Dec 18, 2008

Menilai isu melingkari mantra 'ketuanan Melayu'

AKHIR-AKHIR ini, banyak isu yang melanda negara ini menyentuh asas-asas tertegaknya Persekutuan Malaysia. Setelah 50 tahun negara ini terbentuk, pengukuhan kepada asas dan tiang seri negara ini menerima cabaran-cabaran yang boleh dianggap mempertikaikan malah menghakis secara tidak disedari sendi yang menjadi sebab kepada terbentuknya Malaysia hari ini.

Pokok pertikaian yang menjadi isu parti-parti politik hari ini mengheret seluruh rakyat Malaysia berputar di sekitar �kontrak sosial�, �ketuanan Melayu� dan kebebasan beragama dengan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

Tangan yang menerima kemerdekaan daripada parti politik ketika itu adalah Umno, MCA dan MIC, manakala pihak Raja adalah sebagai pihak kedua yang mempunyai kepentingan dari sudut keberlangsungan institusi Raja yang terjamin dalam rundingan kemerdekaan. Sudah tentulah British bagi pihak penjajah mahukan kelicinan penyerahan kemerdekaan yang akan diberikan.

Kita hari ini mewarisi sejarah tersebut dan nampaknya keazaman Umno untuk mempertahankan asas rundingan kemerdekaan dan kemudiannya terbentuk dalam Perlembagana Persekutuan semakin kehilangan kekuatannya.

Asas Rundingan

Pokok persoalan yang menjadi asas rundingan ialah Hak Orang Melayu, Agama Islam dan Raja-Raja Melayu. Ini dijustifikasikan dengan tawaran kewarganegaraan kepada kaum Cina dan India yang akan menjadi sebahagaian daripada rakyat Persekutuan Tanah Melayu nanti. Penentangan kewargnegaraan kepada kaum lain sebenarnya telah mencetuskan penubuhan Umno yang kemudiannya menjadikan Melayu sebagai titik tolak perjuangannya.

Dalam kegagalan Malayan Union, satu cadangan baru dikemukakan dengan Umno menjadi perunding utama kepada bentuk baru yang nanti akan membuka jalan kepada kemerdekaan. Maka lahirlah konsep Persekutuan dan tawar menawar kewarganegaraan kepada orang Cina dan India melahirkan asas kepada satu persefahaman yang menjadikan �Hak orang Melayu,� Islam sebagai agama Persekutuan dan Raja-Raja Melayu sebagai syarat penerimaan kewarganegaraan dalam Persekutuan Tanah Melayu.

Mempertahankan Asas

Sepanjang sejarah, asas-asas ini sentiasa menerima berbagai-bagai dugaan dan cabaran. Pertama ialah keluarnya Singapura daripada Persekutuan Malaysia tahun 1963 yang secara ideologinya mahukan Malaysia menjadi Malaysian Malaysia sekali gus menolak soal hak keistimewaan orang Melayu. Seterusnya kelantangan kepada konsep ini dipanjangkan oleh DAP dan Gerakan.

MCA mengambil jalan selamat dengan tidak menyebutnya secara awam. Seterusnya ialah isu Pindaan Perlembagaan yang mengurangkan kuasa Raja-Raja sehingga mencetuskan kontroversi Istana dan Parlimen serta Umno. Dalam konteks bahasa Malaysia, pukulan paling teruk yang diterimanya ialah dengan isu Pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris yang mengundang polemik. Adapun Islam, badai yang mengujinya terlalu banyak antaranya ialah isu murtad, kewibawaan mahkamah syariah dan liberalisasi agama dalam kehidupan. Hak orang Melayu pula diuji dengan salah guna kuasa, rasuah dan menjadi tunggangan pihak tertentu untuk kepentingan peribadi.

Badai dan taufan yang melanda asas ini telah membentuk asam garam pembentukan sebuah negara bangsa yang hari ini perlu kepada tajdid semua makna ini bagi asas ini terus kekal releven membentuk negara kita hari ini. Namun apakah jalannya, dalam cabaran-cabaran kini yang mendesak dan mencabar hatta kewujudan negara bangsa itu sendiri?

Cabaran yang pasti

Mana-mana negara pasti akan melalui detik ujian yang menggoncang asas kewujudannya namun keberkesanan mengatasinnya terpulang kepada kesediaan rakyat dan pemimpinnya untuk mempertahankan apa yang diterima sebagai tiang seri dan sendi yang menjadikan kita sebagai rakyat yang berdaulat.

Cabaran yang pasti, datang dalam berbagai bentuk ada yang di luar kawalan dan ada yang dapat dikawal. Perubahan kepada desakan-desakan pula boleh berlaku secara berpisah langsung daripada apa yang ada ataupun perubahan yang hanya tempelan apa yang sudah dipakai. Persoalan rumit yang tidak terjawab hari ini ialah keraguan kepada asas terbentuknya negara itu sendiri, antaranya ialah persoalan bentuk negara, konsensus asas negara dan bentuk patriotism yang ingin dicapai.

Perdebatan tentang apakah negara ini negara sekular atau negara Islam masih menjadi topik yang sering mengundang pandangan yang berbagai walaupun premis ketetapan pendapat masing-masing tegak atas perspektif pelbagai. Konsensus asas negara pula mendapat intepretasi yang berbagai tentang apakah asas terbentuknya konsensus sebagai tawaran kewarganegaraan kepada bukan Melayu waktu itu?

Bukanlah sangat itemnya dipertikaikan tetapi dari sudut kelangsungan, apakah sementara atau kekal begitu selamanya? Bagaimana pula mantra Ketuanan Melayu, apakah ia kewajaran ataukah satu usaha ancaman kepada kaum lain? Adapun bentuk patriotism, apakah asas terbentuknya bangsa Malaysia? Bagaimana pula pendekatan integrasi yang kita amalkan selama ini adakah persefahaman dan toleransi ataukah lebih baik �dicairkan� siapa saja supaya hanya ada satu identiti warganegara?

Atas nilai apakah identiti itu akan tertegak? Apakah nilai Melayu boleh dilihat dalam perspektif faktor penyatuan identiti nasional dan bukan dalam sentimen perkauman yang sempit? Bagaimana pula kedudukan Islam yang dipersoalkan tentang sudut legalnya? Apakah mewujudkan sistem perundangan syariah yang diintegrasikan dalam perundangan sivil dianggap pencabulan kepada artikel 11 yang menjamin kebebasan menganut? Bukankah kemelut undang-undang syariah kerana pemisahan total dan keengganan bukan Islam untuk membuat representasi di Mahkamah Syariah?

Persoalan di atas semuaya menagih penjelasan dan perdebatan yang akhirnya boleh membawa kita kepada satu bentuk persefahaman di kalangan rakyat Malaysia. Hanya dengan ini perpaduan nasional boleh tercapai dan di bawa kepada satu tahap yang lebih meyakinkan semua pihak dan demi masa depan generasi rakyat Malaysia.

Tajdid pengertian integrasi nasional

Bagai ahli akademik persoalan di atas akan kekal menjadi medan perdebatan yang tak sudah-sudah, bagi ahli politik yang berasaskan perkauman isu ini terus disengajakan menjadi perdebatan bagi mewajarkan sikap �ethno-centric� mereka.

Adapun bagi pengamal politik pelbagai kaum dan mereka yang mahu melihat masa depan yang lebih baik untuk semua, satu usaha tajdid sosial diperlukan dan melalui persoalan yang timbul di atas akan menjadi pemangkin kepada usaha untuk mendapat satu ketetapan yang kemudian menjadi kewajaran kepada kita membuat pemahaman semula kepada ketetapan yang dibuat. Segala infrastruktur yang dilihat tidak membantu mewujudkan ketetapan tersebut perlu diganti dan dibina semula bagi memudahkan ketetapan baru berdiri atas acuannya yang sesuai. Bukan mudah membungkah dan menyesuaikan yang baru dengan tapaknya yang asal.

Sebab itu saya bersetuju dengan kenyataan Sultan Perak bahawa kerangka negara yang terbina selama ini tidak ada apa masalah, masalahnya ialah perlaksanaannya!

Perlaksanaan inilah yang harus dikaji dan dirombak dan dibuat ketetapan. Mampukan kita khususnya ahli politik dan penggerak masyarakat sivil membawa pemikiran tajdid sosial ini dan sekaligus integrasi nasional mendapat penjelmaan wajahnya yang baru dan lebih bertenaga untuk berjalan 50 tahun lagi ke hadapan.

No comments:

Post a Comment