Jan 3, 2009

SPRM: Bukan sekadar naik gaji tetapi bebas

KUALA LUMPUR, 3 Jan (Hrkh) - PAS menggesa agar Pengerusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak hanya mementingkan soal kenaikan gaji kakitangannya sahaja sebaliknya, menjadikan suruhanjaya itu sebagai sebuah badan yang bebas tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar membuat gesaan itu kerana Pengerusi SPRM dilihat lebih mementingkan soal kenaikan gaji berbanding keberkesanan suruhanjaya tersebut.

"Kita bersetuju gaji pegawai SPRM dinaikkan tetapi kalau hanya gaji naik tetapi SPRM tidak bebas ianya tidak mendatangkan apa-apa faedah sebaliknya merugikan duit rakyat," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily.

Mahfuz juga menjelaskan sebelum ini banyak laporan rasuah yang melibatkan pemimpin Umno dan pemimpin tertentu kerajaan perlu mendapat persetujuan Perdana Menteri terlebih dahulu sebelum siasatan dijalankan.

Perkara ini jika berterusan berlaku menjadikan keberkesanan SPRM hanya sia-sia dan tidak manfaat penubuhannya dibahaskan di Parlimen, kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Selain dari mendapatkan kebebasan membuat siasatan kes rasuah, beliau turut menegaskan pengerusi SPRM perlu memastikan suruhanjaya tersebut mendapatkan hak pendakwaan ke atas kes-kes yang telah disiasat.

"Setakat ini kuasa pendakwaan kes rasuah masih lagi berada di bawah Peguam Negara dan ini hanya menjadikan siasatan SPRM sia-sia," jelas beliau.

Tegas Mahufuz, terdapat banyak kes yang melibatkan pemimpin Umno dan pemimpin tertentu kerajaan akan ditutup bila kuasa pendakwaan diserahkan kepada Peguam Negara.

Untuk rekod, pada tahun 2007, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mengarahkan siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung dakwaan rasuah dan salah guna kuasa terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Pengarah BPR, Dato' Seri Zulkifli Mat Noor ditutup atas alasan tiada kes.

Pada tahun yang sama dan dengan alasan yang serupa, Abdul Gani mengarahkan siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Dato' Mohd. Johari Baharum ditutup

No comments:

Post a Comment