7 bilion dianggap menghina Parlimen, Jumaat lalu Tun Dr Mahathir Mohamad pula meremehkan pakej tersebut.

Malaysian Insider melaporkan, bekas Perdana Menteri menolak pakej rangsangan RM7 bilion itu sambil berkata, dengan membelanjakan beberapa bilion ringgit sahaja tidak akan membawa kesan dalam menghadapi kelembapan ekonomi.

Kenyataan itu dilihat sebagai memperlekehkan kebolehan Najib untuk menghadapi krisis ekonomi.

Kepada Dr Mahathir, pakej RM7 bilion Najib itu tidak seberapa adan tidak mencukupi untuk menangani masalah-masalah yang akan dihadapi negara ini.

Sebelum ini, beliau yang menyifatkan Najib tidak cekap menyatakan ketidakyakinannya kepada kemampuan Najib menghadapi cabaran berikutan kemelesetan ekonomi global

"Saya tidak yakin (bakal Presiden Amerika Syarikat, Barack) Obama (mampu kemelesetan ekonomi global), dan bagaimana pula Najib? Kerana ini terlalu besar untuk Najib. Terlalu besar untuk Obama," kata bekas Perdana Menteri.

Bukan sekadar dalam bidang ekonomi, malah dalam bidang politik pun Dr Mahathir tidak yakin kepada Najib yang disifatkannya tidak menunjukkan sebarang kekuatan dalam bidang politik.

Najib juga, katanya, lebih bersifat seorang pengikut dari seorang pemimpin.

Beliau berkata demikian dalam temubual khas dengan Riz Khan dari stesen TV Al-Jazeera.

Pandangan tersebut adalah lanjutan dari pelbagai pandangan negatif bekas Perdana Menteri itu terhadap Najib yang dijangka akan menjadi Perdana Menteri tidak lama selepas beliau disahkan sebagai Presiden Umno Mac ini.

Sebelum ini, Dr Mahathir menyatakan beliau tidak yakin peralihan kuasa di dalam Umno akan memulihkan parti itu.

Beliau tidak yakin gejala rasuah dan politik wang dalam Umno dapat dibendung meskipun Najib Tun Razak bakal menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno.

"Apakah dengan peralihan kuasa itu dapat memulihkan parti? Saya tidak boleh yakin lagi kerana saya belum lagi nampak Najib mampu menyelesaikan masalah rasuah dan politik wang," katanya.

Bekas Presiden Umno itu berkata, gejala itu agak sukar dikawal kerana rasuah telah menjadi satu budaya di kalangan ahli-ahli Umno yang mahukan sesuatu jawatan terutamanya menjelang perhimpunan Agung Umno pada Mac depan.

Dr Mahathir juga menganggap peralihan kuasa adalah sia-sia apabila Najib menyatakan beliau mahu meneruskan polisi-polisi yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Najib menyatakan bahawa beliau akan meneruskan Islam Hadhari. Ini bukan petanda yang baik kerana ia menunjukkan peralihan yang berlaku hanya peralihan bentuk tubuh badan sahaja, bukan polisi-polisi.

"Para pengundi tidak suka polisi-polisi yang dibawa oleh Abdullah, oleh itu mereka akan terus menolak Umno. Oleh itu, peralihan itu sia-sia sahaja," The Star memetik beliau berkata.

Dr Mahathir bukan sahaja berkali-kali menyatakan ketidakyakinannya kepada Najib, malah beliau menyifatkan bakal pewaris takhta Umno itu sebagai Timbalan Perdana Menteri yang tidak cekap kerana tidak mempunyai pendirian sendiri dan sering mengikut kata Perdana Menteri.

Malaysiakini pernah melaporkan Dr Mahathir menganggap Najib "lemah dan pengecut". Dari pendedahan Dr Mahathir juga, Malaysiakini melaporkan Najib dibayangi "budak-budak Tingkat Empat (Jabatan Perdana Menteri)".

Ketika membentangkan pakej ransangan RM7 bilion itu sebelum ini, Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyifatkan Najib melakukan penghinaan besar ke atas institusi Parlimen apabila Menteri Kewangan itu tidak mematuhi prosedur Parlimen yang betul.

Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub pula kesal apabila tindakan Najib itu bukan sahaja dibiarkan malah dipertahankan sedangkan perkara itu bukan sahaja sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini malah bercanggah dengan pearuran Dewan Rakyat.

Ketika beliau sepatutnya menggulung perbahasan Bajet 2009, Najib tiba-tiba membentangkan pakej dorongan ekonomi bernilai RM7 bilion.

Tindakannya itu mencetuskan kekecohan di Dewan Rakyat apabila ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) memprotes tindakan itu yang menurut mereka bertentangan dengan perkara 66(15) peraturan Parlimen._

PAS Padang Serai mohon sumbangan bina dewan serbaguna

PADANG SERAI, 13 Dis (Hrkh) - Kedudukan kawasan Padang Serai bersempadan dengan negeri Perak dan Pulau Pinang menyebabkan PAS Kawasan itu lebih ramai didokongi oleh mereka yang berhijrah berbanding penduduk asal di situ.

Kebanyakan mereka yang berhijrah itu adalah ata asas penempatan atau pekerjaan. Ada yang menetap di situ tetapi bekerja di Pulau Pinang atau utara Perak dan begitu juga sebaliknya yang bekerja di Padang Serai atau Kulim tetapi menetap di Pulau Pinang atau utara Perak.

"Hal itulah menyebabkan aktivis di sini, malah dari kalangan mereka yang dilantik sebagai jawatankuasa di peringkat kawasan mahupun dewan-dewan sering berlaku pertukaran.

"Sebab mereka bukan datang sebagai penduduk tetap. Tetapi oleh kerana mereka itu pendokong PAS, mereka datang sini pun mereka tetap beri komitmen," demikian menurut Setiausaha Dewan Pemuda PAS Padang Serai (DPPKPS), Zulkarnain Bakar ketika berbicara mengenai pembinaan Dewan Dr Burhanuddin Al-Helmy yang bakal menjadi pusat pentadbiran baru PAS Kawasan Padang Serai.

Katanya, sungguhpun mengalami silih ganti mereka yang mendokong PAS di kawasan itu, tetapi setidak-tidaknya Padang Serai telah menjadi 'markas tarbiyah' untuk golongan berhijrah ini hingga ada di kalangan mereka menimba pengalaman dalam pengurusan organisasi PAS di peringkat kawasan termasuk dewan-dewan. Malah menurutnya, kebanyakan cawangan juga berkembang hasil dari golongan hijrah ini. - mns

"Sebab itu kami rasa bahawa kami perlukan sebuah tempat khusus dalam menggerakkan pentadbiran dan aktiviti parti di sini. Alhamdulillah kebetulan pula PAS Kawasan telah menerima tanah seluas 14,000 kaki persegi terletak di Kampung Batu Putih, Mukim Padang Cina, Kulim yang diwakafkan.

"DPPKPS pula diamanahkan untuk memajukan tanah itu, jadi kita telah putuskan untuk membina dewan serbaguna dengan kos dianggarkan RM450,000," ujarnya menjelaskan.

Maklumnya, urusan pindah milik tanah telah selesai tahun lalu termasuk kerja-kerja menambun tanah di situ. Oleh itu, kos yang disasarkan itu hanyalah meliputi bangunan sahaja.

Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya akan menganjurkan Jamuan Malam Perdana Bersama Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa pada Isnin, 15 Disember depan di tapak dewan tersebut bertujuan mengumpulkan dana pembinaan.

"Selepas jamuan itu kita akan teruskan dengan ceramah perdana yang akan turut disertai Ketua Pemuda PAS Kedah, Ustaz Musoddak Ahmad. Jadi sekali lagi saya pohon ahli-ahli PAS dan orang ramai mendapatkan kad untuk jamuan itu bernilai RM10 sahaja sebagai sumbangan untuk dana pembinaan," ujarnya merayu.

Tambah beliau, pihaknya juga menerima sebarang bentuk sumbangan yang ingin dihulurkan khususnya kewangan melalui Bank Islam (Cawangan Kulim) nombor akaun 0205 70 100 233 93 atas nama Dewan Dr Burhanuddin Al-Helmy. Sebarang pertanyaan boleh dibuat terus kepada beliau yang juga Setiausaha Jawatankuasa Pembinaan di talian 013-4333911._

Kilang tutup: 200 hilang punca pendapatan

PONTIAN, 13 Dis (Hrkh) - Kira-kira 200 pekerja kilang nanas milik Syarikat Kumpulan FIMA, di Pekan Nanas, di sini, bakal hilang punca pendapatan apabila kilang tersebut menamatkan operasinya akhir bulan ini.

Kesemua pekerja kilang tersebut sudah menerima notis berhubung penamatan operasi kilang berkenaan sejak awal bulan ini.

Difahamkan kilang yang beroperasi sejak 1964 ini memberikan alasan peningkatan kos yang begitu tinggi sebagai punca kilang ini ditutup.

Sebagai bantahan terhadap tindakan pemilik kilang menamatkan operasi kilang ini, pekerja terbabit telah mengadakan demonstrasi aman di hadapan kilang tersebut, baru-baru ini.

Jurucakap pekerja terbabit, Mohd Fauzi Salman, 48, ketika ditemui memberitahu, kilang milik Syarikat Kumpulan FIMA terbahagi kepada dua iaitu, kilang mengetin nanas (PCM) dan satu lagi kilang, Instanco, yang menjalankan operasi pembungkusan bahan-bahan seperti gula, creamer, garam, lada sulah, bagi keperluan hotel-hotel dan juga pihak-pihak lain.

"Setakat ini operasi kilang Instanco berjalan seperti biasa tetapi PCM akan ditutup akhir bulan ini, tindakan FIMA menutup PCM sudah tentu akan menjejaskan periuk nasi kami," katanya.

Katanya, kebanyakan pekerja kilang ini sudah bekerja lebih 30 tahun lamanya, ada yang bekerja sejak dari muda hingga bercucu, seratus peratus tenaga kerjanya adalah orang Melayu bahkan FIMA itu sendiri dimiliki orang Melayu.

"Sekiranya kilang ini ditutup, bukan saja kami akan hilang punca pendapatan untuk menyara keluarga malah, kilang nanas nombor dua terbesar milik orang Melayu di negara ini yang boleh dibanggakan selama ini akan hanya tinggal sejarah sahaja," jelasnya.

Katanya, walaupun pihak kilang berjanji untuk memberi pampasan kepada pekerja namun pampasan yang bakal diterima ini tidak mungkin dapat menjamin masa depan pekerja. Image

"Pihak kilang berjanji akan memberi pampasan berdasarkan tempoh bekerja dan gaji terakhir yang diterima, sebagai contoh, saya sudah bekerja selama 30 tahun dan gaji terakhir saya lebihkurang RM1,000 sebulan, ini bermakna saya akan mendapat sekitar RM30,000.

"Bagaimana pula halnya pekerja yang berkhidmat dalam tempoh yang singkat dan menerima gaji kurang daripada RM1,000 sebulan, sudah tentu pampasan yang bakal mereka dapat juga sedikit.

"Dalam keadaan ekonomi hari ini adakah jumlah wang sebanyak ini mampu membiayai masa depan kami, ditambah pula dengan usia yang semakin meningkat apakah kami mampu mendapatkan kerja lain untuk meneruskan hidup," katanya.

Sehubungan itu beliau merayu kerajaan campur tangan bagi mengelakkan kilang ini ditutup.

"Kerajaan mesti melakukan sesuatu bagi mengelak kilang ini ditutup dan jika perlu kerajaan melalui agensi-agensi yang ada, mengambil-alih semula kilang ini, jika kilang ini ditutup bukan saja kami akan hilang punca pendapatan bahkan kesannya juga akan turut dirasai penanam nanas di kampung-kampung yang kebanyakannya juga terdiri dari orang Melayu," ujarnya lagi.

Dec 12, 2008

Obama harapan baru buat dunia?

Dunia minggu lepas meraikan kemenangan senator Barack Hussein Obama dalam pilihanraya presiden Amerika Syarikat yang paling mendebarkan pada abad ke-21 ini. 

Dari benua Amerika, Afrika, Eropah dan Asia, kemenangan presiden kulit hitam yang pertama itu diraikan. 

Obama dianggap sebagai orang Amerika berketurunan Afrika oleh kerana bapanya berasal dari Kenya sedangkan ibunya berasal dari Kansas, AS.

Dengan menggunakan slogan “Yes we can” (Ya, kita boleh), senator Illinois dan Joe Biden dari Demokrat berjaya menambat hati rakyat AS dan menewaskan pencabarnya John McCain, calon Republikan dengan membolot 349 undi Badan Perwakilan Pemilih (BPP) di seluruh negara melepasi undi minimum sebanyak 270 undi BPP bagi melayakkan seseorang calon untuk diisytihar menang bagi menduduki Rumah Putih.

Sementara itu, McCain yang bergandingan dengan gabenor Alaska, Sarah Heath Palin sebagai calon naib presiden hanya memperoleh 163 undi BPP.

Walaupun keputusan pilihanraya di North Carolina (15 undi) dan Missouri (11) kesemuanya melibatkan sebanyak 26 undi BPP masih belum diputuskan, ia tidak akan mengubah keputusan pilihanraya dan hanya akan meningkatkan undi yang diterima oleh Obama dan McCain.

Dianggarkan seramai 130 juta rakyat AS keluar mengundi menjadikan peratusan keluar mengundi yang tertinggi dalam sejarah negara tersebut sejak 1960.

Dalam ucapannya di Grant Park, Chicago bandar kediamannya, Obama menyatakan bahawa "detik perubahan sudah tiba di Amerika" dan menyeru seluruh rakyat AS supaya bersatu menyahut pelbagai cabaran mendesak.

Obama turut berterima kasih kepada semua golongan yang menyokongnya dan yang tidak menyokongnya dan berjanji untuk menjadi presiden bagi semua rakyat AS di hadapan 200,000 orang yang berhimpun.

Reaksi dunia

Kemenangan Obama mendapat pelbagai reaksi positif dari pemimpin dunia.

Perdana menteri United Kingdom, Gordon Brown menyatakan bahawa pilihanraya presiden di Amerika Syarikat kali ini merupakan satu sejarah. Brown turut mendakwa bahawa dia dan Obama “berkongsi banyak nilai”.

Sementara itu, presiden China, Hu Jintao berkata dia mengharapkan kemenangan Obama akan memperkuatkan dialog diantara China-Amerika Syarikat.

Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy berkata keputusan pilihanraya tersebut memberikan harapan besar kepada dunia. 

Kenya, tempat asal bapa Obama turut meraikan kemenangan presiden baru AS itu. Mwai Kibaki, presiden Kenya mengisytiharkan cuti umum sebagai tanda kegembiraan rakyat negara tersebut terhadap kemenangan Obama. 

Di Indonesia, bekas rakan sekelas dan bekas guru Obama turut meraikan kemenangannya. Menurut Dewi Asmara, salah seorang daripada rakan sekelas Obama, “saya masih teringat dalam satu kelas, setiap pelajar menuliskan tentang cita-cita mereka. Ada yang menyatakan mereka mahu menjadi peguam, tentera dan juruterbang akan tetapi Obama mahu menjadi presiden”.

Di Obama, Jepun - sebuah bandar nelayan - turut merayakan kemenangan presiden kulit hitam pertama itu kerana namanya berkongsi dengan senator Illinois.

Inilah pertama kali kemenangan calon presiden AS disambut hebat oleh dunia. Dari benua Amerika, Eropah, Afrika dan Asia majoritinya meraikan kemenangan Obama.

Ini adalah isyarat yang jelas daripada rakyat dunia yang sudah muak dengan kerajaan AS bawah pimpinan George W Bush dan dasar-dasar neokonservatif yang telah menyebabkan dunia menjadi kucar-kacir akibat penaklukan terhadap Afghanistan dan Iraq.

Mampukah Obama merubah dunia?

Menurut teman-teman diskusi saya, kemenangan Barack Obama sebagai presiden AS tidak akan memberikan apa-apa makna selagi dasar luar AS tidak berubah.

Menurut mereka, kemenangan Obama ibarat menukar minuman “Coca-Cola” kepada “Pepsi Cola” - kerana kedua-dua Demokrat dan Republikan adalah penganut fahaman kapitalisme.

Cuma Obama dan Demokrat mungkin dilihat sebagai kapitalisme yang lebih baik berbanding dengan kapitalisme yang dibawa oleh Republikan.

Amnesty International (AI) sebuah organisasi prohak asasi manusia telah menuntut agar presiden AS yang baru menutup kem tahanan suspek pengganas Guantanamo di Cuba yang kini memenjarakan 255 orang yang disyaki terlibat dengan Al-Qaeda, 100 hari setelah menjadi presiden.

Menurut setiausaha agungnya, Irene Khan, AI mengharapkan agar sesiapa sahaja yang menjadi presiden baru AS agar menjadikan negara tersebut sebagai jaguh hak asasi manusia di dalam dan luar negara.

Selain itu, harapan besar masyarakat dunia ialah dengan kemenangan Obama, penaklukan Amerika Syarikat terhadap Afghanistan dan Iraq dapat ditamatkan dengan segera.

Dengan harapan yang tinggi dan menggunung daripada rakyat AS dan warga dunia terhadap Obama, mampukah senator Illinois itu melakukannya? 

Obama dan Badawi

Harapan yang diberikan oleh rakyat AS dan warga dunia terhadap Barack Obama mirip harapan rakyat Malaysia ketika memberikan kemenangan  besar kepada Barisan Nasional yang dipimpin oleh Abdullah Ahmad Badawi dalam pilihanraya umum 2004.

Abdullah pada ketika itu berjanji akan melaksanakan reformasi terhadap sistem kehakiman, pentadbiran negara dan ingin memerangi rasuah. 

Akan tetapi sepanjang pemerintahannya hingga ke 2008 menyaksikan kegagalan Abdullah untuk melaksanakan janji-janjinya kepada rakyat Malaysia.

Akibatnya Abdullah dihukum oleh rakyat Malaysia. Buat pertama kalinya selepas 1969, Barisan Nasional hilang penguasaan majoriti 2/3 di parlimen.

Jika Obama gagal melaksanakan janji-janjinya, beliau akan menerima nasib sama seperti Abdullah pada masa akan datang.

Cabaran yang dihadapi oleh Obama pada masa akan datang amat besar dan beban yang bakal dipikulnya selepas menjadi presiden AS yang sah pada pertengahan Januari 2009 amat berat.

Ketika ini, AS sedang berhadapan dengan krisis ekonomi yang turut memberikan kesan kepada ekonomi dunia. Krisis yang dihadapi kini dikatakan bakal menyamai Great Depression pada tahun 1930-an dahulu.

Obama memberikan harapan kepada warga dunia untuk perubahan. Tidak salah untuk mempunyai harapan. Kerana harapan, manusia terus hidup. 

Seperti yang dikatakan oleh Christopher Reeve, pelakon filem Superman, “sekali anda memilih berharap, segalanya mungkin”. (Once you choose hope, anything's possible).

Anwar sasaran baru 'perang bogel'

Gerakan Reformis Rakyat Malaysia (Reformis) yang lantang mengkritik Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ingin melebarkan "perang bogelnya" terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Datuk Seri Anwar mesti bertanggungjawab terhadap apa yang Tan Sri Khalid lakukan dalam menindas dan menzalimi rakyat negeri Selangor," kata presidennya Ramlan Abu Bakar di satu sidang akhbar di ibu kota.

Awal minggu lalu, NGO itu mengancam akan “menyerang hendap” Abdul Khalid bagi menekan pemimpin itu menunaikan tuntutannya, antaranya kadar kenaikan sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan dakwaan penyalahgunaan kuasa menteri besar menganjurkan Karnival Rakyat di Shah Alam hujung bulan lepas.

reformis president ramlan abu bakar 121208 01Ramlan enggan mendedahkan bilakah "perang" itu akan dilancarkan. 

"Kalau dedahkan butirannya, bukan lagi (taktik) serang hendap, tetapi peperangan konvensional," katanya.

Ramlan malah turut mencabar kedua-dua pemimpin PKR itu tampil berdebat dengannya berhubung dakwaaan Reformis bahawa Selangor gagal membela nasib rakyat miskin.

"Saya bagi pihak Reformis mencabar Datuk Seri Anwar dan Tan Sri Khalid untuk berdebat dengan saya. 

"Saya hanya perlu satu jam, setengah jam saja untuk menghuraikan masalah rakyat miskin yang terpinggir di negeri maju seperti ini (Selangor), yang dinamakan negeri kebajikan," kata presiden Reformis.

Sepuluh penyokongnya turut sama dalam sidang akhbar di gelanggang sepak takraw di perkarangan sebuah rumah pangsa kos rendah di Sentul Utama.

Ramlan berkata, debat itu diharapkan dapat menghasilkan rumusan bagi menyelesaikan masalah rakyat miskin di negeri itu.

Beliau, yang juga anggota PKR, bagaimanapun tidak menetapkan tarikh kepada penasihat parti itu untuk berdebat.

"Terpulang pada beliau. Sebab beliau sibuk, (kami) berlaku adillah (memberikannya masa)," kata Ramlan penuh semangat menyebabkan kanak-kanak dan beberapa penduduk mulai mengerumuni sidang akhbar itu yang dihadiri lebih kurang 10 wartawan, termasuk televisyen.

reformis president ramlan abu bakar 121208 05Ditanya sama ada Anwar patut mengundurkan dirinya sebagai pemimpin PKR jika gagal membaiki masalah kelemahan Selangor seperti dakwaannya, Ramlan berkata:

"Soal letak jawatan bukan persoalannya. Kalau beliau ada maruah, beliau mesti ambil pertanggungjawaban ini."

Tindakan meletakkan jawatan bagi beliau merupakan "jalan yang akhir", tambahnya.

Kelihatan beremosi, beliau mengungkit perihal Anwar yang memperjuangkan nasib rakyat miskin Baling pada 1974 tetapi "gagal membela mereka apabila menjadi timbalan perdana menteri”.

Anwar dilabelkan oleh Ramlan sebagai "jelmaan syaitan, pendusta, penipu, hipokrit dan munafik".

Ramlan berkata beliau pernah memaklumkan kepada tokoh utama PKR itu "supaya memperbaiki kepimpinan Abdul Khalid" tetapi Anwar gagal melakukannya dan masih "berdiam diri".

Ramlan berkata, cabaran debat itu dibuat kerana "kegagalan Pakatan Rakyat di Selangor memenuhi manifesto pilihanraya" yang dibuat Mac lalu.

Katanya, daripada dua muka manifesto Barisan Alternatif - yang dianggotai PKR dan PAS - ketika itu, hanya empat atau lima sahaja berjaya dipenuhi.

reformis president ramlan abu bakar 121208 04Oleh itu, tambah Ramlan, selagi kesemua janji-janji manifesto itu tidak ditunaikan, beliau akan meneruskan "perang bogelnya".

"Selagi manifesto yang terdapat dalam pilihanraya ke-12 tidak ditunaikan, maka perang (bogel) ini akan berlanjutan sehingga tempoh yang ditetapkan – iaitu apabila manifesto itu semuanya tertunai. 

Tidak cukup dengan kata-kata itu, wakil-wakil rakyat PKR di Selangor turut disindirnya sebagai "Yang Berlagak" dan "Yang Bongkak" sebagai ganti Yang Berhormat kerana gagal menyelesaikan masalah rakyat bawahan di negeri itu.

Beliau bagaimanapun menafikan perjuangan Gerakan Reformasi sejak 1998 yang digerakkan oleh Anwar sebagai gagal, sebaliknya "kepimpinan parti yang gagal".

"Bukan salah parti, tetapi kepimpinan. Parti hanya nama sahaja, (hanya) slogan," tambah Ramlan.

Ditanya sebab beliau memilih menyalurkan desakannya melalui NGO itu dan bukannya melalui PKR yang mengetuai kerajaan Selangor, Ramlan berkata:

"Orang macam ini nak pujuk tak boleh, nak rayu tak boleh, nak bincang tak boleh. Cara macam ini, cara samseng. Macam ini, kita kena jadi bapa  samseng, baru beliau boleh terima. 

"Kalau cara proses-proses ini, undang-undang ini, macam (kes) PPR. Tujuh bulan ulang-alik tidak ada (kesan). Bila (ugut) hendak bogel, hendak pula beliau (menteri besar) selesaikan masalah ini."

Shah Rukh Khan lebih utama dari tokoh wanita Umno

DATO' Seri Mohd Ali Rustam masih dalam demam glamour, ekoran penganugerahan Darjah Dato' kepada artis Bollywood, Shah Rukh Khan baru-baru ini.


 

 
  

Dengan penuh kebanggaan, calon bagi jawatan Timbalan Presiden Umno ini mengesahkan akan menghantar sekumpulan pegawai ke Mumbai, India, Januari depan bagi meninjau kemudahan studio perfileman milik Shah Rukh Khan yang berjanji membantu penubuhan studio itu.

Mohd Ali memang dikenali kerana kreativitinya sebagai orang politik. Kerajinannya cukup luar biasa.

Jika dijemput, tiada majlis kahwin yang dia tidak sampai. Biarpun kedatangannya sesudah majlis perkahwinan selesai, namun Mohd Ali pasti akan muncul.

Begitu juga dengan sikapnya yang pemurah. Kalau ada kawan-kawan yang sakit, menderita atau meninggal dunia, biasanya jika mereka memberitahu Mohd Ali, pasti akan sampai segala bentuk bantuan dan pertolongan.

Bukan itu sahaja, sejak Mohd Ali menjadi Ketua Menteri Melaka, sikap pemurahnya juga menyebabkan ramai yang bukan orang Melaka, tidak ada jasa kepada Melaka, akan disokong untuk dianugerahkan gelaran Dato'. Malahan, ada yang menerima Dato' Wira, Dato' Seri dan JP.

Ini bukan rahsia dan semua orang mengetahuinya. Terutama orang politik dan tokoh perniagaan, jika disokong oleh orang politik, insyaAllah, orang yang disokong itu akan bergelar Dato' dalam masa yang singkat.

Begitu juga Shah Rukh Khan. Dia dianugerahkan gelaran Dato' kerana jasanya kepada Melaka. Malahan, kata Mohd Ali, kemungkinan Shah Rukh Khan akan menerbitkan filem terbaru, yang akan menyebut Melaka pada tajuk filem itu, walaupun belum ada pengesahan tetapi, begitulah janjinya.

Ini yang dikatakan kreativiti. Penganugerahan pula, bolehlah disebut inovasi. Bila kreativiti dicampur dengan inovasi, lebih kuat kedudukannya.

Malangnya, ketika Mohd Ali sibuk mencari seluruh orang politik dari seluruh Malaysia, khususnya dari kalangan ketua-ketua bahagian Umno, untuk disokong menerima anugerah Dato', dia terlupa, ada beberapa insan yang dia patut beri anugerah, walaupun orang itu sudah meninggal dunia.

Tahukah Mohd Ali, ketika dia sibuk menyenaraikan seorang demi seorang, ketua bahagian, timbalan dan naib ketua bahagian, selain dari ketua Pemuda, Wanita dan Puteri bahagian untuk dianugerahkan Dato' kenapa dia tidak menyemak siapa Ketua Kaum Ibu Umno Melaka (Ketua Pergerakan Wanita Umno Negeri Melaka) yang pertama, yang tidak pernah menerima apa-apa anugerah dari Kerajaan Negeri Melaka?

Apakah kerana Ketua Kaum Ibu Umno Negeri yang pertama itu, tidak dapat memberikan sebarang undi kepada Mohd Ali atau, memang menjadi dasar Kerajaan Negeri Melaka, orang yang sudah meninggal, tidak perlu dikenang dan tidak perlu diberikan sebarang penghargaan.

Tidak ada ruginya Mohd Ali mengarahkan pegawai-pegawainya menyemak sejarah Umno Melaka, siapakah Ketua Kaum Ibu pertama Negeri Melaka.

Namanya Asmah Alang dan orang ini pun sudah meninggal dunia dan tidak pernah menuntut apa-apa penghargaan daripada Umno Negeri Melaka, jauh sekali, kerajaan negeri.

Tahun ini, tahun yang cukup sibuk buat Mohd Ali. Tidak payahlah kerja menyemak nama Allahyarham Asmah ini dibuat kerana, masa yang ada sekitar empat bulan lagi adalah cukup baik jika digunakan untuk menyemak siapakah yang dapat memberikan undi mereka kepadanya, untuk dia menang jawatan Timbalan Presiden Umno.

Lawannya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib pun bukan calang-calang orang.

Maka, persiapan Mohd Ali kenalah lebih hebat dari dua calon yang bejawatan di peringkat pusat, sedangkan Mohd Ali hanya seorang Ketua Menteri dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Melaka, yang hanya mempunyai enam bahagian.

Berbanding dengan Muhyiddin, walaupun tidak menjadi pengerusi kepada mana-mana badan perhubungan negeri, tetapi pengalamannya yang cukup lama dalam kerajaan Pusat dan negeri, membuatkan orang Umno lebih mengenalinya dari Mohd Ali dan Muhammad.

Muhammad pula adalah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor, negeri yang mempunyai 22 bahagian dan dari segi sejarahnya, walaupun Muhammad baru sahaja menjadi Menteri Pusat tetapi, dia pernah menjadi MB Selangor selama 11 tahun.

Jika dibandingkan antara Mohd Ali, Muhyiddin dan Muhammad, Mohd Ali yang paling baru dalam MT Umno. Sepenggal dia menjadi anggota MT, terus menang kerusi Naib Presiden berbanding Muhyiddin dan Muhammad pernah menang kerusi Naib Presiden dalam tahun 1993, serentak tetapi Muhyiddin di kerusi nombor satu manakala Muhammad di kerusi nombor tiga.

Ketiga-tiganya pernah menjadi Menteri Besar/Ketua Menteri, tetapi Mohd Ali seorang sahaja tidak pernah menjadi Menteri, berbanding Muhyiddin dan Muhammad. Tidak pula sesiapa menyimpan rekod, berapa ramai yang bergelar Dato' ketika Muhyiddin menjadi MB Johor, begitu juga dengan Muhmmad, berapa ramai yang dianugerahkan gelaran Dato' dari Selangor ketika dia menjadi MB, tetapi ramai yang mengatakan, ketika Mohd Ali menjadi Ketua Menteri Melaka, bukan sahaja orang Umno dan anggota komponen BN mendapat anugerah Dato', malahan, pelakon Bollywood pun kini sudah bergelar Dato'.

Jika Shah Rukh Khan boleh mengundi dalam pemilihan Umno Mac depan, nescaya hampalah Muhyiddin dan Muhammad untuk mendapat sokongan dan undi dari pelakon Bollywood ini.

Sebenarnya, soal penganugerahan darjah kebesaran, adalah hak kerajaan negeri dan tiada siapa boleh mempertikaikannya. Cuma, apakah selepas Shah Rukh Khan dapat anugerah dari Melaka, selepas ini ada negeri-negeri lain, bercadang untuk menganugerahkan gelaran Dato' kepada mana-mana ahli gusti WWE seperti Randy Orton, Batista atau Undertaker?

Mudah-mudahan, Shah Rukh Khan menepati janjinya, meletakkan nama Melaka pada tajuk filem terbarunya supaya Melaka sentiasa dalam ingatan para penonton filem Bollywood dari seluruh dunia.

Jika dia tidak menepati janjinya, Mohd Ali bolehlah mencari seorang lagi calon Bollywood yang boleh membantu mempromosi Melaka, walaupun dari segi sejarah penganugerahan, hanya mereka yang berjasa kepada negeri sahaja diberikan anugerah seperti ini.

Allahyarham Asmah Alang, Ketua Kaum Ibu Umno (wanita Umno) yang pertama di Negeri Melaka, adalah isteri kepada bekas TPM Tun Ghafar Baba.

Walaupun jasanya barangkali tidak sehebat jasa Shah Rukh Khan, dari kaca mata pegawai-pegawai yang membuat penilaian, untuk tujuan penganugerahan gelaran Dato' dari Negeri Melaka. -

Perak ganti Perdana V6 dengan Toyota Camry

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Hrkh) - Kos membaiki serta menyelenggara Proton Perdana V6 yang tinggi mendorong Kerajaan Perak hari ini meluluskan pembelian 16 kereta Toyota Camry 2.4 sebagai kenderaan rasmi anggota exco kerajaan negeri dan pegawai kanannya.


 

 
  

Sebelum ini, kerajaan Terengganu menggantikan Perdana V6 Executive yang digunakan exco kerajaan negeri dan pegawai kanannya atas tujuan keselamatan dan penjimatan jangka panjang terutama dari segi penyelenggaraan.

Keputusan kerajaan Terengganu itu kemudiannya menjadi kontroversi walaupun disokong oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob yang menyifatkan kos penyelengaraan Proton Perdana lebih tinggi dari Mercedes Benz.

Ketika menjelaskan keputusan keputusan kerajaan Perak itu, Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, pembelian 16 kereta Toyota Camry 2.4 diluluskan sebagai kenderaan rasmi anggota exco kerajaan negeri dan pegawai kanannya bagi menggantikan Proton Perdana V6 yang dianggap telah uzur.

Keputusan itu dibuat, katanya, kerana kos membaiki serta menyelenggara Proton Perdana yang digunakan sekarang adalah tinggi disebabkan kenderaan itu sudah lama dan sering mengalami kerosakan.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco hari ini, beliau berkata, pembelian itu membabitkan perbelanjaan lebih RM2 juta.

"Tempahan sedang diusahakan manakala kereta Proton Perdana yang bermasalah itu akan dijual," katanya.

Pada sidang Dewan Undangan Negeri 13 November lepas, kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional sebelum ini dilaporkan telah membelanjakan RM1.3 juta bagi kos penyelenggaraan dan baik pulih kenderaan rasmi Menteri Besar serta barisan Exco Negeri Perak dari tahun 2004 hingga Mac 2008.

Dalam sidang akhbar itu, Mohammad Nizar juga berkata, kerajaan negeri telah mengeluarkan arahan supaya semua projek perumahan di kawasan lereng bukit di Perak dihentikan sementara sehingga pemaju mendapat pengesahan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Mineral dan Geosains bahawa projek itu selamat._

Tapak tanah runtuh Bukit Antarabangsa ditutup serta-merta

UALA LUMPUR, 12 Dis (Hrkh) - Tapak kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa, ditutup serta-merta selepas Jabatan Kerja Raya (JKR) mengeluarkan amaran bahawa kawasan itu tidak lagi selamat dan amat berbahaya.


 

 
  

Agensi Berita Nasional (Bernama) melaporkan notis penutupan kawasan tapak tanah runtuh itu dikeluarkan pihak berkuasa pada pukul 12.00 tengah hari ini.

Ketua Polis Selangor, Dato' Khalid Abu Bakar berkata hasil kajian JKR dan Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) mendapati kawasan tanah runtuh meliputi 14 unit rumah banglo seluas 4 hektar itu tidak selamat untuk orang ramai termasuk Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR).

"Polis telah menutup kawasan itu dan ambil alih sepenuhnya kawalan di kawasan berkenaan dan pasukan Unit Udara Polis Diraja Malaysia akan memantau kawasan itu dari masa ke masa," kata beliau.

Beliau juga menegaskan, JKR dan Ikram akan mengeluarkan laporan penuh berhubung status keselamatan kawasan tanah runtuh itu pada 19 Disember ini.

Bagaimanapun, Khalid berkata, pasukan kecil SAR melibatkan bomba dan Smart akan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Khalid berkata, penghuni dari lima kawasan penempatan iaitu Taman Bukit Mewah, Jalan 9 dan 11 Taman Wangsa Ukay, Jalan 6 Taman Bukit Jaya dan Kondominium Impian Selatan yang diminta mengosongkan rumah mereka, masih boleh mengambil barangan mereka dengan menggunakan pas sementara.

Sementara itu, pembinaan jambatan kekal yang sedang rancak dilaksanakan oleh JKR dijangka siap selewat-lewatnya pukul 6.00 pagi esok.

Selain itu, Khalid berkata, kerja-kerja penyelengaraan laluan alternatif yang dibina tentera akan dilakukan mulai 12.00 tengah malam ini sehingga 6.00 pagi esok.

"Kerja-kerja pemulihan jalan dan masukkan tar akan dijalankan selama dua hari mulai hari ini, dan jalan alternatif akan ditutup untuk lalu lintas dan orang ramai bermula 12.00 tengah malam ini hingga 6.00 pagi esok.

"Orang ramai yang perlukan maklumat lanjut boleh baca notis yang dilekatkan di setiap pos operasi agensi yang terbabit atau berjumpa dengan pegawai bertugas di pusat operasi," katanya.

Beliau berkata, kini fokus lebih diberikan kepada fasa pemulihan dan ia akan dipantau oleh Pegawai Daerah Gombak Huzaini Samsi.

Khalid berkata, setakat ini 102 aduan diterima polis daripada penduduk setempat mengenai pelbagai masalah, termasuk kemusnahan dan kehilangan harta benda. 

Peta negara Champa dalam simpanan Perancis


PHNOM PENH, 12 (Hrkh) - Kedudukan Champa sebagai sebuah negara berdaulat yang telah hilang daripada peta dunia boleh disahkan oleh negara Perancis.


 

 
  

"Perancis antara pihak yang menyimpan peta Negara Champa. Saya pernah dengar hal ini dalam sebuah persidangan di Kuala Lumpur tidak lama dahulu," kata seorang pengkaji tempatan kepada Harakah Daily di sini hari ini.

Mokhtar Abdul Majid, 33, berkata penurunan Melayu Cham ke Tanah Melayu itu boleh dikesan melalui Kedah, Johor (Ulu Tiram), Pahang (Pekan) dan beberapa tempat lain lagi.

"Perahu mereka banyak berlabuh di Pengkalan Chepa (Champa). Di tempat saya sudah ada sekitar 200 buah keluarga, itulah hasil bancian kami bersama Perkim," kata Mokhtar.

Sementara itu, seorang pengkaji Melayu Champa veteran yang lain, Haji Ismail Muhammad, 67, berkata pihaknya kini sedang cuba mengumpulkan semula data-data berhubung carta aliran penghijrahan Melayu Champa secara besar-besaran ke Tanah Melayu.

"Bangsa Melayu Cham terawal bermula daripada Vietnam dan kemudian turun ke Kemboja. Di sana ada sebuah tempat lagi yang boleh dilihat kawasan perkampungan mereka itu.

"Walaupun kini saya sudah menjadi rakyat Amerika, tapi kecintaan saya terhadap bangsa dan agama masih lagi tebal," kata Haji Ismail yang mula berhijrah ke Los Angeles ketika perang Vietnam dan Amerika memuncak sekitar 1970-an.


Dec 10, 2008

Presiden Kesatuan Eropah kagumi kepimpinan Nik Aziz

KOTA BHARU, 11 Dis (Hrkh) -Presiden Kesatuan Eropah,Marc Barety melahirkan rasa kagum di atas corak pentadbiran yang diamalkan oleh pimpinan Tuan Guru Dato'Nik Abdul Aziz di negeri Kelantan.

Beliau berkata demikian, ketika mengetuai seramai 14 peserta lawatan sambil belajar terdiri daripada Duta dan wakil kesatuan Eropah (EU) yang berkunjung ke negeri Kelantan baru-baru ini.

Delegasi tersebut terdiri dari negara Perancis, Republik Chech,Poland, Hungary,Slovakia, Austria, Sweden, United Kingdom,Belgium, Romania,Italy,Denmark dan Findland .

Rombongan deligasi tersebut telah disambut oleh Menteri Besar Kelantan,Tuan Guru Dato'Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kompleks Kerajaan Darulnaim.

Sementara itu di sidang media, Tuan Guru berkata kunjungan delegasi dari EU ini memberi erti kerajaan Kelantan mendapat pengiktirafan dan penghormatan dari kaca mata dunia, beliau mengucapkan jutaan terima kasih di atas kesudian mereka berkunjung ke negeri Kelantan.

Tuan Guru juga berkata beliau telah ditanya berkaitan dengan perbezaan corak pentadbiran dengan pusat dan beliau menegaskan bahawa selagi corak pentadbiran Pusat tidak berlandaskan Islam, selagi itulah kami akan menegurnya.

Beliau juga berkata selepas kerajaan PAS mengambil alih Kelantan, beliau terus menukarkan semua akaun bank milik kerajaan kepada bank Islam yang tidak berlandaskan riba dan kini sudah banyak bank-bank yang menawarkan sistem perbankan tanpa riba.

Menyentuh kepada pemimpin sesebuah negeri ianya tidak semestinya keturunan melayu, Kaum lain seperti Cina juga boleh menjadi ketua negeri asalkan ia seorang yang alim dan warak serta menurut perintah Allah SWT.

"Sebab itulah kini,kita lihat adanya kelab penyokong PAS dari kaum-kaum lain, mengapa mereka tak tubuh kelab penyokong Umno kalau Umno itu betul gak,"ujar beliau.

Kerajaan Kelantan kini juga mempunyai penghulu dari kaum-kaum lain bagi merapatkan hubungan sesama kaum di negeri ini tanpa mengira agama.

Dari segi ekonomi pula, kerajaan beranggapan ekonomi tidak salah tetapi ahli ekonomi yang telah membunuh ekonomi itu sendiri, riba telah diteruskan secara berleluasa.

"Islam melarang duit membuat duit,mana boleh kita duduk diam-diam,duit datang berterusan,itu namanya riba, sebab itulah Kelantan dari awal lagi bila nak bagi pinjaman pada kakitangan untuk pembelian rumah,kenderaan dan komputer,mereka tidak dikenakan riba dan ini amat menyenangkan hati rakyat negeri ini,"katanya lagi.

Manakala ketika ditanya tentang pelaburan di negeri ini, Tuan Guru berkata ia tidak dibincangkan bersama delegasi ini,namun kerajaan negeri tidak akan menghalang mana-mana negara luar yang ingin melabur dalam sektor perhotelan dan industri asalkan ianya tidak melanggar peraturan teras dari negeri ini seperti dalam bidang perhotelan, mereka mestilah tidak menyediakan kemudahan berjudi,minuman dari alkohol dan pelbagai kegiatan maksiat.

Sementara itu, Marc Barety pula melahirkan rasa kagum di atas corak pentadbiran yang diamalkan oleh pimpinan Tuan Guru Dato'Nik Abdul Aziz dan beliau tidak merasa janggal walaupun corak pentadbiran negeri ini berbeza dengan negeri lain seperti Sabah dan kedah yang sebelum ini pernah dikunjungi beliau.

"Pentadbiran sebegini akan berterusan kerana ia dipilih secara demokrasi dan ia tidak menimbulkan sebarang masalah kepada rakyatnya,"ujar beliau.

Sementara itu, isteri delegasi tersebut turut diraikan oleh isteri Menteri Besar,Datin Hajjah Tuan Sabariah Tuan Ishak,mereka dibawa ke pusat kraftangan dan Pusat Batik di sekitar bandar Kota Bharu. -

Muslimat PAS santuni mangsa tanah runtuh

BUKIT ANTARABANGSA, 11 Dis (Hrkh) - Dalam usaha membantu mangsa-mangsa kejadian tanah runtuh, khususnya mereka yang terperangkap, Muslimat PAS Pusat turut serta menyantuni dan menunjukkan sikap prihatin mereka.

Ketua Penerangan Muslimat PAS, Athirah Aiman serta beberapa serikandi muda turun ke lokasi kejadian, turut serta bersama AJK PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Ghazali, menunjukkan rasa prihatin mereka terhadap penduduk yang terperangkap.

Menurut Athirah,terdapat beberapa bantuan yang disalurkan pihak mereka, khususnya kepada penduduk yang terperangkap di Kondo Atheneum.

"Kami membantu urusan kelancaran lalu lintas, menyelaraskan bantuan makanan dan minuman daripada Ahli Parlimen Ampang,kemudiannya diagihkan kepada penghuni yang masih terperangkap," kata beliau yang jelas bersimpati kepada mangsa-mangsa kejadian tanah runtuh tersebut.

Selain itu, kata Athirah pihak muslimat turut membantu mengangkut para penduduk dan barangan mereka menggunakan kenderaan shuttle MP Ampang dan Titiwangsa.

Menyedari suasana muram yang dihadapi para mangsa, Athirah berkata pihaknya turut menawarkan segala bantuan dan khidmat yang diperlukan, termasuklah proses melegakan emosi para penduduk secara 'direct counseling' kepada penduduk yang lalu lalang untuk mengambil barangan mereka.

Kata Athirah, kejadian ini turut memberi kesan yang besar kepadanya hingga menyebabkan beliau tidak dapat memejamkan mata setelah meninjau sendiri keadaan di tempat kejadian, semalam.

"Perasaan melihat warga sendiri menghadapi bencana tidak sama dengan melihat warga lain yang menghadapi masalah. Saya pernah terlibat dalam kerja-kerja di luar negara, namun perasaan tersebut tidak sama," luah beliau.

Justeru, kata beliau pihaknya akan sentiasa bersiap sedia membantu mana-mana pihak yang memerlukan pertolongan, khususnya membabitkan penduduk Bukit Antarabangsa ini._

Datuk Bandar Marawi beri layanan istimewa

MARAWI CITY, 11 Dis (Hrkh) - Para anggota misi kemanusiaan yang turut disertai wartawan Harakahdaily dihargai semalam apabila Datuk Bandar Marawi City mengalu-alukan ketibaan kami.

Malah, lebih menyentuh hati,kami diberikan layanan ibarat VIP sehingga diiringi oleh pihak polis sepanjang perjalanan di bandar tersebut.

Walaupun mengetahui pengiringan tersebut lebih atas dasar keselamatan,namun tumpuan dan keperihatinan yang diberikan oleh Datuk Bandar jelas menampakkan rasa penghargaan atas misi yang dibawa oleh kami.

Semalam, anggota misi berada di dua lokasi iaitu di bandar Marawi dengan melakukan sembelihan korban dan membuat persembahan nasyid oleh Juara Akademi Nasyid,Azhan. Persembahan Azhan di bandar Marawi mendapat sambutan ramai dan tepukan gemuruh daripada para penonton.

Setelah itu, anggota misi bergerak ke hospital di bandar tersebut untuk melihat dengan lebih dekat mangsa-mangsa peperangan serta mendapat taklimat serba ringkas daripada pihak hospital.

Kebetulan, ketika di sana, pihak hospital yang sedang membuat kursus induksi untuk lebih 200 jururawat dan stafnya telah menjemput Azhan untuk membuat persembahan.

Dalam majlis tersebut anggota misi kemanusiaan telah diberikan layanan baik oleh semua.

Sebanyak 10 ekor lembu dan 30 ekor kambing telah dikorbankan semalam.

Sementara itu, perjalanan kami ke bandar Kagayan telah mengambil masa lebih 3 jam. Sepanjang perjalanan kami diberikan kawalan ketat. Malah, di kawasan Hotel Kagayan juga kami turut diberikan kawalan ketat oleh pihak polis.

Kuala Terengganu: KeADILan, DAP akan beri sokongan padu pada PAS

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Hrkh) - Ketua Pembangkang Dato' Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) dan DAP akan memberi sokongan padu kepada mana-mana calon PAS yang dipilih bertanding dalam pilihan raya kecil kawasan Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari kelak.

Anwar, yang juga penasihat KeADILan, berkata Kuala Terengganu bukan merupakan kerusi yang selamat bagi mana-mana parti dan Pakatan Rakyat akan berusaha keras untuk memenangi kerusi itu.

"KeADILan dan DAP telah memutuskan untuk memberikan komitmen penuh kepada calon PAS sama ada Mohammad Sabu yang amat berpengalaman atau calon lain yang dipilih untuk bertanding di Kuala Terengganu," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan harijadi ke-56 isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Yayasan Aman,Penanti semalam.

Katanya, Pakatan Rakyat yakin dapat memenangi kerusi itu yang kosong selepas penyandangnya Datuk Razali Ismail yang juga Timbalan Menteri Pelajaran meninggal dunia akibat serangan jantung ketika bermain badminton pada 28 Nov.

Dalam pilihan raya umum 8 Mac tahun ini, Razali menang dengan majoriti tipis 628 undi mengalahkan Mohamad Sabu dan calon Bebas Maimun Yusuf, 89, dalam pertandingan tiga penjuru.

Selain itu, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga menggesa kerajaan persekutuan menubuhkan panel pakar bebas untuk mengkaji punca kejadian Highland Towers yang runtuh pada 1993 dan tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pada Sabtu lepas. -

Larang projek cerun bukit MPAJ akur arahan Kerajaan Negeri

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Hrkh) - Majlis Perbandaraan Ampang Jaya (MPAJ) tidak akan meluluskan mana-mana projek perumahan di kawasan kelas 3 cerun bukit jika kerajaan Negeri telah menetapkan larangan tersebut.

Menurut Pengarah Perancang Bandar MPAJ, Awang Mustapha kelulusan daripada MPAJ bergantung kepada polisi kerajaan Negeri sebab projek kawasan kelas 3 di bawah pentadbiran kerajaan Negeri.

Beliau berkata demikian ketika memberi penjelasan kepada Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Mohd Salleh dan Timbalannya, Wan Hasrina Wan Hassan.

Katanya, permohonan projek kelas 3 mesti melalui Jawatankuasa Alam Sekitar di peringkat kerajaan Negeri jika kerajaan negeri luluskan MPAJ akan memproses permohonan tersebut.

Mengulas kelulusan projek perumahan di Taman Bukit Mewah katanya, projek itu diluluskan pada tahun 1985 iaitu ketika di bawah Majlis Daerah Gombak dan MPAJ masih belum wujud, MPAJ wujud pada 1 Julai 1992," katanya ketika ditemui di khemah MPAJ di Taman Mewah, Bukit Antarabangsa. Image

Menurut beliau pada tahun 1985 belum ada dasar melarang pembinaan rumah di cerun bukit dan untuk di Selangor dasar itu wujud pada tahun 2002.

Beliau turut menafikan tiada aduan daripada penduduk yang mengatakan pokok hendak tumbang tetapi yang diadu hanya pokok yang bahaya dan pihak MPAJ sudah menebangnya.

"Jika ada aduan daripada penduduk tanda-tanda akan berlaku runtuhan kita sudah turun awal, " katanya. Image

Ketika di lokasi beliau turut menunjukkan kawasan tanah rezab yang akan dijadikan jambatan kekal bagi menggantikan jambatan sementara milik angkatan tentera yang akan siap dalam tempoh tiga hari.

Beliau menjelaskan keluasan kawasan yang terlibat dengan runtuhan seluas 10 ekar, 90 meter lebar dengan kejauhan 300 meter.

Katanya lima kawasan yang perlu pindah iaitu penduduk di Bukit Mewah, kondominum Impian Selatan, rumah teres Jalan 6 Taman Bukit Cahaya, Jalan Wangsa 9 dan Jalan Wangsa 11. _

PAS rugi mengenepikan Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Hrkh) - Ketua dan Timbalan Muslimat PAS Pusat menyokong cadangan peribadi Mursyidul Am PAS yang mahu Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dikekalkan menjadi calon dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Ketuanya, ustazah Nuridah Mohd Salleh berharap pihak PAS harus mengekalkan calon lama (Mohamad Sabu) kerana pilihan raya umum baru saja berlangsung dan tidak salah jika pihak PAS meneruskan calon tersebut.

Menurut beliau, jika pihak PAS mahu mengatakan kekalahan yang berlaku di Parlimen Kuala Terengganu itu disebabkan calon orang luar, amat tidak adil kerana Parlimen di Terengganu hanya menang satu kerusi saja iaitu di Marang.

"Banyak kerusi DUN dan Parlimen yang meletakkan calon tempatan pun kalah," luahnya ketika di temui di lokasi runtuhan tanah Bukit Antarabangsa.

Sebenarnya kelebihan Mohamad Sabu terbukti bukan sahaja petah berbahas tetapi dapat mematahkan hujah pihak lawan (BN) ketika menjadi Ahli Parlimen dahulu, tegas Nuridah.

Beliau meluahkan, sayang jika pihak PAS tidak mengambil kesempatan ini untuk menaikan imej PAS dengan ketrampilan yang ada pada Mohamad Sabu.

Pandangan Nuridah itu disokong oleh Wan Hasrina Wan Hassan yang menegaskan Mohamad Sabu sudah lama berjuang dalam PAS dan mengakui bekas tahanan ISA itu mempunyai kehebatan tersendiri.

Katanya, jarang ditemui pimpinan PAS mempunyai keistemewaan seperti Mohamad Sabu kerana ketika menjadi Ahli Parlimen kebolehan atau keistemewaan beliau turut diakui oleh wakil rakyat BN.

Beliau yakin Mohamad tidak akan merajuk jika tidak terpilih menjadi calon dalam pilihan raya kecil nanti sebab beliau merupakan seorang pemimpin PAS yang berjiwa besar, bersemangat jihad yang tinggi dan betul-betul ikhlas dalam perjuangan.

Sebagai contoh katanya ustaz Hassan Syukri walaupun pernah menjadi Timbalan Presiden PAS dan sekarang tidak mempunyai apa-apa jawatan sekadar ahli Majlis Syura Ulama tetapi beliau tetap terus memberi sumbangan dalam parti.

"Kita pasti rugi jika mengenepikan orang veteran daripada sudut perjuangan kerana tenaga pimpinan seperti ini masih amat berguna," tegasnya.

Menurut beliau Mohamad Sabu mempunyai pengalaman yang banyak dalam perjuangan sejak PAS tidak menang kemudian menang dan ketika menang beliau tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam kerajaan tetapi perjuangannya tetap utuh dalam PAS.

Sikap ramah dan kemampuan yang ada pada beliau serta kehebatannya menarik pengaruh orang terutama ketika berceramah tidak dimiliki oleh mana- mana pimpinan PAS, katanya.

"Beliau boleh mengupas isu dalam bentuk yang mudah bahasa yang diucapkan mudah difahami oleh orang kampung begitu juga golongan intelektual dan beliau boleh menyesuaikan diri dengan mana-mana golongan," luah Hasrina.

Tambah beliau, Mohamad Sabu merupakan pimpinan yang boleh dibawa ke tengah, ke atas, ke tepi, ke bawah dan PAS akan kerugian besar jika mengenepikan pimpinan seperti beliau. _

Usul tergempar tanah runtuh Bukit Antarabangsa dibahas Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Hrkh) - Usul tergempar mengenai tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa dan aspek pembangunan di lereng bukit akan dibahaskan di Dewan Rakyat

Usul yang dikemukakan oleh Mohd. Azmin Ali (KeADILan-Gombak) itu diluluskan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini setelah mendapati usul tersebut adalah tertentu, berkepentingan awam dan perlu disegerakan.

Dengan itu, Dewan Rakyat memperuntukkan perbahasan selama satu jam dengan memberikan tempoh 30 minit bagi pencadang mengemukakan pandangan sebelum dijawab oleh pihak kerajaan.

Sementara itu, Azmin sewaktu mengemukakan usulnya terlebih dahulu merakamkan ucapan takziah terhadap keluarga mangsa.

Jelas Azmin, tragedi yang meragut nyawa serta memusnahkan rumah kediaman serta merosakkan harta benda awam semakin kerap berlaku ekoran kerakusan pemaju dan kelonggaran undang-undang.

Justeru katanya, satu akta yang tegas perlu digubal untuk pembangunan di cerun dan lereng bukit yang berisiko tinggi demi menjamin keselamatan penghuni dan penduduk di sekitar kawasan pembangunan.

Azmin yang memfailkan usul itu pagi semalam menyatakan sistem pemantauan yang lebih berkesan dikuatkuasakan untuk mengelak berulangnya kejadian tanh runtuh.

Dalam usulnnya juga Azmin berkata, kerajaan perlu mengambil pandangan pakar-pakar secara serius untuk menyelenggara cerun-cerun tanah.

Beliau juga menyambut baik baik kenyataan Perdana Menteri dan ketegasan Menteri Besar Selangor untuk tidak meluluskan pembangunan di cerun lereng bukit, tapi kenyataan itu sudah biasa didengar Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa berkata kejadian yang menunjukkan sikap tamak dan rakus manusia terbukti dalam tragedi terbaru Sabtu lalu.

Katanya lagi, kerajaan negeri Selangor yang terdahulu perlu dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas kejadian tanah runtuh yang berlaku baru-baru ini. _

Ketuanan Melayu vs Ketuanan Islam

NEGARA kembali bergolak mutakhir ini apabila isu Ketuanan Melayu dipalu hebat. Sesekali jelas kelihatan cara mencetus dan memanaskan isu ini lebih kepada gimik atau momokan politik dalam usaha mereka mencari formula pengukuhan semula survival pengaruh dan kuasa mereka.

Saya melihat isu ini tidak terpisah dari "jerangkap samar" yang mampu memerangkap siapa saja dalam jebak perkauman yang sengaja diletuskan.

Menjadi trend lama atau suatu tradisi yang mudah dikesan bagi kuasa politik pemerintah tatkala mengalami kemerosotan pengaruh dan sokongan pengundi bahawa mereka akan menimbulkan isu perkauman.

Sama ada ia satu tindakan untuk mencari simpati dan meraih sokongan politik, ia juga berkemungkinan satu jerat untuk memerangkap musuh politik malah ia juga boleh dilihat sebagai usaha mencipta diri sebagai hero atau juara dalam memperjuangkan hak dan ketuanan Melayu.

Umno perjuangkan Ketuanan Melayu ?

UMNO pasti sahaja menjadi parti yang lantang bersuara mempertahankan Ketuanan Melayu dengan pelbagai taarif yang mereka cipta sekalipun saling berbeza dan bercanggah antara satu taarif dengan taarif yang dibuat oleh pimpinan UMNO yang lain pula . Seperti mereka juga gagal memahami erti Ketuanan Melayu yang sebenar.

Saya setuju benar untuk menegaskan bahawa selama ini UMNO tidak pernah memahami apakah ertinya Ketuanan Melayu yang kononnya diperjuangkan oleh mereka . TIdak keterlaluan jika saya sebut bahawa UMNO lah yang bertanggungjawab merosakkan masa depan Melayu malah menjadikan Melayu "hamba" di dalam negara sendiri.

Darihal ini saya tidak perlu mem"bebel" panjang kerana ia hanya akan mengambil masa saya . Sedang semua sedia maklum apa yang telah dilakukan oleh UMNO terhadap kaum bangsa sendiri.

Tanah Rezab Melayu , Bahasa Melayu , Ekonomi Melayu , Pendidikan Melayu , kuasa politik orang Melayu malah segala milik melayu telah dinodai oleh UMNO dan BN . Lalu bagaimana hari ini mereka mahu bercakap soal Ketuanan Melayu.

Ketuanan Islam vs Ketuanan Melayu

Sebagaimana berkali saya tegaskan bahawa kaum dan bangsa selain melayu akan tersentuh hati mereka apabila kita senantiasa mengenegahkan soal melayu , melayu dan melayu . Kenapa tidak ? sebagaimana kita juga akan tersentuh perasaan jika mereka hanya mengenegahkan isu cina, cina dan cina .

Ini kerana di sebabkan bangsa kita adalah suatu yang tidak boleh berubah. Kita jadi melayu bukan kerana pilihan kita sebagaimana cina menjadi cina bukan kerana pilihan mereka.

Justeru itu , bercakap soal bangsa tidak boleh menyelesaikan masaalah perpaduan dan persefahaman antara kaum . Kita bercakap soal bangsa malah selalu berbangga dan mendabik dada dengan bangsa kita , sekalipun bangsa kita mempunyai pelbagai kelebihan dan kehebatan ia tetap akan mengundang rasa tidak puas hati dikalangan bangsa lain kerana mereka sampai bila pun tidak boleh jadi melayu untuk sama - sama menikmati kelebihan tersebut.

Apabila Kita timbulkan isu ketuanan Melayu , maka cina dan India akan terguris perasaan mereka disebabkan sampai bila pun , mereka tidak boleh jadi Melayu untuk turut sama menikmati "ketuanan" tersebut . Tambahan lah kalau melayu dipandang tidak memiliki apa - apa oleh mereka, saya kira sampai bila pun mereka tidak berminat "menjadi" melayu.

Berbeza kiranya kita bercakap soal Ketuanan Islam . Selain daripada Islam adalah agama samawi yang benar dan hebat, ia adalah agama yang boleh diterima oleh siapa sahaja justeru turunnya adalah menjadi rahmat kepada sekelian alam.

Sesiapa sahaja boleh menjadi muslim. Tidak mengira apa bangsa ia dicipta, Asy Syahadatain boleh menjadikan mereka layak sebagai seorang muslim. Maksudnya sesiapa sahaja boleh menerima Islam asal sahaja meyakini bahawa tiada Tuhan melainkan Allah sebagai Tuhan yang layak disembah . Melayu kah mereka demikianlah cina atau Indiakah mereka. Mereka boleh jadi Melayu Muslim , Cina Muslim , India Muslim atau apa sahaja bangsa mereka.

Kalau pun mereka tidak mahu menjadi muslim atau tidak menerima Islam sebagai agama dan cara hidup mereka . Mereka masih boleh memilih untuk berada dibawah lindungan Islam sebagai golongan zimmi yang membayar Jizyah kepada pemerintahan Islam.

Memandangkan Cina dan India terlebih dahulu mengenali Islam berbanding Melayu, maka saya sangat yakin apabila kita bercakap soal Ketuanan Islam, ianya tidaklah mengecewakan mereka .

Apa yang malang ialah umat Islam sendiri gagal beramal dan menghayati Islam sebagai cara hidup dan membimbing manusia kembali ke jalan yang benar. sedikit sebanyak ia menjadi fitnah kepada ummah .

Ketuanan Islam tidak akan menegecewakan Cina, India

Namun begitu Islam tetap utuh sebagai agama suci yang dipelihara oleh Allah jalla wa A'ala . Ajarannya tetap menunjuk ke arah jalan yang benar. Tidak sahaja jalan menuju akhirat dan membina kehidupan akhirat di syurga ALlah tetapi Islam adalah agama yang lengkap dengan pelbagai akta dan enakmen serta peraturan untuk manusia menjalani kehidupan di dunia.

Persoalannya kenapa tidak kita bercakap soal Ketuanan Islam lantas memperjuangkannya. Islam agama yang syumul pula kaya dengan kemuliaan akhlak dan ketinggian nilai.

Saya berkeyakinan tinggi bahawa Islam agama yang mampu malah boleh diterima oleh sesiapa sahaja andainya sampai kepadanya keterangan dan penjelasan yang lengkap mengenai Islam . Selebihnya kembali kepada ketentuan Allah untuk memberi hidayah atau tidak.

Paling tidak , menjadikan mereka akur akan kebenaran Islam dan tidak lagi memusuhi Islam atau peringkat seterusnya , mereka sedia malah memilih untuk berada dibawah lembayung Islam justeru menginsafi keadilannya kalaupun mereka belum bersedia untuk menganut ajaran Islam.

Mempertahan dan memperjuangkan Ketuanan Islam nyata berbaloi berbanding perjuangan bangsa dan warna kulit.

Berasaskan realiti ini , saya berseru agar kita tidak lagi memperjuangkan bangsa sebaliknya memperjuangkan Ketuanan Islam disamping kita berbangga menjadi bangsa apa kita diciptakan.

(Penulis adalah Timbalan Ketua Pemuda PAS dan tulisan ini dipetik daripada lamen blog beliau)

Memperbetul kecuaian gabungan Pakatan Rakyat

ADA dua perkara penting yang dibangkitkan oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar Mat Akin dalam ucaptamanya di kongres parti itu yang berlangsung 28 November lepas.

Pertamanya, AMK mahu pentadbiran kerajaan-kerajaan negeri di bawah pimpinan Pakatan Rakyat, bebas dari anasir Barisan Nasional.

Kedua, AMK mahu usaha-usaha menyediakan kepimpinan pelapis dipertingkatkan, berikutan wujud kebimbangan di kalangan KeADILan, bahawa kerjasama Pakatan Rakyat akan hilang arah tanpa Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Penegasan lanjut diutarakan Shamsul dengan berkata, "AMK dengan ini memberikan peringatan kepada kerajaan negeri Pakatan Rakyat. Jangan berdolak-dalik dengan seribu satu alasan. Pembersihan kerajaan daripada anasir BN mesti dilaksanakan tanpa bertangguh."

"Kita tidak boleh terpukau dan terpedaya dengan pemimpin dan ahli BN yang bertukar kulit hanya semata-mata untuk terus membolot peluang, tanpa menghayati falsafah perjuangan kita, tanpa menunjukkan komitmen untuk menghayati prinsip-prinsip perjuangan yang kita dukung," tegasnya.

Ketua AMK itu dengan tegas mengkritik kerajaan gabungan KeADILan, DAP dan PAS yang didakwanya cuai melaksanakan janji untuk membuat pembersihan dalam pentadbiran sehingga ke akar umbi.

Penegasan Ketua AMK, pada hemat penulis amat relevan dengan tuntutan dan kehendak majoriti rakyat di negeri-negeri dalam pentadbiran Pakatan Rakyat, supaya dilakukan perubahan agar dibersihkan segera kerajaan daripada kebobrokan Umno-BN.

"Kenapa setelah rakyat memberikan kita amanah, kita cuai untuk melaksanakan janji ini?" soal Shamsul.

Kelemahan PBT yang masih gagal diatasi

Skop pentadbiran kerajaan negeri amat besar. Penulis memerlukan masa untuk merungkaikannya satu persatu. Bagaimanapun penulis ingin kemukakan isu-isu dalaman yang membabitkan kebobrokan Umno melalui penguasaannya dalam PBT.

Bersama ini penulis ingin paparkan suatu emel yang diterima dari seorang pemimpin masyarakat yang dilantik menjadi AJK Zon dalam Parlimen Gombak.

Beliau mengatakan, "Setelah lapan bulan mencapai kemenangan dan hampir empat bulan menerajui majlis-majlis kerajaan tempatan melalui Ahli-ahli Majlis dari Pakatan rakyat yang dilantik, banyak isu keselesaan rakyat kini dilihat tergantung di awang-awangan.

"Sedar atau tidak, penyokong bawahan Pakatan Rakyat melihat isu membabitkan perkara asas keselesaan rakyat semakin teruk. Tidak keterlaluan boleh dikatakan ahli-ahli Majlis dari Pakatan Rakyat sebenarnya dibuli oleh Kakitangan Majlis-majlis Kerajaan Tempatan dari YDP sehinggalah peon biasa.

"Apa tidak nya, pada pandangan saya, lantikan ke jawatan-jawatan ini adalah atas dasar politik BN-Umno yang berkepentingan. Pelbagai alasan diberi oleh kakitangan Majlis, tiada duit lah, tiada keutamaan lah, ikut prosedur lah, ada lesen lah, kena ikut undang-undang lah.

"Masalahnya, semua alasan ini diangguk dan diakur oleh ahli-ahli Majlis kita yang ikhlas, telus dan berjiwa rakyat.

"Namun disudut belakang, ada yang tertawa terbahak-bahak melihat sikap Pakatan Rakyat yang semacam takut hendak ketepikan keputusan dan perangai staf-staf Majlis terutamanya negeri Selangor.

"Masakan tidak, Pakatan Rakyat masih tidak dapat kuasai Pasar Malam, Dewan, mengerakkan PBT supaya mengatasi semua laporan rakyat yang dan dilihat sangat-sangat lemah oleh pendokong-penyokong PAS dan Pakatan Rakyat.

"Ada penyokong-penyokong kita dah mula turunkan bendera di perkarangan rumah kerana malu. Mesyuarat dah berbuih, longkang tersumbat pun tidak diselesaikan.

"Takkan tidak boleh arahkan PBT keluarkan laporan kutipan Pasar Malam kut, susah sangat ke. Rakyat nak tau juga kemana duit tu pergi, siapa patut jaga, mana auditnya.

"Kalau Umno dah gunakan buat rombongan, siapa benarkan, siapa YDPnya. Tak boleh ambik tindakan ke, tak boleh gantung ke sementara siasatan.

"Bagi siapa-siapa yang tidak tahu PBT ini adalah BN kedua, penuh dengan penyangak dan penyamun duit rakyat.

"Exco-exco Selangor sudah tidak nampak lagi ke atau dah tenggelam dalam glamour? Rakyat marhain tolak Umno BN pada Mac 2008 kerana mengabaikan masalah asas rakyat, salah guna duit dan dana kerajaan, rasuah, perkauman, sombong, pentingkan kroni dan pemaju, sewenang2nya menekan rakyat dan sebagainya.

"Saya nampak keadaan macam tidak berubah sahaja walau kita sudah berkuasa. Sekurang-kurangnya selesaikanlah masalah kutipan sampah, longkang tersumbat, masalah anjing liar, nyamuk, pemaju engkar, kebersihan, jalan-jalan raya berlubang-lubang, gerai haram, car wash haram.

"Apa pun tak nampak perubahan lagi, macamana kami hendak jawab apabila rakyat mula memperli, tanpa memahami Pakatan Rakyat disabotaj oleh PBT yang rata-ratanya masih pro Umno/BN.

"Pada saya kalau ya pun kita ambil masa untuk mengaudit akaun kerajaan lama, tolonglah jaga kawasan masing-masing sama. Takut nanti tak sempat keluar laporan audit, Najib dah panggil pilihan raya. Mau terkangkang kita. Siapa nak pergi pacak bendera kalau semua dah kecewa?

"Ingatlah, strategi orang kalah seperti Umno/BN ialah 'Bagaimana dia berusaha untuk menang semula. Kita yang memerintah sedang diperhati, kalau dah hampir setahun rakyat tidak nampak perubahan, kita harus bimbang mereka akan kembali kepada BN."

Begitulah panjang lebarnya emel beliau. Kes yang beliau paparkan kepada penulis hanyalah kes spesifik yang berlaku di Selangor. Barangkali juga hal-hal yang sama boleh berlaku di Perak, Pulau Pinang dan Kedah.

Memang bukan mudah untuk 'penetrate' PBT dan yang kebanyakan YDPnya adalah 'hamba-hamba' Umno sekian lama.

Namun perubahan harus dilakukan. Ianya selari dengan apa yang dibangkitkan oleh AMK. Nampaknya selepas lapan bulan, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat masih tidak dapat memberikan penumpuan yang betul bagi memenuhi keperluan rakyat keseluruhannya.

Memperbaiki segera kelemahan wujud

Masalah besar kepada Pakatan Rakyat ialah kebergantungannya kepada pegawai-pegawai kerajaan dan birokrasi yang diciptakan oleh Umno/BN sepanjang mereka memerintah.

Wujud banyak dakwaan bahawa kerajaan BN dan melalui PBT, mengamalkan rasuah secara terbuka, dalam pemberian tender, kelulusan tanah, kelulusan tapak perniagan dan sebagainya.

Rakyat memberi mandat kerana mereka tidak boleh lagi menerima keadaan seperti ini. Oleh sebab itu mereka memberikan mandat kepada Pakatan Rakyat.

Memang bukan mudah hendak membuang semua 'sampah-sampah' dalam kerajaan, dalam satu bakul serentak.

Tetapi pemimpin-pemimpin kerajaan negeri harus mengambil langkah pro aktif bagi memenuhi kehendak rakyat dan tuntutan parti.

Tanpa menafikan tidak semuanya penyokong dan ahli Pakatan Rakyat boleh 'deliver' dengan tugas masing-masing, namun mereka yang berjawatan seharusnya memberikan keutamaan kepada penyokong Pakatan Rakyat untuk memainkan peranan utama dalam operasi kerajaan negeri.

Pemimpin-pemimpin kerajaan negeri seharusnya mengambil serius nada beramaran yang dikeluarkan oleh AMK, bahawa, sekiranya terdapat pemimpin kerajaan Pakatan Rakyat yang teragak-agak, takut kepada risiko dan perubahan, pergerakan itu tiada pilihan selain menggantikan pemimpin itu.

"Kerajaan mesti dipimpin, bukan semata-mata diurus," katanya dalam ucapan beliau.

Justeru, Anwar Ibrahim. Ustaz Abdul Hadi Awang, Lim Kit Siang dan lain-lain pemimpin tertinggi yang menganggotai sekretariat, seharusnya meneliti lebih serius keresahan rakyat, khususnya pendokong-pendokong Pakatan Rakyat.

Kritikan dan teguran yang dibuat terhadap pemimpin, khususnya terhadap Menteri Besar dan Exco, adalah untuk kebaikan di masa hadapan.

Pakatan Rakyat mempunyai tanggungjawab yang besar untuk mendirikan sebuah kerajaan yang adil, transparen, bebas rasuah dan demokratik.

Sementara kita diberi amanah, laksanakanlah tanggungjawab sebaik mungkin._

Orang Melayu miskin kerana siapa?

BRITISH tidak meruntuhkan orang Melayu dengan menjatuhkan Raja-rajanya, tetapi dengan melahirkan pemimpin-pemimpin Melayu yang rakus dan tidak mempunyai jati diri. Maka, selepas Perang Dunia Kedua, lahirlah sekumpulan aristokrat Melayu berpendidikan Barat untuk diserahkan kemerdekaan Tanah Melayu kepada mereka.

Selepas 50 tahun mereka mengambil alih kuasa daripada penjajah, orang Melayu menerima nasib seperti orang India. Yang berbeza hanya orang India dilumpuhkan oleh penjajah, tetapi orang Melayu dibangsatkan oleh anak bangsa sendiri yang menjadi alat kepada penjajah.

Dan memang tidak menghairankan apabila Jabatan Perangkaan Malaysia mendapati 301,000 keluarga orang Melayu berada pada paras pendapatan kurang daripada RM1,000. Jika satu keluarga mempunyai purata lima orang ahli, maka lebih 1.5 juta orang Melayu menghadapi masalah ini.

Bukankah selepas 13 Mei 1969, telah dibentuk Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk membela kaum Bumiputera, tetapi mengapa ia gagal. Orang Melayu terus mengungguli carta kemiskinan, di samping carta masalah sosial juga. Apakah kita tidak sedar selama ini orang Melayu sendiri yang menguasai politik negara dan mereka mempunyai bidang kuasa untuk membela kepentingan orang Melayu?

Nah! Sekarang orang Melayu sesudah 50 tahun di bawah ketiak Umno mereka terus merempat. Yang membesarkan tembolok hanyalah pemimpin Umno dan anak menantu mereka. Orang Melayu yang lain tidak memperoleh apa-apa. Di kalangan pemimpin Umno sendiri mereka lebih ghairah untuk bercakap soal mahu lawan atau tarik diri dalam pemilihan parti, daripada bercakap soal nasib bangsa dan negara. Tidak adapun sungutan yang benar-benar serius terhadap kedudukan orang Melayu sekarang.

Umno lebih berminat untuk mengagihkan kekayaan negara kepada kroni-kroni mereka, tetapi tidak mahu langsung membantu orang-orang Melayu yang miskin. Kalau nampak seperti hendak ditolong pun, ialah kononnya membela orang yang terbiar di negeri yang dikuasai pembangkang.

Sudah berapa banyak projek-projek raksasa diwujudkan untuk kroni, tetapi tidak memberikan manfaat kepada orang Melayu.

Dalam dunia pendidikan yang dianggap jambatan untuk memisahkan orang Melayu daripada kemiskinan, bukan sahaja bahasa Melayu terpinggir, sekolah-sekolah agama milik orang Melayu juga turut menjadi mangsa. Di universiti-universiti awam, sektor-sektor pendidikan yang strategik di fakulti perubatan, undang-undang, perakaunan, ekonomi, kejuruteraan, teknologi maklumat, perniagaan dan seumpamanya, jumlah pelajar Melayu amat sedikit berbanding bangsa lain. Orang Melayu lebih banyak ditempatkan di fakulti sastera, pengajian Islam, sains sosial dan sebagainya yang dilihat kurang nilai komersialnya.

Maka orang Melayu sukar untuk melepaskan diri daripada belenggu kemiskinan ini. Di IPTS seperti MMU yang banyak melahirkan tenaga profesional yang laku di pasaran pekerjaan, hanya 20 peratus sahaja tenaga akademiknya orang Melayu, manakala pelajarnya yang berbangsa Melayu pula hanya sekitar 25 peratus.

Amat jelas sekali bahawa Umno tidak mempunyai komitmen dan tidak serius langsung dalam mengangkat martabat orang Melayu, melainkan retorik kosong sahaja. Orang Melayu jangan terkeliru dengan isu-isu perkauman seperti isu Pengurus Besar PKNS, isu sewa Flat PKNS, isu ladang babi moden atau isu orang bukan Melayu di UiTM, kerana ialah adalah isu kulit sahaja. Yang lebih besar ialah apakah pembelaan kerajaan Umno terhadap orang Melayu atau Bumiputera.

Selama ini, Umno hanya membantu menambahkan kekayaan pemimpin mereka, sehingga ada yang membina banglo lebih besar daripada istana. Mereka bercakap seolah-olah Pakatan Rakyat lebih mengutamakan orang bukan Melayu, tetapi Umno yang mempunyai kuasa yang lebih besar, langsung tidak mempedulikan orang Melayu.

Dalam keadaan seperti ini, dengan kegawatan ekonomi global, maka orang Melayu akan terus tersingkir daripada arus perdana. Orang Melayu paling miskin, paling ramai penagih dadah, paling ramai bermasalah sosial, paling tercorot dalam pendidikan dan sebagainya. Bahkan, kuasa politik orang Melayupun turut terjejas kerana permainan politik Umno.

Jika dalam tempoh 50 tahun sahaja, nasib orang Melayu sudah tidak menentu, bagaimana agaknya orang Melayu 50 tahun akan datang jika Umno terus diberikan kepercayaan. Orang Melayu mesti sedar hakikat ini dan data-data Jabatan Perangkaan itu hanyalah sebahagian kecil sahaja daripada ratusan masalah lain yang dihadapi sekarang.

Ayuh orang Melayu, membebaskan diri dari Umno, atau terus melayu! -

Menyusuri 57 tahun PAS di Malaysia

Tanggal 24 November lalu genaplah 57 tahun usia Parti Islam Se Malaysia atau PAS.

Ditubuhkan pada tanggal berkenaan dalam tahun 1951 di Seberang Perai, parti itu yang diluluskan pendaftarannya pada 31 Mei 1955 dengan nombor pendaftaran 733 (Penang) telah melalui transformasi yang tersendiri, dari sebuah parti kecil yang dipandang lekeh oleh penjajah British, kepada sebuah parti yang mampu menang kerusi dalam Pilihan Raya Persekutuan yang pertama dalam tahun 1955 dan kemudiannya menawan dua buah negeri dalam pilihan raya umum pertama Malaya Merdeka pada tahun 1959, dan kini sebagai sebuah parti bertaraf nasional yang diwakili di setiap pelusuk tanahair dan diiktiraf pula diperingkat antarabangsa.

PAS telah melalui perubahan nama dalam tempoh lebih lima dekad usianya dari Persatuan Islam Se Malaya (awal penubuhan), ke Persatuan Islam Se Tanah Melayu (30 November 1963) dan kini Parti Islam Se Malaysia (sejak 21 Jun 1977).

Dalam meniti usia yang demikian lama, PAS kini sudah berjaya bertapak dihati rakyat, dikenali dan diakui kehadirannya oleh setiap lapisan masyarakat dalam negara, Cina, Melayu, India dan lain-lain semuanya kenal dan mengetahui darihal PAS.

Dengan 3 orang Menteri Besar dan ADUN di setiap negeri kecuali Melaka, Sabah dan Sarawak PAS kini muncul sebagai satu tenaga politik yang disegani, dan dengan kerjasama politiknya melalui Pakatan Rakyat, PAS dan rakan-rakan kini merupakan alternatif yang sangat berupaya bagi mencabar Barisan Nasional diperingkat Persekutuan.

Sejarah politik dalam negara membuktikan tidak ada parti dibarisan pembangkang yang dapat bertahan dan kekal sebagaimana PAS. Parti Negara, Front Sosialis, IMP, MDU, NCP dan lain-lain semuanya berkubur, tetapi PAS terus benafas dan bergerak selari dengan arus perkembangan dan kemajuan rakyat dan negara.

Sumber ketahanan PAS yang memungkinkan ia terus bertahan dalam menghadapi serba kekangan, tekanan dan cabaran sudah pastilah kerana berpegang teguh pada Islam yang merupakan dasarnya sejak dari 57 tahun dahulu sehingga ke hari ini.

Allahyarham Hj Mohd Amin Yaakub, bekas AJK PAS Pusat (1979-87) di dalam bukunya "Sejarah pemerintahan PAS Kelantan 1959-1990" menyebut bahawa hukum tertinggi dalam PAS adalah kitabullah dan sunnah rasul serta qiyas dan ijmak.

Ini termaktub dan terus kekal dalam perlembagaan PAS sejak tarikh tertubuhnya iaitu pada Fasal 4(1) perlembagaannya dan sejak 1993 beralih ke Fasal 7(1), Cuma beralih pada nombor fasal namun semangat dan pegangannya terus kekal tanpa berubah atau diubah.

Inilah asas yang membezakan PAS dengan parti siyasah lain dalam negara dan inilah juga kekuatan yang terus kekal membawa PAS sepanjang 57 tahun usianya sehingga ke hari ini dan insya-Allah sampai bila-bila.

Yang berubah adalah pemimpin, apabila ada pimpinan yang mahu membawa PAS lari dari arus Islam ke arus yang lain, termasuklah kebangsaan umpamanya, yang akan tergelincir keluar bukanlah parti tetapi pemimpin itu sendiri.

PAS pernah melihat Presidennya, Setiausaha Agungnya dan pimpinan lain diberbagai peringkat lari meninggalkan PAS, namun parti ini terus kekal digantikan dengan pemimpin yang baru.

Presiden atau ketika itu Yang Dipertua Agung PAS yang pertama adalah Tuan Hj Ahmad Puad Hassan (1951-54) yang kemudiannya meninggalkan PAS kerana mahu bersama Dato Onn. Kemudiannya digantikan Dr Hj Abbas Illias (1954-56).

Diikuti Almarhum Dr Burhanuddin al Helmy (1956-66), Dato Asri Muda (1966-82) yang meninggalkan PAS untuk menubuhkan parti baru Hamim dan kemudiannya menyertai Umno, Tuan Hj Yusoff Rawa (1982-89), Almarhum Ustaz Dato Fadzil Nor (1989-2003), dan kini Dato' Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang.

PAS merupakan parti Islam yang meneruskan perjuangan parti Islam yang pertama di negara ini, iaitu Hizbul Muslimin yang diharamkan oleh penjajah British pada tahun 1948. PAS bukan hanya membawa dasar perjuangan parti ini malah menurut John Funston, pimpinan terkanan PAS pun ketika itu terdiri dari pimpinan Hizbul Muslimin belaka.

Demikianlah PAS jatuh bangun, menang dan kalah, bertahan menghadapi cabaran dan pancaroba sehinggakan terdapat usaha menggugurkan "Islam" yang ada pada namanya, namun PAS terus kekal, berkat doa dan pengorbanan para ulamak dan mereka yang ikhlas dalam perjuangan dan hari ini ia telah mencecah usia 57 tahun.

Inilah PAS, Parti Islam, yang telah berjaya melahirkan pimpinan yang dikagumi rakyat, pentadbiran yang bersih dan bebas rasuah, segalanya lantaran berpegang teguh pada Islam yang diperjuangkannya. Darah dan airmata mereka yang terdahulu telah ditumpahkan ke bumi bagi melahirkan PAS yang ada yang kita warisi pada hari ini.

Oleh itu berpijak pada bumi yang nyata, junjuglah dasar dan prinsip perjuangan yang sama-sama kita pertahankan ini. Ada di antara kita yang bertarung awal atas gelanggang PAS ini sudah tiada bersama kita, malah ada yang ditemani oleh burung-burung hijau di syurga menunggu kita, janganlah kita persiakan apa yang telah dibina ini.

Bahawasanya dengan sesungguhnya adalah disiytiharkan demi untuk menyempurnakan taqwa kepada Allah dan kebaktian kepada sesama manusia, yang dijadikan bagi menegakkan AL AMRU BIL MA'RUF WAN NAHYU 'ANIL MUNKAR dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara maka inilah diisytiharkan sebuah pertubuhan yang dinamakan "PARTI ISLAM SE MALAYSIA", demikianlah mukaddimah perlembagaan PAS, sama-samalah kita pertahan dan perjuangkannya.

Alfatihah kepada mereka yang telah mendahului kita, Alfatihah.

Tuan Guru Haji Bidin: Pengasas PAS Terengganu

PAS Terengganu telah mengadakan sambutan Jubli Emasnya di Dungun dua tahun lalu. Sambutan ini dibuat di tempat ia ditubuhkan iaitu Surau Haji Bidin, Sura Gate. Kira-kira 50 tahun sebelum itu, iaitu pada 6 Julai 1956, satu perjumpaan 24 orang pemuda Islam telah diadakan di surau ini yang dikenali juga sebagai Madrasah az-Zainiyah dengan dipimpin oleh Tuan Guru Haji Bidin.

Dalam perjumpaan ini, cawangan PAS yang pertama di Terengganu telah berjaya ditubuhkan dan dinamakan sebagai PAS Cawangan Dungun dengan Tuan Guru Haji Bidin sebagai Yang Dipertuanya. Inilah bermulanya sejarah PAS Terengganu sebelum ia menjadi kubu kuat PAS hari ini.

Tuan Guru Haji Bidin atau nama sebenarnya, Zainal Abidin bin Aman bin Mat Ali ialah seorang ulama yang terkenal di Terengganu. Beliau dilahirkan pada 1893 di Kampung Tasik, Wau, Ulu Dungun. Ibunya, Saadiah Jaafar ialah seorang ibu tunggal setelah suaminya meninggal dunia, tetapi kemudian berkahwin dengan Hamzah, iaitu datuk kepada bekas Bendahari Agung PAS, Ustaz Abdul Wahab Yunus.

Haji Bidin menjadi anak yatim semenjak kecil, tetapi mendapat didikan agama daripada ibunya. Ketika berusia 11 tahun, belia dihantar belajar dengan Haji Taib Hassan dan Ustaz Baki Awang di Kampung Sindol. Pada 1906, beliau memasuki Pondok Pulau Serai dan berguru dengan Tuan Guru Haji Yusof bin Lebai Isa selama enam tahun.

Setelah itu beliau berhijah pula ke Pondok Losong untuk berguru dengan Tuan Guru Haji Mat Shafie Losong yang terkenal itu. Dua tahun di pondok ini, pada 1914, Haji Bidin berpindah ke Kelantan kerana tertarik dengan kemasyhuran Tok Kenali. Beliau sempat berguru dengan Tok Kenali di Pondok Kenali sehingga 1926. Beliau sempat belajar bersama-sama Sheikh Idris Marbawi dan Tuan Guru Haji Nik Mat Alim (ayah Mursyidul Am PAS).

Di samping itu, beliau berulang-alik ke Masjid Muhammadi kerana berguru dengan Tuan Guru Haji Ali Pulau Pisang dan Tuan Guru Haji Yaakub Legor. Di Pondok Kenali ini, Haji Bidin telah menjadi kepala telaah dan sempat mengajar Mufti Haji Ahmad Maher selama enam tahun. Pengajian beliau tamat pada 1926 kerana Tok Kenali menyuruh beliau balik ke Dungun membuka pondok.

Selepas beberapa ketika mengembara, sekitar 1927, Haji Bidin mula mengajar dan membuka pondok di Hulu Sungai Penaga. Ketika yang sama beliau telah dilantik menjadi Imam Muda Masjid Kampung Tengah, Kuala Dungun. Ketika menjadi imam di sini, Haji Bidin telah berhadapan dengan beberapa masalah amalan khurafat dan ajaran sesat, tetapi berkat usaha gigihnya, beliau berjaya mengatasi masalah ini.

Tujuh tahun kemudian, Haji Bidin telah membuka pondok baru di satu kawasan yang dikenali sebagai Tanah Lot. Pada 1938, sebuah madrasah telah berjaya disiapkan sebagai tempat pengajian. Bagaimanapun, beliau kekal sebagai imam di Kampung Tengah sehingga 1951. Selepas bersara sebagai imam, Haji Bidin sekali lagi memindahkan pondoknya ke Sura Gate, dan mendirikan pusat pengajian yang dikenali sebagai Madrasah az-Zainiyah yang suraunya masih wujud hingga hari ini.

Haji Bidin mengajar beberapa cabang ilmu yang penting dalam pengajian Islam seperti fiqh, hadis, nahu, tafsir, balaghah, mantiq dan lain-lain. Antara kitab yang diajar oleh beliau ialah Matan Ajrumiah, Azhari, Qatr, Syuzuz al-Zahab, Ibnu Aqil, Asymuni, Sittin, Fathul Muin, Tahrir, Mahalli, Iqna�, Fathul Wahab, Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Ibni Ibad, Iqaz al-Himam, Jauhar al-Mauhub, Siyarus Salikin dan lain-lain.

Beliau juga berjaya melahirkan ramai murid yang terkenal termasuk Ustaz Omar Shukri Embong (bekas Pesuruhjaya PAS Terengganu) dan Ustaz Abdul Wahab Yunus, bekas Ahli Parlimen Dungun yang juga pernah menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

Haji Bidin, selain terkenal kerana alim dalam bidang agama dan menjadi imam di masjid, turut dihormati kerana memiliki keramat tertentu. Banyak cerita yang diriwayatkan tentang keramat yang dimiliki oleh beliau, antaranya tidak ditimpa hujan ketika menaiki perahu bersama kitab-kitabnya walau hujan sedang lebat. Pernah juga berlaku percubaan melanggar beliau dengan kereta, tetapi niat jahat itu terhalang kerana enjin kereta tersebut mati dan ia hanya boleh dihidupkan setelah orang tersebut memohon maaf kepadanya.

Beliau juga dikatakan boleh mengangkat kayu besar seorang diri. Cerita-cerita kekeramatan beliau ini telah menyebabkan beliau amat disegani oleh masyarakat di Dungun. Beliau juga dikenali sebagai seorang yang warak, lemah lembut, tidak pemarah dan tidak suka bercakap banyak. Beliau dikatakan mengikut perangai Tok Kenali.

Kerana gurunya seorang yang minat politik, Haji Bidin turut mewarisi minat ini di mana beliau semenjak di Kenali lagi sudah mula menulis dalam akhbar Majlis. Beliau tertarik dengan perkembangan politik di Istanbul tetapi keras menolak fahaman sekular yang dibawa oleh Mustafa Kamal Ataturk.

Sejak muda, kecenderungan beliau adalah politik Islam yang berasaskan al-Quran dan Sunnah. Tetapi pada peringkat awal, beliau menyokong Umno untuk menghalau British, bahkan turut berkempen dalam pilihan raya 1954 untuk menyokong Ustaz Mohd Taib Sabri menentang calon Parti Negara. Tetapi pada 1956, setelah PAS mulai berkembang, Haji Bidin bersetuju dengan gagasan politik yang dibawa oleh Pesuruhjaya PAS Pantai Timur, Datuk Mohd Asri Muda.

Atas usaha gigih beliau mengumpulkan pemuda-pemuda yang berminat dengan politik Islam, maka satu perjumpaan diadakan di suraunya di Sura Gate. Hasilnya, PAS Cawangan Dungun berjaya ditubuhkan sebagai cawangan pertama di Terengganu. Haji Bidin diberikan amanah sebagai Yang Dipertua PAS Dungun untuk satu tempoh yang lama. Beliau melepaskan jawatannya pada 1971 kerana uzur, tetapi terus komited dengan perjuangan PAS.

Enam tahun kemudian, iaitu ketika muridnya yang juga anak saudaranya, Ustaz Abdul Wahab Yunus sedang memegang jawatan sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan, Haji Bidin telah jatuh sakit dan meninggal dunia di rumah anaknya, Haji Anuar di Bukit Segambut, Kuala Lumpur.

Beliau meninggal dunia dalam bulan Ramadan pada 20 Ogos 1977 dan dikebumikan di perkuburan Syed Yahya, Dungun.