Dec 13, 2008

PAS Padang Serai mohon sumbangan bina dewan serbaguna

PADANG SERAI, 13 Dis (Hrkh) - Kedudukan kawasan Padang Serai bersempadan dengan negeri Perak dan Pulau Pinang menyebabkan PAS Kawasan itu lebih ramai didokongi oleh mereka yang berhijrah berbanding penduduk asal di situ.

Kebanyakan mereka yang berhijrah itu adalah ata asas penempatan atau pekerjaan. Ada yang menetap di situ tetapi bekerja di Pulau Pinang atau utara Perak dan begitu juga sebaliknya yang bekerja di Padang Serai atau Kulim tetapi menetap di Pulau Pinang atau utara Perak.

"Hal itulah menyebabkan aktivis di sini, malah dari kalangan mereka yang dilantik sebagai jawatankuasa di peringkat kawasan mahupun dewan-dewan sering berlaku pertukaran.

"Sebab mereka bukan datang sebagai penduduk tetap. Tetapi oleh kerana mereka itu pendokong PAS, mereka datang sini pun mereka tetap beri komitmen," demikian menurut Setiausaha Dewan Pemuda PAS Padang Serai (DPPKPS), Zulkarnain Bakar ketika berbicara mengenai pembinaan Dewan Dr Burhanuddin Al-Helmy yang bakal menjadi pusat pentadbiran baru PAS Kawasan Padang Serai.

Katanya, sungguhpun mengalami silih ganti mereka yang mendokong PAS di kawasan itu, tetapi setidak-tidaknya Padang Serai telah menjadi 'markas tarbiyah' untuk golongan berhijrah ini hingga ada di kalangan mereka menimba pengalaman dalam pengurusan organisasi PAS di peringkat kawasan termasuk dewan-dewan. Malah menurutnya, kebanyakan cawangan juga berkembang hasil dari golongan hijrah ini. - mns

"Sebab itu kami rasa bahawa kami perlukan sebuah tempat khusus dalam menggerakkan pentadbiran dan aktiviti parti di sini. Alhamdulillah kebetulan pula PAS Kawasan telah menerima tanah seluas 14,000 kaki persegi terletak di Kampung Batu Putih, Mukim Padang Cina, Kulim yang diwakafkan.

"DPPKPS pula diamanahkan untuk memajukan tanah itu, jadi kita telah putuskan untuk membina dewan serbaguna dengan kos dianggarkan RM450,000," ujarnya menjelaskan.

Maklumnya, urusan pindah milik tanah telah selesai tahun lalu termasuk kerja-kerja menambun tanah di situ. Oleh itu, kos yang disasarkan itu hanyalah meliputi bangunan sahaja.

Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya akan menganjurkan Jamuan Malam Perdana Bersama Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa pada Isnin, 15 Disember depan di tapak dewan tersebut bertujuan mengumpulkan dana pembinaan.

"Selepas jamuan itu kita akan teruskan dengan ceramah perdana yang akan turut disertai Ketua Pemuda PAS Kedah, Ustaz Musoddak Ahmad. Jadi sekali lagi saya pohon ahli-ahli PAS dan orang ramai mendapatkan kad untuk jamuan itu bernilai RM10 sahaja sebagai sumbangan untuk dana pembinaan," ujarnya merayu.

Tambah beliau, pihaknya juga menerima sebarang bentuk sumbangan yang ingin dihulurkan khususnya kewangan melalui Bank Islam (Cawangan Kulim) nombor akaun 0205 70 100 233 93 atas nama Dewan Dr Burhanuddin Al-Helmy. Sebarang pertanyaan boleh dibuat terus kepada beliau yang juga Setiausaha Jawatankuasa Pembinaan di talian 013-4333911._

No comments:

Post a Comment