Jan 3, 2009

Umno Selangor guna kuasa Polis halang ceramah

KAJANG, 3 Jan (Hrkh) - Seramai 70 anggota polis dari balai polis Kajang mengepung pentas ceramah dan menghalang Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat dan Infrastruktur Awam, Dato' Dr Hasan Mohd Ali daripada berceramah di padang awam Batu 14, Ulu Langat malam tadi.

Program ceramah anjuran Kerajaan Negeri Selangor itu diadakan sempena lawatan Dr Hasan ke daerah Hulu Langat dalam Program Mesra Rakyat (PMR) yang diadakan selama sehari semalam.

Pihak polis yang datang mengarahkan semua orang yang hadir balik manakala peniaga tidak dibenarkan berniaga dan pentas ceramah dikepung.

Sehubungan itu, Penyelaras Dun Dusun Tua, Sani Hamzan kesal dengan tindakan dan sikap pihak polis Kajang yang menghalang ceramah penerangan itu diadakan.

Ini kerana katanya, ceramah itu merupakan anjuran Kerajaan Negeri Selangor yang mahu menerangkan dasar-dasar kerajaan Pakatan Rakyat dan bukan atas tiket PAS.

Halangan daripada pihak Polis itu membuktikan bahawa Umno-BN Selangor tidak mampu menghalang Pakatan Rakyat yang kini mendapat tempat dan kepercayaan di hati masyarakat negeri Selangor, tegas beliau.

Sebab itu kata beliau, Umno-BN Selangor terpaksa menggunakan pihak Polis supaya menggunakan kuasanya untuk menghalang gelombang kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap Kerajaan baru negeri Selangor.

No comments:

Post a Comment